Rajuk Muhammad Ashrof Halil, 25, pemilik kedai haiwan Omot Pet Shop itu bukan kerana apa tetapi kerana terlalu sayangkan tujuh ekor kucingnya, iaitu Omot, Thea, Tom, Ridik, Tasha, Batl dan Kalka dan tidak mahu kucing-kucingnya sakit terkena jangkitan.

Anak sulung lima beradik ini membuka kedai haiwan peliharaan itu pada September tahun lalu kerana terlalu sayangkan haiwan terutama kucing.

Pemuda lulusan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Mekatronik dari Universiti Kuala Lumpur Malaysia - Institut Perancis ini berkata, lantaran itu dia tidak boleh bekerja dengan orang lain kerana fikirannya sentiasa teringatkan kucing-kucing di rumah.

 

Muhammad Ashrof pernah bekerja sebagai jurutera projek di sebuah syarikat di Kuala Lumpur tetapi hanya bertahan setahun.

Setelah berbincang dengan keluarga, ibunya mencadangkan supaya menggunakan ilmu pengetahuan mengenai haiwan bagi mencari rezeki.

Menamakan kedainya sempena nama kucing pertamanya, Omot, yang merupakan seekor anak kucing jantan yang dipelihara sejak kecil serta berhadapan dengan banyak masalah dan penyakit, tetapi sekarang menjadi seekor kucing yang sihat, gebu dan berbulu panjang.

Semasa Muhammad Ashrof membawa Omot memasuki pertandingan kucing di Sunway Velocity, Cheras, Kuala Lumpur tahun lalu, kucing kesayangannya itu memenangi tempat kedua dan ketiga.

MUHAMMAD ASHROF HALIL (kanan) dan Sheril Nizam Ariffin bersama kucing-kucing peliharaan mereka.

MUHAMMAD ASHROF HALIL (kanan) dan Sheril Nizam Ariffin bersama kucing-kucing peliharaan mereka.

Bagi mempersiap dirinya dalam pertandingan itu, Muhamad Ashroff mengikuti beberapa kursus dandanan kucing di Pulau Pinang, bertanya pada kawan-kawan yang turut memelihara kucing dan belajar melalui YouTube.

Sebelum membuka kedai haiwan itu, dia bersama kawan baiknya, Sheril Nizam Ariffin, 31, akan pergi ke rumah-rumah pelanggan untuk mendandan kucing mereka bagi mencari pengalaman.

Walaupun pernah dicakar, namun tidak mematahkan semangatnya untuk terus mendekati haiwan berkenaan.

Begitu juga dengan Sheril Nizam yang merupakan seorang pengurus projek, walaupun mempunyai pekerjaan tetap, namun kerana sayangnya pada kucing membuatkan dia tidak jemu-jemu membantu Muhammad Ashrof menguruskan kedai.

Muhammad Ashrof memberitahu, dia suka ke kedai yang menjual barang-barang kucing.

MUHAMMAD ASHROF HALIL bersama kucingnya, Omot.

MUHAMMAD ASHROF HALIL bersama kucingnya, Omot.

“Oleh kerana kawasan Cyberjaya ini belum lagi mempunyai kedai haiwan peliharaan, saya memilih lokasi ini dan menamakannya dengan nama Omot kerana nampak menarik sedikit.

“Kedai ini lengkap dengan pelbagai jenis makanan kucing, barang-barang permainan, keperluan harian seperti syampu, aksesori, ubat-ubatan asas dan sebagainya, hotel kucing dan banyak lagi.

“Selain itu, terdapat juga makanan ikan, anjing, hamster, tikus belanda (guinea pig), burung dan sebagainya.

“Walaupun baru dibuka tetapi saya sudah mempunyai ramai pelanggan tetap dan semakin dikenali malah kawan memberitahu seorang pelanggan di Singapura memuji layanan yang diberikan oleh kedai saya.

“Setiap hari saya akan membawa kucing-kucing saya ke sini, membiarkannya bermain dan bila malam, saya bawa pulang ke rumah. Begitulah rutin saya hari-hari,” kata Muhammad Ashrof yang memelihara kucing jenis bulu panjang domestik, bulu pendek domestik, Scottish Fold, bulu pendek British dan Scottish Straight.

Menurutnya lagi, pelanggan-pelanggan yang datang ke kedainya suka memegang dan bermain dengan kucing-kucingnya, justeru, sebelum itu dia akan meminta mereka membersihkan tangan dengan pembasmi kuman terlebih dahulu.

Ini bagi mengelakkan penyakit daripada berjangkit pada kucing-kucing. Biasanya pelanggan memahami apa yang dimaksudkannya.

Tambahnya, dia juga menyertai komuniti peminat kucing seramai 30 orang yang memiliki kedai haiwan peliharaan di seluruh Malaysia bagi bertukar-tukar pendapat mengenai perniagaan dan penjagaan kucing.

Jika anda ingin berkunjung ke kedai Omot Pet Shop, layari IG: omotpetshop_cyberjaya.