Tidak kurang yang memperlekeh jurusan tersebut, mungkin disebabkan persekitarannya yang perlu bergelumang dengan tanah, tanaman, ternakan dan berjemur pada panas matahari.

Kulit menjadi gelap, muka berjerawat, baju basah kerana peluh dan berbau busuk sudah pasti kurang disukai, biarpun hakikatnya pertanian adalah perniagaan.

Namun, gambaran itu tidak menjadi halangan bagi Fatimah Mohd Hassan Bashari, 24, sepanjang tiga tahun mengikuti pengajian Diploma Pengurusan Perladangan Makanan di Universiti Putra Malaysia (UPM), Kampus Bintulu, Sarawak.

Malah, pengalaman itu telah menyedarkannya bahawa itulah bidang yang diminati dan tidak pernah berasa rendah diri dengan pilihannya.

Anak keempat daripada enam beradik ini, berkata, sebenarnya ramai yang tidak mengetahui mengenai pertanian, sebab itu jurusan tersebut kurang menjadi pilihan pelajar.

“Walaupun Bintulu jauh di pedalaman, kehadiran saya di situ merupakan satu pengalaman baharu. Kampus yang berada di tengah-tengah kehijauan alam itu membuatkan saya dapat memberikan sepenuh tumpuan kepada pengajian.

“Mula-mula dahulu memanglah tak boleh terima, apatah lagi jauh dari keluarga sedangkan selama ini tidak pernah berenggang dengan mereka. Persekitaran pula sunyi dan dikelilingi pokok-pokok.

“Kebanyakan pelajar di kampus Bintulu adalah dari Semenanjung, jadi tiada masalah berkomunikasi. Namun ada juga pelajar daripada Bintulu sendiri, Sibu, Miri dan Mukah, yang saya dapat mempelajari bahasa-bahasa daerah mereka.

“Di Bintulu, terdapat hutan simpan dalam kampus yang cantik dan ada air terjun. Kami sering membuat aktiviti dalam hutan yang memberikan banyak pengalaman,” katanya yang lahir di Tampin, Negeri Sembilan tetapi dibesarkan di Kuala Lumpur.

Berdarah campuran

Berdarah campuran kerana ayahnya berasal dari Sudan, manakala ibunya orang Melayu, Fatimah kini berada pada tahun tiga Ijazah Sarjana Muda Sains dan Teknologi UPM.

Disebabkan jurusan yang diambil, tanah dan baja menjadi ‘mainan’nya, malah pernah diberikan projek membela ikan, memelihara 250 ekor anak ayam, puyuh, lembu dan sebagainya. Justeru, bau busuk sudah menjadi perkara biasa.

Pun demikian, dia tidak pernah merungut apatah lagi menolak tanggungjawab yang diberikan kerana terlalu minat kepada bidang tersebut.

Baginya, tidak ada masalah terutama bagi seorang wanita mendalami ilmu pertanian, cuma ramai yang beranggapan golongan tersebut tidak mampu melakukannya.

Bercerita lagi tentang pengalaman ketika belajar di Bintulu, kata Fatimah, disebabkan tambang penerbangan yang mahal, dia jarang pulang ke Semenanjung kecuali pada hari raya.

Biasanya, apabila cuti singkat semester, dia dan rakan-rakan akan melawat tempat menarik di Sarawak seperti Gua Niah, Bandar Raya Kuching, Kampung Budaya dan banyak lagi.

“Saya pun tak sangka sebenarnya banyak produk pelancongan yang menarik di Sarawak, termasuk kek lapis dan kain songket Sarawak yang kerap saya jadikan sebagai buah tangan apabila pulang ke Kuala Lumpur.

“Kampung Budaya merupakan tempat yang wajib dilawati kerana di situ terdapat beberapa buah rumah panjang Sarawak. Sambil melawat sambil belajar budaya mereka,” jelasnya.

Terpilih sebagai ahli MPP

DI SEBALIK kelembutan wajahnya, Fatimah sebenarnya mempunyai ketegasan tersendiri, ciri-ciri ada pada seorang pemimpin.

Sebab itu juga ketika berada pada tahun dua pengajian di UPM, dia terpilih sebagai ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) bagi sesi 2016-2018.

Memupuk minat dalam kepimpinan, dia dilihat mampu mengetuai organisasi dan menggalas tanggungjawab sebagai wakil pelajar.

Amanah tersebut diterima dengan baik dan dia pandai membahagikan masa antara pelajaran dan persatuan.

Apa yang penting, dia ingat kepada pesan bapa, boleh aktif tetapi jangan sampai mengabaikan pelajaran.

Fatimah lega dan berpuas hati kerana hasratnya untuk melunaskan janji seperti yang tertera dalam manifestonya tercapai pada September tahun lalu sebelum pemilihan baharu MPP diadakan.

Ternyata bukan setakat sifat kepimpinan, ciri-ciri fizikal banyak diwarisi daripada ayahnya.

Menurut Fatimah, dari segi fizikal dia dan lima adik-beradiknya yang lain banyak mengikut sebelah ayahnya, iaitu tinggi, berambut kerinting dan berbulu mata lentik.

Ceritanya, bapa yang memang berasal dari Sudan bertemu dengan ibunya yang ketika itu bekerja di sana.

Mereka berkahwin dan abang sulungnya telah dilahirkan di sana. Setelah abangnya berusia lebih setahun, mereka pulang ke Malaysia.