Walaupun memiliki kemewahan dan boleh hidup senang tanpa perlu bekerja, namun dia tetap mahu berusaha dan mengecapi kesenangan atas usaha sendiri.

Atas sebab itu, anak kedua daripada enam beradik ini memulakan perniagaan dengan berusaha dari bawah.

Dia membuka kafenya, Wolf & Turtle pada usia 23 tahun dan dalam masa 15 bulan sudah berjaya mendapat pulangan berkali ganda.

Memiliki Ijazah Sarjana Muda Pengurusan 
Perniagaan dari Universiti Reading, United Kingdom (UK), kata Syed Arif, minatnya berniaga telah wujud sejak di sekolah rendah.

Ketika itu, dia akan bertanya kawan-kawannya lagu-lagu yang mereka suka dan kemudian dia akan memuat naik lagu tersebut ke dalam cakera padat.

Setelah itu, dia akan menjual cakera padat itu kepada kawan-kawan.

Semasa bersekolah di Sekolah Sri Garden pula, dia yang menjadi kapten bola sepak sekolah tersebut ketika itu menjual pula baju-T pasukan bola dan hasil jualan yang diperoleh disimpan.

“Saya cukup minat berniaga dan ‘suka buat’ duit. Sekurang-kurangnya boleh mendapat duit poket sendiri untuk membeli kasut dan baju yang saya suka.

“Saya memiliki lebih 100 buah topi flat berjenama New Era, Puma, Adidas dan sebagainya. Kasut juga saya ada lebih 50 pasang. Kasut-kasut ini saya beli tetapi tidak pernah dipakai. Semuanya saya simpan dengan baik. Jika ada yang hendak membeli pada harga yang sesuai dengan pasaran, baru saya jual.

“Saya seorang yang sangat berjimat. Walaupun bapa seorang usahawan, namun mak mengajar kami adik-beradik sejak kecil supaya sentiasa merendah diri, jangan berlagak dan tidak boros,” kata Syed Arif.

Dia memberitahu, ibunya adalah seorang bekas guru dan sangat tegas. Katanya, ibunya cukup marah jika adik-beradiknya bersikap meninggi diri dan menunjuk-nunjuk.

“Kata mak, jika Tuhan hendak ambil duit kita, boleh berlaku bila-bila masa sahaja. Oleh itu, apa sahaja yang dilakukan, saya suka merujuk pada mak dan minta nasihatnya,” katanya semasa ditemui, baru-baru ini.

Walaupun boleh menjawat jawatan yang tinggi jika bekerja di syarikat bapanya, namun lelaki ini mahu belajar dari bawah kerana dengan cara itu dia lebih menghargai duit yang diperoleh hasil usaha sendiri.

Menurut Syed Arif, pada awalnya bapanya kurang yakin akan kemampuannya berniaga. Dia membiarkan anaknya itu menguruskan perniagaan kafenya dan berbangga apabila melihat kafe anaknya itu berjaya.

Tambah Syed Arif, dia mahu menjadi seorang usahawan yang berjaya di Malaysia tetapi buat masa ini dia masih belum merancang perniagaan yang hendak dilakukan.

Pun demikian, bapanya sering berpesan, perniagaan apa pun yang hendak dikendalikan, dia mesti mempunyai pengetahuan mengenai perniagaan tersebut.

Ditanya mengenai orang muda yang bercadang hendak berniaga, ujarnya, seseorang itu perlu percaya pada cita-cita, jangan dengar cakap-cakap negatif orang lain, usah buat separuh jalan dan niat mesti ikhlas.

Malaysia lebih baik dari London

WALAUPUN lebih lima tahun berada di Kota London kerana meneruskan pengajian namun Syed Arif tetap mengatakan Malaysia adalah sebuah negara yang jauh lebih baik daripada negara yang menjadi kemegahan bagi sesetengah orang untuk dikunjungi.

“Mungkin ramai yang menjadikan London sebagai destinasi utama untuk bercuti atau membeli-belah tetapi sebenarnya di Malaysia semua barangan ada dan jauh lebih murah dari semua segi.

“Saya tak nampak London istimewa kerana segala-galanya mahal. Rumah, makanan, pakaian dan sebagainya sangat mahal.

“Bagi sebuah pangsapuri kecil, sewa untuk seminggu sahaja lebih kurang RM1,800 sedangkan di Malaysia boleh mendapat sebuah rumah besar.

“Ramai juga kawan-kawan saya yang tidak mahu pulang dan mahu menetap di sana namun pada pendapat saya hujan emas di negara orang, hujan batu di negara sendiri, lebih baiklah di negara sendiri,” ujarnya penuh berkias.

Suka sifat serigala

SEJAK kecil, Syed Arif sangat suka kepada haiwan. Di rumahnya, dia memelihara empat ekor kura-kura, 24 ekor kucing dan tiga ekor burung kakak tua.

“Saya juga menyukai serigala tetapi tak boleh nak pelihara kerana berbahaya. Serigala ini unik. Haiwan ini bergerak dalam kumpulan dan diketuai oleh ketua yang dipanggil serigala Alpha.

“Serigala Alpha bertanggungjawab menjaga keselamatan kumpulannya dan sentiasa saling bantu-membantu. Begitu juga dengan kura-kura. Walaupun lambat dan dianggap lembab namun akhirnya boleh menang. Ini boleh dijadikan contoh bagi sesetengah orang,” katanya.