Untuk menjadi kelompok tersebut, anda tidak boleh melepaskan peluang untuk merasai sendiri cita rasa baharu yang dibawa dari Florida, Amerika Syarikat (AS), khusus buat si pencinta makanan.

TR Fire Grill buat pertama kalinya membuka cawangan di negara ini dengan membawa sajian artisan bersama pengalaman kulinari mewah yang diambil inspirasi dari negara Uncle Sam tersebut.

Selepas cawangan asalnya di Florida dan Hawaii, pilihan seterusnya adalah Pavilion Kuala Lumpur bagi memberi peluang kepada mereka yang gemarkan sajian kreatif menjamu selera dalam suasana tenang dengan dekorasi mewah.

Menawarkan kepelbagaian sajian di bawah satu bumbung, dari makan tengah hari ke makan malam, lebih separuh sajian yang dihidangkan di sini sama dengan di Florida, namun diolah dengan cita rasa tempatan dan menggunakan bahan-bahan halal.

Antara hidangan popular dan sering mendapat sambutan adalah Salmon & Zoodles, iaitu sajian sihat yang menggabungkan hirisan zucchini (timun Jepun) yang dihidangkan seperti mi bersama ikan salmon yang dimasak seakan-akan sambal Nusantara.

Selain itu, menu Oven Baked Pizza Dip sentiasa menjadi pilihan pengunjung yang ingin berkongsi makanan bersama kenalan, keluarga atau rakan sekerja kerana saiz hidangannya yang besar.

Antaranya, sajian gabungan tiga jenis keju iaitu buffalo mozarella, ricotta dan parmesan bersama pepperoni daging dan roti bawang putih yang dibakar.

Restoran ini turut memperkenal sajian tradisi masyarakat Amerika yang popular iaitu Chicken & Waffles. Kombinasi dua makanan tersebut kedengaran agak pelik, namun apabila sudah mencubanya pasti mahu menikmati lagi.

Gabungan rasa manis kepingan waffles yang disaluti sirap madu dan ayam goreng rangup seolah-olah menyokong rasa antara satu sama lain, seterusnya menjadikannya satu sajian unik.

Sekadar mahu menikmati minum petang, menu seperti Prime Rib Egg Rolls dan Smoked Chicken & Tortilla Soup boleh dijadikan pilihan, manakala mereka yang mahukan sajian berat, disyorkan sajian seperti Oven Roasted 1/2 Chicken yang dihidangkan bersama nasi beras basmati atau daging tulang rusuk yang menjadi signatur di restoran tersebut.

Dalam pada itu, penggemar coklat, perlu mencuba Chocolate Mayhem sebagai pencuci mulut. Gabungan kek coklat, sos gula Melaka, chocolate mousse, kepingan bar Snickers, biji kopi coklat espresso, serta ais krim coklat bersama kopi, pastinya melengkapkan makan malam bersama keluarga atau rakan-rakan.

Cukup mementingkan ramuan asli untuk mengekalkan rasa tulen dalam setiap masakan yang disediakan, Cef Eksekutif TR Fire Grill, Mohamad Bashir berkata, pihaknya mengetengahkan masakan jenis fusion kerana konsep masakan ini boleh diterima dan ‘masuk’ dengan selera rakyat Malaysia.

“Walaupun menu di sini kebanyakan kelihatan seperti menu Barat, kami cuba mengolahnya dengan cita rasa tempatan dan ramuannya juga boleh didapati di negara ini.

“Apa yang menjadikan sajian Barat di sini berlainan dengan tempat lain adalah kaedah masakan kami yang cukup istimewa.

“Sebagai contoh, setiap sajian salai, kami menggunakan kayu Hickory bagi menyerlahkan aroma kayu dan mempunyai rasa ‘manis’ untuk dipadankan dengan ayam, daging atau kambing,” katanya.

Menurutnya lagi, walaupun harga yang disenaraikan di menu kelihatan agak mahal, setiap sajian cukup berpatutan kerana kebanyakan bersaiz besar dan boleh dikongsi antara dua hingga tiga orang. - GAMBAR ZAINI HUSIN