Bagaimanapun sekarang sudah banyak dijual pakaian bersaiz besar. Semakin ramai pemilik butik yang peka dan menyedari kehendak wanita bersaiz besar yang juga hendak berfesyen.

Wanita bertubuh besar juga berhak untuk nampak cantik serta bergaya dan berbangga dengan bentuk tubuh mereka.

Najiha Ahmad Shahlan, 28, yang sememangnya bersaiz besar sejak kecil, terjentik hati untuk membuat pakaian bersaiz besar apabila setiap kali hendak membeli baju di kedai, saiz untuknya tidak ada. Hendak marah pun ada, berkecil hati pun ada, bosan pun ada.

Namun, siapa yang hendak dipersalahkan selain diri sendiri.

Fikirnya, jika hendak berpakaian cantik, jagalah badan. Jagalah pemakanan dan bersenam. Bagaimanapun itulah yang paling sukar hendak dilaksanakan dan menyeksa diri.

Justeru, bagi mendapatkan fesyen pakaian yang diingini, dia terpaksa menempah. Apabila saudara-mara dan kawan-kawan melihat bajunya, mereka berkenan dan bertanya di mana dia membeli.

Dia mula berfikir, kenapa dia tidak menjual sahaja pakaian untuk wanita bersaiz besar seperti dirinya. Sudah tentu mendapat sambutan kerana ramai yang mencari.

Bercerita mengenai fizikalnya,, dia tidak menyalahkan sesiapa, malah arwah bapanya bukan seorang yang obes dan sangat menjaga pemakanan serta kesihatan.

“Bagi saya sekeluarga, makan adalah satu kebahagiaan. Kami sekeluarga suka makan. Apa-apa pun majlis yang diraikan mesti ada banyak makanan.

“Jika hendak memujuk saya jika saya merajuk, mudah sahaja. Belanja sahaja makan. Saya tak perlukan apa-apa hadiah. Bagi makan saja sudah mencukupi.

“Daripada umur belasan tahun, lebih kurang umur 13 hingga 17 tahun saya sudah obes. Berat saya yang paling rendah pun ketika itu ialah 75 kg (kilogram). Berat saya boleh mencapai lebih lagi daripada itu.

“Saya tahu, faktor pemakanan dan keturunan adalah punca kepada saya bersaiz besar,” katanya yang cukup terbuka dalam membincangkan hal fizikalnya.

Kini seberat 115 kg, Najiha yang berkahwin pada usia 19 tahun, mengambil keputusan untuk berniaga sendiri pada 2012 atas alasan desakan hidup.

Walaupun mendapat 5A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan lima kali mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA), dia terpaksa menolak kerana tidak mahu membebankan ayahnya.

Anak bongsu lima beradik ini lebih rela ayahnya membantu abang-abangnya melanjutkan pelajaran.

Katanya, tiga tahun dia bekerja di sebuah syarikat komputer bagi mendapatkan pengalaman dan pengetahuan. Ini dijadikan perisai bagi memulakan perniagaan pakaian bersaiz besar.

House of Blouse by Najmar (Najmar), merupakan butik pakaian bersaiz besar, gabungan namanya dan keluarga suami yang bermula dengan Mar.

Bermula dengan satu butik di Plaza Shah Alam pada 2012, Najmar kini sudah melebarkan cawangan kepada dua lagi butik juga di Shah Alam dan Mergong, Alor Setar, Kedah, kerana banyak permintaan untuk pakaian bersaiz besar di negeri-negeri di utara.

“Saya mempunyai pereka fesyen yang menghasilkan rekaan untuk wanita bersaiz besar. Dia sudah enam tahun bekerja dengan Najmar dan sudah tahu kehendak pelanggan yang datang ke butik ini.

“Daripada situ, dia mengetahui bahawa wanita bersaiz besar mahukan rekaan dan jenis kain yang selesa, selain tidak perlu digosok,” katanya.

Jualan cecah jutaan ringgit

MUNGKIN ramai menyangka pakaian untuk bersaiz besar ini kurang pasaran berbanding dengan pakaian untuk wanita yang berbadan langsing atau bertubuh kecil.

Namun, melihat pada kejayaan Najiha yang berani membuat keputusan dan yakin dengan apa yang dilakukan, jualan untuk pakaian bersaiz besar berjaya mencecah jutaan ringgit hanya setelah dua tahun memulakan perniagaan.

Kini jualannya semakin meningkat, membuatkan dia semakin yakin dan bersemangat untuk terus melangkah ke hadapan.

Kepada wanita lain yang juga bersaiz besar sepertinya, pesan Najiha, jangan berasa rendah diri kerana setiap orang memiliki keistimewaan sendiri.

“Apa yang penting percaya pada diri sendiri dan kenal pasti kebolehan kita. Jadikan kekurangan kita sebagai satu kelebihan,” tegasnya.

Berbicara lanjut tentang koleksi pakaian keluarannya, katanya, buat masa ini dia menggunakan 50 jenis kain yang sesuai dan selesa bagi yang bertubuh besar seperti georgette, sifon, denim, kapas, sifon Itali dan banyak lagi.

“Kemudian saya akan melihat rekaan tersebut sama ada relevan atau tidak. Prinsip saya, sebelum pakaian tersebut dijual, saya akan pakai dahulu. Jika saya selesa, saya beranggapan pelanggan juga akan selesa. Begitu juga sebaliknya,” ujar Najiha.

Menurutnya, saiz pakaian yang disediakan bermula dengan saiz M bagi wanita yang seberat 70 kg hingga ke 3XL bagi yang memiliki berat badan 145 kg.

Selain itu, cara menggunting kain sangat penting dalam pembuatan pakaian bersaiz besar kerana jika silap potongan hanya akan menampakkan pelanggan lebih gemuk.

Ini yang menjadi salah satu tarikan utama pelanggan sehinggakan butik tersebut mempunyai ramai pelanggan tetap.

“Apa yang saya perhatikan pelanggan sangat berpuas hati dengan potongan pakaian kami, selain harga juga sangat berpatutan.

“Jika diadakan jualan murah, sehelai baju hanya dijual pada harga RM30 sahaja dan untuk tiga helai ialah RM100. Paling mahal ialah RM99.

“Pakaian yang dijual juga dipastikan sentiasa mempunyai corak baharu, sekurang-kurangnya tiga corak baharu dalam sebulan. Kini kami ada lebih 1,000 corak dan rekaan pakaian,” katanya yang butiknya turut dikunjungi pelanggan bersaiz biasa.