Ketika menyapanya, saya menyangka dia melihat dengan baik kerana bersungguh-sungguh suaranya menyambut kedatangan saya bersama pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di depan pintu. Namun, sebaik sahaja salam dihulur rupanya warga emas itu tidak nampak dengan jelas dan tangannya pula meraba-raba ke dinding untuk sampai ke depan pintu rumah.

Berkali-kali Zainon atau lebih senang disapa Wan (panggilan nenek untuk orang Negeri Sembilan) meminta maaf kerana tangan yang saya hulur tersalah sambut kerana dia tidak berapa nampak dan pergerakannya hanya berpandukan cahaya.

Melihatnya secara dekat, jelas sekali keadaan mata Wan kritikal akibat penyakit kencing manis yang ditanggung sejak sekian lama. Tidak pasti pula sama ada Wan pernah mendapatkan rawatan atau tidak.

Lebih mengejutkan, dalam keadaan Wan yang uzur itu dia juga menjaga seorang daripada tiga orang anaknya, Ramlah Latif, 51, yang merupakan orang kurang upaya (OKU) kerana mempunyai masalah pembelajaran sejak berusia setahun lapan bulan akibat demam panas.

Menurut Wan, sejak beberapa tahun lalu, semua kerja-kerja rumah dilakukan sendiri biarpun kudratnya tidak kuat. Ini kerana mengenangkan anaknya yang tidak mampu melakukan semua kerja berkenaan.

Namun, dia bersyukur kerana Ramlah yang merupakan pelatih di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti Rembau mampu menguruskan diri sendiri seperti mandi dan memakai pakaian.

“Setiap pagi Wan akan buat sarapan cekodok sahaja dan lauk tengah hari pula ikan masak asam kerana kedua-duanya mudah dan disukai Ramlah. Setiap hari menu yang sama. Wan pun dah lupa sejak bila menu tidak pernah bertukar.

“Walaupun lauk sama kami tidak kisah kerana ini tetap mengenyangkan. Ramlah juga tidak banyak soal kerana Wan rasa walaupun dia tidak normal, masih dapat memahami keadaan kami yang susah,” jelasnya ketika ditemui baru-baru ini.

Menceritakan kisah hidupnya, Wan memberitahu, dia merupakan seorang wanita yang bekerja keras demi membesarkan tiga orang anak memandangkan suaminya telah meninggal dunia lebih 12 tahun lalu akibat menghidap sakit buah pinggang.

Jelasnya, daripada kerja menoreh getah, membantu di kilang ayam sehinggalah menyabit rumput di kebun, semua Wan sanggup lakukan demi memastikan ada upah pada hari itu.

Katanya, kalau ada upah maknanya akan berasaplah dapur dan ada nasi memenuhkan perut anak-anaknya pada hari itu.

Sudah menjadi tabiatnya, tidak gemar meminjam wang daripada jiran tetangga kerana bimbang menyusahkan mereka selain tidak mahu dipandang serong.

“Ada satu ketika tidak ada makanan langsung di rumah, yang ada cuma sekeping roti putih. Wan terpaksa bahagi empat roti tersebut agar semua anak dapat mengisi perut masing-masing.

“Setiap kali teringatkan waktu itu, Wan rasa bersyukur kerana sekarang mendapat bantuan daripada JKM. Wan gunakan bantuan itu sebaiknya untuk menguruskan kehidupan kami anak-beranak,” ujarnya sambil menyeka air mata yang jatuh di pipi.

Linangan air mata wanita tua itu jika diamati penuh dengan rasa derita yang ditanggung sekian lama, namun ketentuan Yang Maha Esa tidak siapa mampu menidakkannya. Wan sendiri seolah-olah reda dengan nasib yang menimpanya.

Tidak mahu menangisi takdir, Wan nekad menggagahkan diri menjaga Ramlah, yang merupakan anak syurga itu, sehingga nafasnya terhenti.

Menurut Wan, sejak beberapa tahun lalu, dia hanya tinggal dengan Ramlah kerana dua anak yang lain kini menetap di luar Negeri Sembilan.

Biarpun memahami masing-masing sudah berkeluarga dan mempunyai kehidupan sendiri, jauh di sudut hatinya tetap berharap mereka dapat pulang untuk tinggal bersama-sama.

Apapun Wan enggan menyusahkan mereka, sebaliknya meneruskan sisa hidup bersama anak perempuannya itu dengan bantuan kewangan yang diperoleh daripada JKM setiap bulan sebanyak RM300 (Bantuan Orang Tua), manakala Ramlah menerima RM140 (Bantuan Am).

Pun begitu, apa yang membimbangkan Wan, dalam keadaan kesihatan yang sekiranya berlaku apa-apa kepadanya siapa yang akan menjaga anak syurga itu.

Jelasnya, setiap hari selepas solat dia akan memikirkan keadaan itu dan berdoa agar anak-anaknya yang lain dapat menyambung bakti dengan menjaga Ramlah hingga akhir nafas.

“Setiap kali Wan memikirkan perkara itu, Wan akan menangis sendirian kerana tidak sanggup melihat Ramlah terabai.

“Biasanya apabila melihat Wan menangis, Ramlah akan datang dekat bertanya dan terus mengusap bahu Wan. Dia akan pujuk Wan dan cakap dia akan tinggal di atas bumbung rumah untuk elak dikacau orang.

“Jawapan itu mungkin kelakar tetapi bagi Wan itu sangat menyedihkan kerana Wan faham dia sudah mula menerima jika sesuatu berlaku pada Wan suatu hari nanti,” ujar Wan berlinangan air mata mengakhiri perbualan.