Berkat kecekalan seorang anak muda, Mohd. Amirul Shazarul Yusoff, 27, yang mesra dengan panggilan Amirul, merawat haiwan ini berbekalkan ubat-ubatan dan nasihat doktor veterinar, Yuna kini semakin aktif biarpun masih terdapat beberapa masalah kesihatan dan saraf yang perlu dihadapi.

Mohd. Amirul Shazarul Yusoff.
Mohd. Amirul Shazarul Yusoff.

Menurut Amirul, dia mula melihat Yuna apabila ada rakan Facebook yang memuat naik status kucing itu yang cedera teruk selepas terjatuh dari tingkat 11 sebuah pangsapuri di ibu kota.

“Saya memang suka kucing dan gemar melihat Facebook dan grup yang memaparkan tentang perihal kucing. Saya terlihat gambar Yuna yang cedera pada waktu itu. Selepas tiga hari, rakan Facebook itu tetap memuat naik status mengenai Yuna yang nampaknya masih tiada orang yang bersedia untuk merawatnya.

“Kemudian, saya terus menawarkan diri untuk menghantar Yuna ke klinik haiwan. Bermula saat itu saya bertekad untuk menjaganya walaupun tidak tahu sampai ke mana hayat kucing betina baka Scottish Long Hair berwarna perang gelap itu.

“Semasa saya melihat Yuna, kecederaannya memang teruk. Haiwan ini memang 99 peratus lumpuh dan hanya mampu menggerakkan matanya sahaja dengan air mata bergenang di tubir mata seolah-olah mengharapkan simpati. Dia juga tidak boleh makan dan berlaku pendarahan pada usus menyebabkan kencing dan najisnya berdarah,” kata Amirul yang bekerja sendiri.

Amirul berkata, Yuna hanya dibenarkan makan makanan kucing dengan diet yang tertentu menggunakan picagari atau saluran tiub untuk makan dan minum.

Menurutnya, doktor mengesahkan disebabkan kecederaan itu, Yuna menderita masalah saraf dan sebahagian ekornya juga terpaksa dipotong kerana dijangkiti kuman, selain sudah mula berulat.

Namun Yuna memang seekor kucing yang kuat semangat kerana selang beberapa minggu dalam jagaan, haiwan itu sudah boleh menggerakkan kepala dan kaki depan. Kucing itu, kemudian mula berjalan dengan mengengsot menyebabkan sebahagian tubuh bahagian bawah mula berkudis kerana bergesel akibat jalan menyeret.

Amirul yang menetap di Shah Alam, Selangor, telah memuat naik status Yuna ke Facebook dan menerima pelbagai komen dan pujian daripada pembaca termasuk insan yang bermurah hati untuk menderma duit dan kerusi roda khas untuk digunakan Yuna.

“Latihan fisioterapi tetap saya lakukan dengan mengamalkan diet pemakanan yang seimbang untuk Yuna. Kucing ini terpaksa memakai lampin pakai buang kerana air kencing dan najisnya masih bercampur darah, biarpun sekarang semakin jangkitan kuman pada usus berkurangan.

“Yuna semakin aktif, biarpun lumpuh separuh badan apatah lagi setelah dipakaikan kerusi roda. Jalannya semakin laju ketika dibawa bersiar-siar di sekitar rumah. Ubat-ubatan tetap diberikan termasuk arahan cara penjagaan oleh veterinar.

“Saya merawat dan menjaga Yuna seumpama bayi. Kos merawat Yuna adalah paling mahal berbanding dengan kucing-kucing lain,” kata Amirul yang pernah menjaga beberapa ekor kucing jalanan sebelum ini.

Bagi yang mahu melihat sendiri Yuna boleh layari facebook Amirul raffael yusoff. - UTUSAN ONLINE