Video oleh ZALEHA JORIMAI

Demikian pengakuan Pengarah Urusan Kumpulan MK Curtain Berhad, Datuk Calvin Khiu, 37, berkongsi zaman kanak-kanak dan remajanya dibesarkan bagai menatang minyak yang penuh oleh nenek selepas kedua ibu bapanya berpisah.

Berniaga makanan ringan di pekan kecil Bukit Gambir, Tangkak, Johor, suatu hari neneknya dimasukkan ke hospital kerana diserang strok.

“Dalam wad dia minta saya panggil doktor sebab rasa sakit. Doktor kata kes nenek bukan kecemasan jadi kena tunggu sebab ramai pesakit lain lagi. Hingga ke petang dia menunggu, nenek menangis menahan sakit.

“Sejak kejadian itu saya berkata pada diri sendiri, saya tidak akan biarkan lagi keluarga saya begini, hidup susah. Saya perlu cari jalan untuk keluar dari kemiskinan dan berjaya,” katanya.

Peristiwa itu juga menjadi titik tolak kepada siapa Calvin pada hari ini, pengasas dan pemilik gedung langsir yang memulakan segalanya dari bawah.

Namakan apa saja pekerjaan yang tidak pernah dibuatnya. Daripada bekerja di pasar malam seawal usia 16 tahun, menjual gas dengan motosikal kapcai hingga menjadi promoter di kedai kain, segalanya dilalui tanpa rungutan dan penyesalan.

Kini, dia mengabadikan segala kepayahan tersebut dalam bentuk lukisan mural pada dinding di satu sudut ruang di gedung langsirnya, di Nilai, Negeri Sembilan.

Bukan sekadar untuk dikongsi dengan kakitangan dan pelanggan, malah sebagai peringatan untuk diri sendiri agar kaki terus berpijak di bumi nyata dan tidak lali dengan kejayaan yang dikecapi sekarang.

Kata Calvin, perniagaannya bermodalkan pengalaman setahun bekerja di kedai tekstil dan wang simpanan RM2,100, yang cukup untuk membayar deposit dan sewa kedai bulan pertama.

“Waktu itu tahun 2005. Saya bernasib baik pembekal tekstil yang saya kenali ketika bekerja dahulu sanggup beri kredit untuk tempoh tiga bulan.

“Berdua bersama isteri, kami bekerja seolah-olah tiada hari esok. Waktu itu kami tak mampu lagi ambil pekerja, jadi semua kami buat sendiri dari ukur hingga pasang langsir. Pernah sampai pukul 3 atau 4 pagi kami masih pasang langsir di rumah pelanggan.

“Hasilnya, bukan sekadar dapat bayar hutang pembekal tetapi pada tahun itu juga mendapat RM1 juta kami yang pertama dan mengaji dua pekerja.

“Ketika itu, barulah saya berani buka cawangan. Saya bekerja 16 jam setiap hari selama lima tahun. Hari raya orang cuti saya kerja, raya ke tiga atau ke empat baru tutup kedai. Setiap tahun macam itu,” katanya yang pada 2013 menerima anugerah JCI Ten Outstanding Young Malaysia Award.

Berpuluh lagi anugerah dan pengiktirafan menyusul selepas itu termasuk SOBA Young Entrepreneur of The Year 2017, Malaysia’S Top 10 Most Admired Young Entrepreneur Award dan MRCA Crown Awards Outstanding Noble Initiative.

Bukan tidak pernah melalui kegagalan malah satu peringkat sekitar 2011, dia hampir buntu apabila perniagaan bagai tidak bergerak ke mana. Syarikat menghadapi masalah untuk mengawal perkembangan cawangan yang berlaku terlalu pantas.

Calvin mengambil masa, berhenti dan merenung di mana silapnya. Dia mula nampak perniagaannya tidak ada sistem, tiada strategi pemasaran dan penjenamaan yang kukuh.

“Waktu itu, nampak perniagaan maju sikit, duit masuk banyak buka cawangan sana-sini. Ketika situasi ekonomi bagus, mungkin percaturan itu berjaya tetapi apabila ekonomi agak perlahan baru nampak kesannya.

“Dari situ saya belajar sebelum buka cawangan kena kaji dan faham macam mana untuk dapat untung, bagaimana nak dapat balik modal, strategi perniagaan dan sebagainya,” katanya.

Biarpun sudah berada pada kedudukan selesa, Calvin masih berharap dapat belajar daripada mereka yang lebih berjaya dan mampu mengembangkan perniagaan hingga luar negara.

Dia juga mahu menjadi individu yang mampu memberi inspirasi kepada orang lain terutama golongan muda yang punya semangat dan keinginan untuk berjaya sama ada bidang usahawan atau sebaliknya.

Dia menggunakan pengalaman dan ilmu melalui program Varsity Entrepreneurship, Skills and Talets (VEST) dan melahirkan ribuan usahawan muda terutama lulusan universiti.

Menamatkan persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Gambir, Tangkak, Calvin tidak segan mengaku tidak cemerlang dalam pelajaran, namun bukan halangan untuk jadi orang berjaya dan dihormati.

Baginya, habis sekolah bukan bermakna habis belajar, malah universiti terbaik adalah daripada pahit manis pengalaman hidup.

“Jika semua manis bagaimana kita nak belajar. Bila kita kenal susah baru kita tahu bertapa mahalnya kesenangan. Dari situ kita akan hargai kejayaan dan berusaha untuk menjaganya.

“Jangan hadkan belajar hanya di sekolah sahaja, sampai sekarang pun saya masih belajar, saya banyak membaca buku tentang orang-orang yang berjaya,” katanya yang melihat kejayaan dari sudut tersendiri.

Baginya, antara kejayaan yang membanggakan apabila pada 2016 MK Curtain mendapat pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records sebagai ruang pameran langsir terbesar di Malaysia, iaitu mencecah 99,000 kaki persegi.

Dia punya alasan sendiri kenapa begitu mengejar rekod, kerana bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia orang akan ingat perkara-perkara yang paling besar, paling cepat, paling dalam dan sebagainya.

“Sebab itu saya mahu masyarakat kenal kami sebagai yang paling besar,” katanya yang tidak menafikan kejayaan hari ini banyak dibantu oleh isteri yang susah senang di sisinya.

Berkenalan ketika sama-sama bekerja di kedai kain pada zaman remaja, kini mereka dikurniakan tiga anak.

“Isteri saya lulusan universiti. Saya pernah suruh dia kerja ikut apa yang dia impikan tetapi dia mahu terus di sisi saya. Sampai sekarang, selepas perniagaan berkembang kami masih satu pejabat,” katanya.

Selain mahu dikenali sebagai pusat langsir yang mampu milik dengan kualiti berbaloi, MK Curtain juga berbangga dengan rekaan-rekaan terkini.

Untuk itu Calvin akan memastikan pasukan pengurusannya sentiasa peka dengan trend langsir dunia, terutama dari kota-kota fesyen dunia seperti Shanghai, Jepun, Itali dan negara-negara Eropah.

Selain itu, dia juga sedang bergerak ke arah perniagaan francais dengan bimbingan Perbadanan Nasional Berhad (PNS) hasil daripada pertemuan dengan Pengarah Urusannya, Datuk Syed Kamarulzaman Syed Zainol Khodki Shahabudin.

Malah sebenarnya, syarikat tersebut telah memperoleh lesen sebagai francaisor pada 2017 dengan pembukaan tiga cawangan di Kelantan, Johor Bahru dan Sarawak, serta jangkaan 10 cawangan lagi menjelang akhir 2018.

Bawa keratan asal akhbar ini untuk dapatkan baucer RM50 bagi setiap pembelian RM100 dan ke atas di semua cawangan MK Curtain dan CK Textile. Tawaran sah hingga 20 Mei 2018.

RM50 baucer

RM50 baucer