Pengasas The Duck Group, Vivy Yusof berkata, jenama Duck yang semakin mendapat permintaan mendorong pihak­nya mengambil inisiatif untuk memperluaskan rangkaian jenama dengan membuka cawangan butik baharu setelah empat tahun membina jenama.

“Umpama mimpi menjadi nyata apabila pihak pengurusan Suria KLCC menawarkan kami lot kedai di sebuah bangunan ikonik negara iaitu Menara Berkembar Petronas (KLCC) yang sudah lama kami impikan setelah melancarkan koleksi tudung, KL Skyline yang menampilkan visual bangunan KLCC di helaian tudung tersebut.

“Malah kami juga diberi peluang untuk menjadi antara jenama tempatan yang ditawarkan tempat di tingkat premium yang berhadapan dengan butik-butik mewah antarabangsa seperti Gucci, Chanel, dan Dior,” katanya dalam majlis pembukaan rasmi butik Duck di sini, hari ini.

Katanya yang merupakan ikon Tahun Memperkasakan Wanita 2018, pihaknya tidak mahu dikenali sebagai jenama tudung semata-mata kerana mahu menjadikan jenama tersebut sebagai produk gaya hidup masyarakat Malaysia dan mempunyai potensi untuk menjadi jenama bertaraf antarabangsa.

Kini, The Duck Group telah mempelbagaikan tawaran produk kepada segmen kosmetik, alat tulis, aksesori, dan barangan rumah. - UTUSAN ONLINE