Biarpun mula dijual seawal pukul 5 pagi pada harga RM300 sehelai, tidak menghalang peminat tudung jenama tersebut untuk mendapatkan koleksi sempena hari raya yang hanya dikeluarkan sebanyak dua kali.

Pengasas The Duck Group, Vivy Yusof berkata, dia tidak menyangka koleksi tersebut terjual dalam tempoh yang singkat sehingga kedai dalam taliannya tergendala seketika kerana trafik terlalu tinggi.

“Saya menghargai pembeli-pembeli yang sanggup bangun pada awal pagi untuk mendapatkan koleksi ini dan pastinya ianya amat elegan untuk digayakan pada lebaran nanti.

“Koleksi The Doily Duck mengambil inspirasi daripada kertas Doily yang biasanya dijadikan pelapik di dalam balang kuih raya. Kehalusan ukirannya menjadi penyeri kepada sambutan hari raya bersama keluarga dan kenalan.

“Jadi, kami mengambil rekaan sama yang lebih diperhalusi untuk diserikan pada rekaan tudung empat segi dan tudung selendang dalam lapan warna menarik,” katanya ketika ditemui dalam majlis pelancaran The Doily Duck, di sini hari ini.

Koleksi ini boleh dibeli bermula hari ini di butik Duck di pusat beli-belah Suria KLCC, Pavilion Kuala Lumpur, semua butik FashionValet serta laman web FashionValet.com.

Pihaknya turut meraikan pelancaran The Doily Duck dengan mengadakan bazar jualan di Centre Court, Pavilion Kuala Lumpur sehingga Ahad ini dan turut mengadakan sesi demonstrasi pemakaian tudung serta permainan menarik kepada pengunjung.- UTUSAN ONLINE

Video oleh NURSYAMIMI SAIDI