Ada yang Allah pendekkan ujiannya dan ada yang berlarutan, malah ada juga yang ujiannya datang bertimpa-timpa, bak kata pepatah sudah jatuh ditimpa tangga.

Bagi Muhammad Luk Zairye Abdullah, dia merupakan salah seorang insan yang ‘terpilih’ untuk diuji tatkala usianya mencecah 42 tahun.

Menurut anak kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu, selama ini dia bahagia dan gembira menjalani kehidupan bersama isteri dan empat orang anaknya.

Bekerja sebagai seorang perancang majlis di Kuala Lumpur, segala-galanya berubah dalam sekelip mata apabila dia terlantar di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, Selangor.

Dikesan menghidap penyakit kencing manis tahap kritikal, Muhammad Luk, yang dahulunya merupakan ketua keluarga dan menjadi tempat bergantung, hari ini hanya mampu duduk memikirkan nasib yang menimpa diri dan keluarga.

Pergerakannya terbatas dan tidak boleh melakukan kerja-kerja berat, menjadikan segala tanggungjawab keluarga kini digalas isteri, Zakiah Zainudin.

Bercerita lebih lanjut mengenai kisahnya itu, Muhammad Luk memberitahu dia sebelum ini tidak pernah mengalami sebarang masalah kesihatan.

Mempunyai berat badan lebih 60 kilogram (kg), dia yang merupakan seorang mualaf selepas memeluk Islam pada 6 Oktober 1996, mengakui, disahkan menghidap penyakit kencing manis setelah membuat pemeriksaan kesihatan apabila berat badan susut dan penglihatan kabur.

 

“Alhamdulillah, sebelum ini saya dikurniakan kesihatan yang baik dan tidak pernah sakit, malah saya juga tidak tahu bahawa saya menghidap penyakit kencing manis.

“Ini kerana saya tidak mempunyai sejarah ahli keluarga yang menghidap kencing manis, lagi pun tanda-tandanya juga baru sebulan dirasai sebelum ditahan di ICU.

“Apa yang memeranjatkan, apabila dibawa ke hospital pada Ogos tahun lalu, doktor memberitahu bahawa penyakit saya kritikal dan sekiranya lambat boleh membawa maut.” ujarnya ketika ditemui Mega Rona di perkarangan HTAR, baru-baru ini.

Turut ditemani isteri tercinta, Muhammad Luk, yang juga mempunyai seorang anak mengalami disleksia berkata, kalau boleh dia tidak mahu kesusahan dirinya sekeluarga dijaja untuk meraih simpati ramai.

Tapi apakan daya, Zakiah yang hanya bekerja sebagai pembantu pembedahan pergigian cuma memperoleh gaji bersih bulanan sebanyak RM1,020.

Perlu menjelaskan sewa rumah sebanyak RM500 sebulan, perbelanjaan sekolah anak-anak, belanja harian dan kos perubatan Muhammad Luk yang mencecah RM300 sebulan, membuatkan adakalanya mereka sekeluarga terpaksa menahan lapar.

Begitupun, Muhammad Luk dan Zakiah amat terharu dan berterima kasih kepada Lembaga Zakat Selangor kerana membantu mereka melunaskan tunggakan sewa rumah selama lima bulan.

Bukan itu sahaja, keluarga itu turut mendapat sumbangan berbentuk barangan dapur seperti beras, susu, gula, dan sebagainya dari Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim).

“Baru-baru ini, wakil dari Lembaga Zakat Selangor juga ada berkunjung dan meminta saya mengisi borang untuk meminta bantuan sewa rumah.

“Saya amat bersyukur jika ia diluluskan kerana wang yang ada boleh dibuat untuk perbelanjaan harian lain dan untuk anak-anak.

“Sekarang ini pun isteri dan anak-anak berkorban untuk melihat saya kembali sihat apabila mereka sekadar makan apa yang ada, manakala saya diberi makanan yang berkhasiat.

“Alhamdulillah saya rasa semakin sihat walaupun hakikatnya tidaklah pulih sepenuhnya. Kalau boleh saya mahu bekerja semula seperti sebelum ini untuk menyara keluarga,” katanya.

Hari ini, selain perlu mengambil insulin dan ubat-ubatan sepanjang hayat, Muhammad Luk, reda apabila diberitahu salah satu buah pinggangnya bocor.

Selain mengalami kebas di bahagian hujung jari kaki dan sakit pada bahagian lutut, kulit pada bahagian kedua-dua belah kakinya turut bersisik dan kuku kakinya juga telah ‘mati’.