Menurut Atikah, sudah lebih sebulan semenjak keluarga berkenaan berhajat untuk menyewa rumah yang sudah dua minggu dikosongkan oleh penyewa yang terakhir dan sejak itu juga kehidupannya sekeluarga menjadi huru-hara.

Dalam pertemuan yang berlangsung di sebuah gerai makan, Atikah memberitahu, dalam tempoh sebulan itu, hanya dua kali dia bertemu dengan bakal jirannya itu yang hanya memperkenalkan diri sebagai Jah.

Katanya, Jah mempunyai dua orang anak remaja. Suaminya berada di luar negara kerana bertugas sebagai anggota keselamatan.

Sementara menunggu rumah itu siap dibersihkan, Jah menginap di sebuah rumah lain kepunyaan mentuanya di Ampang.

“Kebetulan, suami aku juga tiada di rumah dalam tempoh dua bulan ini kerana bertugas di pelantar minyak. Apa-apa hal sekarang ini aku yang menanggungnya,” adu Atikah yang mempunyai dua orang anak sedang menuntut di universiti.

Atikah adalah seorang wanita bekerjaya. Biasanya awal pagi dia sudah keluar dan hanya pulang selepas lewat petang.

Seperti orang lain, hujung minggu adalah masa untuk berehat di rumah dan adakalanya dia menjenguk ke penginapan anaknya di Perak.

“Banyak masa aku tiada di rumah. Jadi, aku pun tidak berjumpa sangat dengan si Jah ni. Bila aku balik dia dah tiada. Bila aku ada dia pula dah balik. Bila hujung minggu pula, dia tidak datang menjenguk rumahnya.

“Aku tidak kisah siapa yang datang hendak menyewa di sebelah rumah tu, bukan rumah aku pun. Tapi apa yang aku marah sangat ini apabila orang yang bakal menjadi jiran ini tidak mempunyai sikap menghormati sesama jiran.

“ Sepatutnya dia patut tahu batas-batas dan adab sebagai seorang jiran. Ini tidak semuanya dia main langgar saja,” kata Atikah yang tinggal di sebuah taman perumahan di Subang, Selangor.

Atikah memberitahu, berbeza dengan penyewa sebelum ini, keluarga Jah banyak mengganggu kehidupannya peribadinya.

“Bayangkan, bila aku balik kerja, batu-bata bertaburan di kawasan bertar di depan pagar rumah aku. Itu belum lagi dengan sampah-sampah berlonggok. Apa yang menyakitkan hati, tempat aku biasa letak kereta diletakkan tong sampah besar. Habis di mana aku nak letak kereta?

“Aku pernah letakkan nota supaya dia alihkan tong besar itu di hadapan rumahnya yang kosong. Adalah dia alihkan, tapi mungkin sekaki di hadapan. Punyalah pendek akal, bagaimana nak letak kereta dengan keadaan yang sempit seperti itu.

“Sudahnya aku terpaksa membawa kereta masuk ke porch, sekarang bolehlah, sebab tempat itu kosong, tapi bila suami dan anak-anak aku balik nanti, semuanya memerlukan tempat untuk meletakkan kereta,” katanya.

Katanya, sudahlah balik kerja dengan keadaan penat, terpaksa pula mengemas kawasan rumah yang berselerak.

Kalau tidak dikemas, sakit pula mata memandang,” adu Atikah.

Aapabila dia ke belakang di bahagian dapur, dia melihat longkang tersumbat kerana plastik-plastik sampah dan botol-botol air mineral berselerak di bahagian kawasan halaman kecil di belakang rumah.

Itu belum lagi pasu bunganya yang diletakkan di tepi pagar rumah teres dua tingkat itu itu pecah terkena serpihan kayu yang jatuh dari atas.

Dia juga berang apabila daun pokok pisang, buah limau nipis, daun kunyit, daun limau purut dan pokok serai yang ditanam di situ turut menjadi mangsa.

Bahagian belakang iaitu di kawasan dapur, hanya pagar jaring sahaja memisahkan kawasannya dengan jiran, justeru, tanamannya boleh sahaja dipetik dengan mudah kerana pokok-pokok berkenaan ditanam di tepi pagar.

Ada satu hari, Atikah mendapati pokok mangga yang ditanam di tepi rumahnya juga kelihatan berserpihan dahannya dengan daun dan buahnya berguguran ke tanah.

Ini kerana orang mengambil buah dengan cara memukul menggunakan kayu menyebabkan buah mangga yang masih muda berselerakan.

“Selama duduk di sini, aku tiada masalah, ini baru pertama kali aku rasa mempunyai jiran yang bakal menyusahkan aku. Ini belum lagi menetap terus di rumah sebelah itu, sekiranya sudah berpindah nanti, entah apalah yang dia akan lakukan yang menyebabkan darah aku naik,” jelasnya.

Menurut Atikah, proses pengubahsuaian yang dilakukan itu tidaklah banyak dan tidak melibatkan sebarang penukaran yang besar, tetapi jirannya itu melakukan kebanyakan kerja-kerja secara sendirian seperti mengecat dan membersih, menyebabkan dia mengambil mudah mengenai kebersihan rumah orang lain.

“Aku rasa dia bebas berbuat begini kerana dia tidak bertemu dengan aku kerana jarang terserempak. Kalau ikutkan hati mahu aku ambil cuti beberapa hari hendak selesaikan perkara berkenaan.

“Tunggulah satu hari nanti, kalau keadaan ini tidak berkesudahan, aku akan bertemu dengannya. Kita lihat bagaimana buku bertemu dengan ruas,” kata Atikah geram.

Sebaik mendengar hasrat Atikah, saya menasihatkannya agar tidak terlalu terburu-buru dalam emosi dan memintanya agar menggunakan pendekatan lebih berhemah dan bersabar ketika menangani masalah sedemikian dengan jirannya itu.

Biarpun perasaan marah dan geram itu pasti akan menular di dalam diri akibat sikap jiran sedemikian, tetapi bertemu dan berbincang adalah seelok-elok perkara yang perlu dilakukan.

Bertolak ansur dan berkompromi adalah penting kerana sudah tentu pada masa akan datang dua keluarga ini akan duduk bersebelahan dan saling memerlukan antara satu sama lain dalam pelbagai hal yang mendatang.

Kalau situasi ini tidak dikawal, sudah tentu percakaran ini tiada kesudahannya. Bagi keluarga Jah pula, apa yang penting ialah sifat menghargai dan menghormati jiran itu perlu ada dan ditanam dalam diri untuk mengatasi masalah apabila tinggal bersebelahan.