Mungkin ramai yang tidak percaya tetapi ia berlaku.

“Keadaan menjadi lebih sedih apabila saya disisihkan ayah selepas isteri baru ayah melahirkan anak yang menjadi adik tiri saya. Malah ibu tiri juga berusaha memisahkan saya dengan bapa,”demikian pengakuan Mona (bukan nama sebenar) kepada saya dalam e-melnya.

Ingin tahu lebih lanjut, kita ikuti kisah Mona seterusnya.

“Saya berusia 30 tahun, telah berkahwin dengan seorang penjawat awam setahun lalu tetapi masih belum dikurniakan zuriat.

“Suami, seorang yang penyayang dan sangat baik. Sejak berkahwin, saya rasa selamat dan tidak lagi takut dengan ‘permainan’ adik-adik berlainan ibu yang bimbang saya akan bolot harta ayah.

“Ibu meninggal dunia ketika saya berusia 10 tahun. Setahun kemudian, ayah bernikah lagi. Saya mendapat sepasang adik. Sejak kecil, saya tidak menghadapi masalah untuk bergaul dengan mereka, kerana saya sudah bersedia dengan segala kemungkinan yang akan berlaku.

“Tetapi perubahan ayah dalam membesar dan memberi layanan kepada anak-anak bersama isteri barunya sangat ketara. Saya macam tidak wujud dalam hidup mereka.

“Apa yang mereka hendak, semua dapat. Tidak seperti saya, sangat terhad. Ayah dan arwah mak sangat berjimat dan berbelanja ikut keperluan sahaja.

“Kami hidup gembira walaupun saya selalu didera perasaan oleh adik-adik dan ibu mereka. Takut sangat mereka, ayah lebihkan saya. Pada hal, mereka lebih banyak dapat habuan berbanding saya.

“Niat saya bukan ingin merampas kasih sayang ayah sepenuhnya, juga bukan kerana harta tetapi kerana saya perlukan kasih sayang ayah. Sejak mak tak ada, ayah memang tidak begitu pedulikan saya.

“Di peringkat awal perkahwinan, saya tidak nampak perubahan ayah walaupun ketika itu, saya masih kecil. Tetapi apabila adik pertama lahir, saya mula merasa diketepikan.

“Macam-macam yang mereka lakukan untuk menyakitkan hati saya. Ayah asyik mengendong anak barunya. Mak tiri buat-buat tak nampak saya. Tegur pun jarang. Saya makan hati bertahun-tahun. Melihat kasih sayang ayah yang melimpah ruah untuk adik-adik.

“Mujur Allah buka jalan supaya saya tidak menanggung kesedihan berterusan. Saya dapat tawaran melanjutkan pelajaran tingkatan satu di sekolah berasrama di utara tanah air.

“Alhamdulilalh, dalam usia muda, saya belajar berdikari, hidup sendiri di tempat orang. Ayah jarang datang melawat, kecuali mengambil dan menghantar saya semasa cuti penggal.

“Saya bersyukur kerana keluarga sebelah arwah mak tinggal di utara. Jadi, ibu saudara dan nenek selalu datang melawat saya, bawa jalan dan makan-makan. Mereka simpati dengan nasib saya walaupun saya tidak pernah bercerita tentang ayah.

“Perhatian ayah kepada saya semakin jauh. Saya semakin terasa hati. Ayah dan keluarga barunya semakin bahagia dan saya terus terpinggir. Untungnya saya tidak tinggal bersama ayah, jadi hati saya sedikit tenang.

“Begitulah jadinya sehingga saya remaja. Keputusan peperiksaan yang memihak kepada saya melayakkan saya terus tinggal di asrama sehingga tamat tingkatan 5.

“Masa saya banyak dihabiskan dengan keluarga nenek sebelah arwah mak sebab mereka yang ambil berat tentang saya. Saya semakin dewasa dan faham dengan sikap ayah dan keluarga baharu saya.

“Apabila masuk universiti, saya semakin faham dan tidak lagi merasa apa-apa. Adik-adik juga semakin besar. Ayah menjaga mereka dengan baik. Saya tidak mahu selamanya menjadi punca saya tidak rapat dengan adik-adik. Saya hanya berdoa supaya satu hari nanti, saya akan reda dengan kehidupan saya selepas ini.

“Apabila jodoh saya sampai, saya bawa calon suami jumpa ayah, berkenalan dengan keluarga saya. Alhamdulillah ayah tidak menolak pilihan saya. Kini, saya bahagia dengannya.

“Saya berterima kasih dengan ayah kerana menikahkan saya. Terubat juga hati saya dengan restu ayah. Saya juga berterima kasih kepada nenek dan keluarga sebelah arwah mak yang bersusah payah semasa majlis perkahwinan saya, sebab saya buat di kampung dengan persetujuan ayah.

“Malah, saya juga tidak putus doa agar satu hari nanti, hubungan saya dengan ayah dan adik-adik akan menjadi akrab. Sekarang baharu saya faham kenapa ayah berbuat demikian kepada saya dahulu. Walaupun sudah berlalu, ia satu pengajaran untuk saya. Mudah-mudahan Allah makbulkan doa saya,’’ sayu Mona menamatkan ceritanya.

Saya faham perasaan Mona. Saya percaya, satu hari nanti keadaan akan menjadi baik. Itu semua hanya perasaan Mona sahaja. Saya tidak fikir ayah Mona begitu sikapnya.

Kadangkala, kita terasa hati kerana tidak boleh menerima orang baharu menggantikan orang tersayang yang telah pergi.

Insya-Allah, setiap perkara baik yang diminta, Allah akan makbulkan. Jangan putus doa.Pastinya ada hikmah tersembunyi di sebalik semua kejadian.

Menamatkan catatan, pesanan saya, perancangan Allah lebih hebat daripada perancangan manusia. Reda dan bersyukur serta muhasabah diri!

 

Salam