Khairool yang bertugas sebagai ahli geologi di sebuah syarikat minyak dan gas berasa sangat terpukul kerana tiga tahun sebelum itu, isterinya, terpaksa berhenti kerja kerana memberi tumpuan kepada rumah tangga dan menjaga anak-anak yang seramai empat orang.

Kini komitmen semakin bertambah, rumah perlu dibayar, begitu juga dengan kereta, membantu ibu bapa, anak-anak pula bersekolah swasta.

Bagaimana dia hendak melunaskan semua bayaran tersebut. Hampir sahaja dia menukarkan persekolahan anak-anaknya ke sekolah biasa.

Bermacam-macam usaha dilakukan asalkan mereka mendapat wang yang halal. Mujur mereka memiliki sebuah apartmen dan bagi mendapatkan wang, apartmen tersebut disewakan. Kenderaan pula terpaksa dipajakkan dan tinggal sebuah sahaja bagi kegunaan menghantar anak-anak ke sekolah dan sebagainya.

Daripada usaha tersebut, dapatlah pasangan yang masing-masing berusia 35 tahun itu mengumpul wang sebagai belanja bulanan.

Sementara Wirdalina pula yang dahulunya bekerja sebagai jurutera juga di sebuah syarikat petroleum, berniaga sambilan tudung dewasa dan kanak-kanak, serta menjadi ejen pelaburan unit amanah.

Mujurlah perniagaan tudung yang diusahakan secara dalam talian itu mendapat sambutan dan mempunyai pelanggan hingga ke Singapura.

Namun, dia sedar tidak boleh hanya mengharapkan pada perniagaan tersebut, justeru cuba mencari jalan bagaimana hendak meningkatkan jualan.

Wirdalina mendapat inspirasi, iaitu bagi setiap pelanggan (ibu) yang membelikan tudung untuk anak-anak mereka akan mendapat pin tudung Swarovski secara percuma. Ini adalah sebagai strategi perniagaannya. Mujur ramai yang menyukai pin tudung tersebut dan sambutan cukup menggalakkan.

Melihat pada sambutan tersebut, dia mengambil keputusan bagi memberikan fokus pada pin tudung daripada kristal Swarovski sahaja.

Dengan hanya bermodalkan RM200, dia nekad mula berniaga. Bulan pertama cukup mencabar dan mendebarkan. Bagaimana jika tidak berjaya sedangkan duit simpanan sudah habis.

“Saya hanya mampu mengucap syukur kepada Tuhan kerana dengan modal sebanyak RM200 itu kami memperoleh pulangan sebanyak RM30,000 dalam bulan pertama kami berniaga. Waktu itu Mei 2017.

“Kebetulan bulan puasa semakin menghampiri dan permintaan semakin bertambah. Jualan meningkat menjadi RM60,000. Sepanjang bulan puasa itu, saya hanya tidur beberapa jam sahaja kerana menyiapkan pesanan pelanggan melalui pos.

“Kami kemudian mendapat tawaran daripada pihak Swarovski Austria bagi membuka akaun dengan mereka dan membeli kristal Swarovski menggunakan sistem e-dagang.

“Pada Oktober, iaitu lima bulan selepas mula berniaga pin tudung tersebut, jualan meningkat ke RM100,000.

“Hari ini, jualan keseluruhan pin tudung dan kerongsang jenama Wirdora milik kami mencecah RM1 juta,” kata Wirdalina yang bertindak sebagai Ketua Pegawai Operasi Amishary Sdn Bhd,

Mula berniaga dari rumah, kini mereka telah berpindah ke pejabat sendiri di Ampang, Selangor.

Di antara produk yang mereka keluarkan ialah pin tudung, kerongsang, butang baju Melayu dan cincin skaf yang kesemuanya dihiasi dengan kristal tersebut.

Percubaan Wirdalina memulakan perniagaan pin tudung kristal Swarovski tidak sia-sia kerana kini dia mempunyai seramai 160 ejen di seluruh Malaysia, Singapura, Brunei dan Indonesia.

Di sebalik usaha untuk muncul sebagai usahawan berjaya, Wirdalina mempunyai misi tersendiri iaitu memberi peluang kepada wanita memakai aksesori bertaraf antarabangsa pada harga mampu milik.

Terdapat wanita yang memakai tudung yang mahal berharga hingga ribuan ringgit tetapi pin tudung atau aksesori tudungnya tidak setaraf dengan harga tudung.

“Sudah tentu mereka mahukan pin tudung dan kerongsang yang berkualiti dan juga bernilai tinggi supaya mereka tampil lebih berkeyakinan.

“Saya mahu menjadi pemula trend. Memakai tudung mahal sekarang sudah menjadi biasa kepada ramai wanita. Tudung sudah mahal jadi pin tudung juga semestinya mahu yang mahal juga.

“Lagipun wanita yang bertudung sudah tidak nampak lagi aksesori atau barang kemas lain seperti rantai dan anting-anting. Justeru itu, ia boleh digantikan dengan pin tudung dan kerongsang ini.

“Saya cuba meningkatkan kualiti produk daripada semasa ke semasa. Sekarang ini saya menggunakan pin keluli dengan saduran rodium. Pin keluli ini lebih tajam, kuat, tidak berkarat, tidak mudah bengkok dan kristal tidak mudah tanggal. Mungkin selepas ini saya akan menggantikan pin keluli ini dengan emas pula jika ada permintaan,” katanya.

Sebagai pengeluar aksesori daripada Swarovski, ujarnya, setiap produk kini didatangkan dengan tag khas yang diiktiraf dan dikeluarkan oleh Swarovski Austria dan memiliki kod tersendiri.

Pelanggan yang membeli produk bernilai RM100 ke atas akan diberikan tag ini serta kad jaminan. Jika sebelum ini, tempoh jaminan hanya untuk dua bulan tetapi kini satu tahun.