Sungguhpun begitu, sesetengah individu yang menghidap pelbagai komplikasi penyakit masih ingin memenuhi tuntutan ibadah berpuasa kerana beranggapan mampu menguruskan kesihatan dengan baik, biarpun sebenarnya amat berisiko jika tiada panduan dan pemantauan daripada doktor terutamanya yang menghidap diabetes.

Nestle Health Science dengan kerjasama Institut Jantung Negara (IJN) memperkenalkan panduan khas untuk membolehkan penghidap diabetes berpuasa dengan yakin di samping dapat menjaga tahap gula darah sepanjang Ramadan ini.

Pegawai Perniagaan Nestle Health Science, Emilyn Loo berkata, buku berjudul Nutren Untuk Diabetik, Panduan Pengurusan Diabetes dan Resipi Ramadan Enak&Lazat direka untuk menyediakan penyelesaian dan pendidikan praktikal bagi amalan puasa yang selamat untuk mereka yang menghidap kencing manis.

“Sebagai pihak yang sentiasa mahu mempromosi kesihatan yang baik untuk pesakit diabetes melalui produk suplemen Nutren Untuk Diabetik, kami menanam keyakinan dan menyokong penghidap kencing manis untuk menjalani kehidupan yang lebih sihat.

“Tabiat makan sepanjang Ramadan menjadi faktor utama yang menambah risiko komplikasi kepada penghidap diabetes jenis dua yang mana risiko itu boleh terjadi sekiranya pesakit tidak mengambil berat jenis makanan yang diambil,” katanya dalam majlis pelancaran Nutren Untuk Diabetik, Panduan Pengurusan Diabetes dan Resipi Ramadan Enak&Lazat di IJN, baru-baru ini.

Menurut Timbalan Pengurus Perkhidmatan Dietetik dan Makanan IJN, Siti Farhath Sehu Allavuddin, pesakit diabetes dalam kategori risiko tinggi termasuklah warga emas, ibu mengandung, dan mereka yang melakukan kerja fizikal yang kuat lebih cenderung mempunyai kadar gula dalam darah yang tinggi dan berisiko menghidap hipoglisemia dan dehidrasi ketika berpuasa.

Ujarnya, terdapat juga kemungkinan berlakunya peningkatan hiperglisemia semasa bersahur dan berbuka puasa.

Tambahnya lagi, penghidap diabetes tidak boleh meninggalkan sahur dan sajian harus terdiri daripada makanan seimbang dengan karbohidrat yang mencukupi, manakala pada waktu berbuka puasa pula, mereka perlu berbuka tepat pada waktunya dan mengambil air yang mencukupi untuk menggantikan kehilangan air di siang hari.

“Pesakit harus membincangkan pelan pengurusan makanan diabetes bersama profesional penjagaan kesihatan mereka sebelum berpuasa kerana kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan tahap gula dalam darah tidak terurus dan diabetes menjadi tidak terkawal.

“Penghidap yang bergantung kepada ubat untuk menurunkan gula dalam darah harus berunding dengan doktor mereka tentang kaedah berpuasa dengan selamat dan mengetahui langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan sebarang risiko,” katanya.

Dalam pada itu, Pengurus Kanan Perkhidmatan Makanan & Dietetik IJN, Mary Easaw berkata, penghidap diabetes perlu membataskan pengambilan makanan bergoreng atau berlemak, dan makanan mengandungi garam serta gula yang tinggi.

Namun begitu, satu hingga dua kurma boleh diambil ketika berbuka puasa.

Katanya, buku panduan pengurusan diabetes yang diterbitkan Nestle Health Science dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Pemakanan dan Dietetik IJN boleh membantu membekalkan maklumat dan tip praktikal mengenai pemakanan yang sihat, dan amalan terbaik untuk berpuasa.

“Kami mencadangkan lapan resipi ‘mesra’ diabetes yang cepat dan mudah disediakan seperti Yogurt Curry Marinated Fish, Buzz Coffee Smoothie Morning, bubur lambuk, dan Tikka Masala Kubis Bunga yang semuanya menggunakan minuman nutrisi lengkap dan seimbang, Nutren Untuk Diabetik,” ujarnya.

Buku panduan ini boleh didapati secara percuma di laman web, www.nestlehealthscience.my. - UTUSAN ONLINE