JUDY
JUDY

Rasa sekali pasti nak lagi. Itulah yang dapat digambarkan tentang kelazatan masakan Arab. Menghidangkan pelbagai jenis sajian, bermula dengan sup sebagai pembuka selera, diikuti masakan panggang, nasi beriani dan jus, hingga masakan kambing.

Sangat bersifat ‘kedesaan’ apabila kebanyakan sajiannya dimasak dengan memberi tumpuan kepada sos, potongan daging kecil direbus bersama sayur-sayuran dan daging dimasak berkuah dengan api sangat kecil.

Juga boleh dianggap makanan yang cukup mewah dengan sayur-sayuran, herba dan ikan.

Bahan-bahan yang biasa digunakan adalah seperti kambing, daging, ayam, terung, kacang, bawang putih dan tumbuhan kekacang yang lain.

Terletak di tengah-tengah bandar Kuala Lumpur, Restoran The Castle menampilkan himpunan makanan Arab istimewa dari Turki dan Iraq.

Pengurus restoran, Judy Castle berkata, pembukaan restoran tersebut adalah untuk memenuhi selera rakyat Malaysia yang gemarkan makanan Arab tanpa berbelanja besar.

"Di sini, kami menyediakan lebih 100 jenis masakan dan harga ditawarkan juga berpatutan yang bermula daripada RM30 sehinggalah RM55 seorang.

"Selain itu, apa yang kita mahukan ialah pelanggan itu merasa sendiri pengalaman menikmati keenakan masakan yang kami bawakan khas dari negara berkenaan," katanya yang ditemui di The Castle, Jalan Mayang Sari, Off Jalan Tun Razak, Hampshire Park, Kuala Lumpur.

Antara menu istimewa ialah nasi mandil ayam dan kambing, sandwich falafel, madghut kambing, hummus (celupan kacang kuda dengan minyak zaitun dan jus lemon), kebab dan banyak lagi.

Hidangan-hidangan lain ialah daging moulokhiya (daun moulokhiya yang dihidangkan bersama nasi dan daging kambing), shekh el mashi (terung berinti daging kisar), daging kambing atau ayam oqdah berperisa bawang putih dan digoreng bersama tomato.

Jelas Judy, nasi mandil misalnya selain dimasak menggunakan beras basmati, ia dimasak secara tradisional bagi memastikan kualitinya terjamin.

Boleh memuatkan sehingga 350 hingga 400 pelanggan pada satu masa, restoran tersebut turut dilengkapi dengan perabot serba mewah dan kemasan kayu jati yang memberikan deria anda pengalaman menakjubkan.

"Selain menerima pelanggan yang ingin menjamu selera setiap hari, kami turut menerima tempahan untuk mengadakan pelbagai jenis jamuan atau keraian termasuk majlis perkahwinan," katanya.

- RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH