Dalam usia sementah ini, baik Muhammad Amin Iskandar Mohd. Rizal ataupun kanak-kanak lain pasti tidak mengerti apa yang berlaku di sekelilingnya apatah lagi kepada diri sendiri.

Masih tidak mampu bertutur dan berdiri, Muhammad Amin Iskandar anak kecil ini sedang menderita penyakit juvenile myelomonocytic leukaemia iaitu sejenis kanser darah.

Didiagnos ketika berumur lima bulan, penyakit tersebut, menyebabkan hati dan limpa Muhammad Amin Iskandar semakin membengkak.

Walaupun pergerakannya terbatas dan hanya mampu terbaring, namun anak ini juga sudah tentu mempunyai naluri ingin bergerak bebas sebagaimana kanak-kanak normal yang lain.

Menurut ibunya, Nurizzaty Bahari, 27, anak keduanya itu memang seorang yang aktif tetapi akibat penyakit yang dialami, tulang pinggang Muhammad Amin Iskandar menjadi lemah yang menyebabkan anaknya itu tidak boleh duduk, berdiri, berjalan, dan juga bertutur.

Malah proses perkembangan ototnya juga tidak normal.

 

Akibat penyakit ini, bukan hanya hati dan limpa anak itu membengkak tetapi perut turut membengkak dan mengeras, menyukarkannya untuk meniarap.

“Setakat ini Muhammad Amin Iskandar tidak mempunyai masalah untuk makan atau minum susu dan alhamdulillah masih belum lagi berlaku penolakan dari dalam badannya. Sel kansernya juga belum merebak,” ujarnya ketika ditemui di rumahnya di No. 46, Jalan 8, Taman Desa Rhu, Sikamat, Seremban, Negeri Sembilan.

Bercerita lebih lanjut mengenai keadaan anaknya itu, Nurizzaty memberitahu, kini Muhammad Amin Iskandar bergantung hidup dengan ubat mercaptopurine iaitu sejenis ubat kemoterapi yang perlu diambil setengah biji, sekali sehari pada setiap hari.

Ubat ini perlu dimakan sepanjang hayat kerana buat masa ini tiada cara lain untuk menyembuhkan penyakit tersebut.

“Jujur saya beritahu, peluang untuk saya dan suami melihat Muhammad Amin Iskandar hidup dan membesar seperti kanak-kanak lain mungkin hanya harapan.

“Ini kerana satu-satunya kaedah penyembuhan iaitu melalui pemindahan sum-sum tulang tidak akan berlaku kerana sum-sum tulang anak sulung saya, Muhammad Aman Firdaus, 2, tidak sesuai dengan anak bongsu saya itu.

“Ini secara tidak langsung, ‘menutup’ peluang Muhammad Amin Iskandar untuk sembuh dan pihak doktor sendiri berharap agar ubat yang dibekalkan serasi dengan diri anak saya itu dan seterusnya dapat menyembuhkannya,” jelasnya dalam nada sebak.

Biarpun pernah doktor memberitahu harapan untuk sembuh bagi anak itu mungkin tiada, pasangan ini akan terus berdoa agar satu hari nanti impian mereka untuk melihat anak kecil ini membesar dengan sihat, tercapai.

Bagi rawatan, dia perlu berulang-alik ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan susulan dua atau tiga bulan sekali atau bergantung kepada kesihatan anaknya itu.

Nurizzaty berkata, setakat ini dia menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Seremban sebanyak RM200 dan RM500 setahun daripada Baitulmal Seremban.

Begitupun, dia yang juga merupakan suri rumah sepenuh masa tetap bersyukur kerana walaupun ada kalanya pendapatan bulanan suami tidak mencukupi, tetapi masih mempunyai ibu bapa yang sanggup membantunya.

Suaminya, Mohd. Rizal Omar, 23, yang merupakan tukang masak di sebuah kilang di Seremban hanya memperoleh gaji bulanan sebanyak RM1,200.

Biarpun bersyukur dengan bantuan yang diterima, namun, Nurrizzaty tetap berharap agar dia berpeluang untuk mendapatkan bantuan secara bulanan daripada Baitulmal bagi meringankan beban keluarganya.