“Apa yang saya ceritakan ini adalah pengalaman sendiri, tidak menghina sesiapa. Seperti biasa, setelah beberapa tahun putus cinta ramailah kawan yang ingin kenalkan saya dengan kawan mereka atau teman suami mereka ataupun saudara mereka.

Tujuan mereka memang baik supaya saya tidak putus asa, malah bersedia menerima orang baru menjadi calon suami. Sebab mereka kesiankan saya, kata mereka bila dapat kawan manalah tahu saya boleh menjadikan calon suami,’’ itu cerita Nona Sahariah ketika kami berbual.

“Sebenarnya saya bukanlah frust sangat setelah putus cinta, sebab itu bukan kali pertama, sudah dua kali berkawan dan putus sebab tak serasi. Pada saya kalau dah putus mungkin ada baiknya dan saya tak kesal. Malah saya berpendapat lebih baik putus cinta daripada putus kasih sayang setelah berkahwin, sebab banyak masalahnya.

“Tetapi kawan ramai bersimpati. Salah seorang adalah Kak Sal, katanya kawan sekolah suaminya mungkin sesuai dengan saya, apa salahnya berkenalan dahulu, kemudian berkawan, jika ada kesesuaian bolehlah bertunang.

“Saya dah tawar hati, malas nak layan lelaki, cukuplah dah dua orang “hanguskan” hati saya, biar saya sendirian beberapa tahun cari ketenangan. Tetapi Kak Sal kata buat apa nak tunggu lama-lama. Makin lama tunggu, umur makin meningkat, dah lebih 35 tahun lagi susah nak cari suami.

“Kerana desakan, akhirnya saya mengaku sahaja. Kata Kak Sal namanya Karl seorang duda, sebaya suami Kak Sal, sudah menduda lebih empat tahun. Kini baru terniat nak kahwin.

“Selang dua hari, Karl telefon saya. Dia kenalkan dirinya dan terus mengaku dia duda ada dua orang anak dan anak-anaknya dipelihara oleh bekas isteriya. Dia bekerja di Utara dan beritahu tempat kerjanya, jawatan dan jenis kerjanya, kelulusannya siap hantar gambarnya dalam WhatsApp supaya saya percaya kata-katanya.

“Oleh sebab dia telefon waktu bekerja, saya tak banyak cakap, saya cuma kata, ‘Oh ya’ dan haah! haah’ sahaja. Lepas tu saya minta dia telefon waktu petang bila dah balik rumah, mungkin saya ada waktu lapang. Saya memang tak suka diganggu waktu bekerja.

“Di rumah pulak belum habis saya solat maghrib dia dah telefon. Saya tak jawab, dia main WhatsApp pulak. Kerana dia WhatsApp saya pun balas WhatsApp. Saya tak jawab telefon sebab nak sambung solat isyak. Saya bukan ustazah atau alim sangat, tetapi itulah yang saya lakukan sejak akhir-akhir ini. Sebab saya rasa aman bila duduk atas tikar sejadah.

“Biasanya saya tak makan malam, saya cuma minum dan makan roti atau buah sambil baca buku sebelum tidur. Tetapi disebabkan Karl telefon saya terpaksa jawab. Maka berceritalah dia panjang lebar tentang dirinya, tanpa ditanya. Saya layan hingga 10.30 malam, lepas itu saya akan beritahu saya perlu tidur, esok saya terpaksa bangun pagi sebab saya tak suka traffic jam kalau lambat ke pejabat.

“Esok pagi telefon lagi, tanya saya dah sarapan ke belum, kat mana sarapan, makan apa. Pada saya ini soalan remeh, setelah menjawab yang mana perlu, saya minta izin nak buat kerja. Tengah hari telefon lagi, tanya lagi. Begitulah berterusan selama sebulan. Kak Sal mula bertanya dah jumpa Karl ke belum. Saya kata belum sebab sibuk.

“Seminggu lepas itu saya terkejut bila sampai di pejabat seorang lelaki tersenyum pandang saya. Saya syak ini mesti Karl. Memang tepat. Tak ikut naik pejabat dia ajak saya sarapan. Habis sarapan dia ikut saya naik pejabat lagi.

“Ini saya tak suka. Saya tegah Karl jangan ikut, sebab saya banyak kerja, tetapi dia berdegil masih nak ikut juga.

“Kerana kesibukan bekerja saya suruh Karl duduk di ruangan menunggu. Mulalah dia berbual dan mengenalkan dirinya dengan teman-teman saya yang bertanyakan dia tunggu siapa. Lunch kami makan bersama. Dan dengan sopan saya suruh dia balik jangan buang masa di KL. Katanya di KL dia ada ramai sahabat, kenalan dan saudara mara yang dia boleh jumpa, maka saya suruh dia jumpa saudara mara atau kenalannya.

Naik rimas

“Tetapi esok pagi datang lagi, ajak sarapan lagi, kemudian lunch lagi. Alamak ini sudah lebih saya naik rimas. Dengan sabar saya tanya bila nak balik ke utara katanya malam nanti. Katanya, dia datang untuk berkenalan dengan saya lebih rapat lagi.

“Demikianlah halnya, Karl sentiasa telefon siang malam, tak kira waktu bekerja atau malam hari selama tiga bulan selepas perkenalan kami. Ikut lapang dan senang dia sahaja, dia tak pedulikan masalah kita. Sementara saya yang sibuk, saya tak ada masa nak layan dia berbual di telefon lama-lama, kecuali ada benda penting.

“Pernah Karl tanya saya duduk dengan emak ayah atau sewa rumah, saya beritahu kerana tempat kerja jauh, saya sewa rumah berkongsi dengan kawan. Saya tidak beritahu duduk rumah yang dibeli sendiri. Sebab saya lebih suka berahsia tentang soal peribadi.

“Tiga bulan kemudian, Karl datang KL katanya dia nak cari kerja dan dia sudah letak jawatan, terkejut saya. Saya tanya mengapa tak cari kerja dulu sebelum berhenti, mengapa buat keputusan mengejut. Katanya, ada kawan yang berjanji ada kerja di tempatnya. Dah pastikah dapat kerja tersebut. Katanya, mungkin dapat. Terkejut saya. Pada saya Karl suka buat keputusan tergesa-gesa tanpa fikir panjang.

“Oleh sebab dah berhenti kerja selalulah dia ‘bersidai’ di pejabat saya, ini satu lagi yang saya tak suka. Katanya di KL dia tumpang duduk rumah saudara. Kerana tak tahan dengan perangainya bertangga di pejabat saya, saya tanya mengapa tak cari kerja. Jangan buang masa di sini lebih baik buka komputer cari kerja yang sesuai.

“Perkara yang buat saya rimas, bila dia sentiasa ajak saya lunch dan dinner bersama. Bukan tak sukakan dia, tapi saya risau dia tak fikirkan masa depannya. Peliknya dia langsung tak risau dirinya tidak bekerja, saya suruh dia cari kerja, dia cuma kata okay.

“Satu hari ayah panggil saya balik rumah ada hal nak bincang, bila sampai saya tengok Karl ada di sana. Sekali lagi saya terkejut. Apa hal ini? Lepas minum ayah beritahu Karl akan hantar rombongan meminang minggu depan. Lagi saya terkejut! Tak beritahu saya terus nak bertunang apa hal ni. Oleh sebab tak mahu malukan Karl, saya diam.

“Malam itu bila waktu dinner saya tanya Karl mengapa tak runding dengan saya dulu. Katanya benda baik mengapa nak lambatkan. Soalnya di mana nak cari duit nak buat hantaran meminang, sedangkan dia belum bekerja. Alasannya dia ada simpanan, saya tak perlu risau, dia dah siapkan duit hantaran. Tetapi saya berkeras saya tidak akan nikah selagi dia tidak bekerja.

“Tiga bulan kemudian sekali lagi ayah panggil balik, sedangkan saya baru balik minggu sebelumnya. Hati saya mula berdebar. Tertanya-tanya adakah Karl putuskan pertunangan, jika itu terjadi saya tak kisah, sebab saya rasa antara saya dengan Karl tak serasi. Kami memang tak sesuai. Entah apalah nasib saya, setiap kali berkawan semuanya tak serasi.

“Oleh sebab emak dan ayah belum balik dari majlis kenduri kahwin. Saya berbual dengan kakak. Saya lihat muka kakak ada kerisauan. Saya tanya apa masalah kakak, apa berlaku pada emak atau ayah. Kakak jawab semua okay. Tapi tunggulah abang datang nanti. Lagi saya terkejut. Ini tentu ada berita pelik. Apa hal? Saya desak kakak bercerita supaya saya bersedia.

“Kakak kata Karl jumpa abang, dia desak supaya perkahwinan kami disegerakan sebab kami sudah terlanjur. Terkejut beruk saya. Sambung kakak lagi, oleh sebab dia tak cukup duit dia minta abang dahulukan duit hantaran, selepas majlis abang boleh ambil semula duitnya. Saya rasa nak pengsan! Saya mengucap panjang. Jelas ayah mesti mengamuk dengar cerita ini.

“Bila ayah balik sebaik-baik ayah masuk ke bilik hendak bertukar pakaian saya jumpa ayah dan emak minta maaf. Muka ayah masam mencuka. Sebelum abang sampai baik saya bercerita dahulu.

“Saya nafikan saya sudah terlanjur. Saya tak pernah minta perkahwinan kami disegerakan. Saya ceritakan sebab Karl tidak bekerja, dia sudah berhenti kerja. Saya terpaksa buka cerita ini walaupun memalukan saya dan Karl.

“Ayah dan emak terdiam, mungkin terkejut tak sangka orang yang baik berbudi bahasa rupanya pembohong. Bila abang datang, ayah segera suruh dia duduk dan dengar saya habiskan cerita. Kesimpulannya abang, kakak serta ibu dan ayah buat keputusan tangguhkan perkahwinan, tetapi saya tegas hendak putuskan pertunangan.

“Kata ayah keluarganya datang cara baik biarlah kita putuskan dengan baik juga. Masalahnya mereka duduk jauh dan kita tidak ada cara untuk menghubungi mereka kecuali melalui Karl.

“Akhirnya abang putuskan berjumpa Karl ceritakan keputusan kami. Episod itu tak berakhir di situ. Saya dimalukan kepada kawan di pejabat dengan menceritakan keburukan saya. Tapi saya tak peduli, Kak Sal yang mulanya menyebelahi Karl akhirnya bila bertemu saya yakin dengan cerita saya.

“Kak Sal minta maaf kerana mengenalkan Kark kepada saya. Tapi saya tak malu dan tak sedih, malah saya bersyukur. Kalau saya berkahwin juga mungkin hidup saya tak keharuan.’’

Demikian cerita Nona Sahariah tentang kisahnya bertunang tapi kahwin tak jadi. Nasihatnya kepada gadis-gadis yang ada teman lelaki jangan bercerita peribadi kita kerana jika kahwin dia tak boleh jaja diri kita macam ikan di pasar.