Namun bagi Kelab Kucing Malaysia, faktor itu belum memadai tetapi tahap kesedaran yang tinggi perlu ditingkatkan dalam masyarakat agar kebajikan spesies ini tidak diabaikan.

Menurut presidennya, Khalid Rashid, bilangan kucing yang semakin banyak di jalanan menyebabkan ada pihak yang tidak peka termasuk mendera haiwan ini dengan kejam.

Oleh itu, sejak terbabit dalam kelab itu pada awal tahun 1980-an, ia secara tidak langsung mencetuskan inspirasi buat beliau agar masyarakat lebih penyayang terhadap haiwan.

“Kalau ada yang tidak minat dengan kucing, janganlah sepak atau dera kucing yang ada di tepi-tepi jalan. Kalau ada kucing yang mencuri ikan di rumah, itu biasa sebab ia lapar.

“Cubalah sedekah sedikit kerana tidak miskin pun disebabkan seekor ikan yang disedekahkan itu. Ini adalah antara sifat-sifat penyayang yang kami mahu tekankan kepada masyarakat.

“Dalam setiap acara yang kami anjurkan, kami selalu mengadakan ceramah bagi menimbulkan kesedaran seperti ini,” katanya kepada Mingguan Malaysia, baru-baru ini.

Kelab Kucing Malaysia, katanya, adalah kesinambungan daripada Malaysian Cat Fancy yang ditubuhkan di negara ini pada tahun 1971 oleh golongan ekspatriat pelbagai negara.

Jelas Khalid, pada mulanya kelab itu hanya dianggotai tidak sampai 10 orang ahli tetapi kemudiannya ia mendapat sambutan apabila disertai oleh ramai masyarakat tempatan.

“Kelab itu ditubuhkan oleh mat-mat saleh atau golongan ekspatriat yang menetap di Malaysia. Dulu namanya Malaysian Cat Fancy dengan sekitar lima ahli sahaja.

“Presidennya dari Jerman dan timbalannya dari England. Mereka ini membela kucing-kucing baka yang cantik dan juga buat persembahan kucing. Mereka yang tubuhkan kelab itu.

“Pada tahun 1980, satu pameran kucing diadakan di Bangsar, Kuala Lumpur. Saya pergi ke pameran itu. Ketika itu ada sekitar 40 ekor kucing sahaja yang dipamerkan,” ujarnya.

Kata Khalid, Malaysian Cat Fancy kemudiannya mengajaknya menyertai mereka kerana ketika itu tiada masyarakat tempatan yang menyertainya kerana beberapa faktor.

Antaranya mungkin ketika itu ramai penduduk tempatan yang malu bergaul dengan golongan ekspatriat atau mereka tiada baka kucing eksotik seperti golongan tersebut.

“Saya ahli pertama daripada kalangan orang Melayu yang menyertai kelab itu. Sejak itu, banyak pameran kucing diadakan dan sedikit demi sedikit orang Melayu menyertainya.

“Selepas beberapa tahun golongan ekspatriat itu pulang ke negara masing-masing dan kebetulan ketika itu penyanyi pop yeh-yeh, J. Sham baharu habis belajar di England.

“Beliau membawa pulang kucing baka birman dan oleh sebab usia saya baharu mencecah awal 20-an, maka saya cadangkan beliau sebagai presiden kelab yang baharu,” katanya.

Kelab Kucing Malaysia yang mempunyai sekitar 1,000 ahli berdaftar dan lebih 100,000 ahli tidak rasmi di Facebook, Khalid berharap usaha-usaha kelab itu dapat ditingkatkan.

Antaranya bagi mendapatkan sokongan kerajaan terutama Jabatan Veterinar Malaysia dalam usaha menangani masalah kucing-kucing terbiar di jalanan yang semakin bertambah.

“Saya telah banyak kali berbincang dengan pihak Jabatan Veterinar bagi mencari jalan mengurang kucing-kucing jalanan yang semakin banyak membiak sekarang ini.

“Kami sedia memberi idea bagi mengatasi masalah ini seperti usaha memandulkan atau mewujudkan taman-taman khas untuk kucing di satu-satu tempat di seluruh negara.

“Ia juga boleh dijadikan tempat tarikan untuk orang ramai. Ini semua untuk kebaikan daripada segi kebersihan, apatah lagi jabatan itu ada banyak kepakaran,” ujarnya.

Sehubungan itu, Khalid berharap kerajaan dapat bekerjasama dengan Kelab Kucing Malaysia agar haiwan yang mudah membiak ini tidak menimbulkan masalah pada masa depan.