Namun, kebahagiaan yang dirancang tidak berpanjangan. Mereka bercerai dan membawa haluan masing-masing. Wanita cekal ini, Arjiah Muhammad Rafie, 48, mengambil keputusan untuk menjaga sendiri kesemua anaknya.

Jejak Asnaf kali ini memilih Arjiah yang sudah 19 tahun menjadi ibu tunggal untuk dijadikan pedoman dan diambil iktibar oleh masyarakat di luar sana.

Tidak salah jika dikatakan Arjiah seperti mempunyai kekuatan bionik kerana rutin hidupnya tidak pernah sesekali dibiarkan seperti menggoyangkan kaki, setiap masa diisi dengan kerja, semata-mata demi memastikan kelangsungan hidup dan pendidikan anak-anaknya terbela.

“Jadual harian saya bermula di awal pagi. Selepas menyiapkan anak-anak, saya menitipkan mereka ke sekolah. Balik dari sekolah, saya akan menguruskan emak (sakit diabetes kronik). Kemudiannya, saya pergi berniaga lemang dan jagung di tepi jalan besar. Tengah hari, saya perlu kembali ke sekolah mengambil anak. Kemudian balik ke rumah saya harus segera memasak makan tengah hari. Petang ke sekolah agama menghantar anak-anak lagi.

“Sebelah malamnya, saya membakar lemang untuk jualan esoknya. Di sela-sela itu, saya akan mengajar anak-anak mengaji al-Quran. Saya akan tidur lewat malam, malah kadang-kala awal pagi. Begitulah setiap hari,” Arjiah menceritakan betapa sibuknya dia satu waktu dahulu.

Malah tong gasnya juga pernah hilang dicuri orang, sewaktu dia mengambil anaknya di sekolah.

MENABUR BAKTI DI KAMPUNG

Walau bagaimanapun Arjiah yang berasal dari Sungai Leman, Sekinchan, Selangor menganggap hidup akan menjadi mudah jika dia sentiasa berfikiran positif.

Maka atas dasar itu, selepas bercerai dia bukan sahaja sanggup menjaga kesemua anaknya tetapi sanggup kembali ke desa untuk menjaga orang tua.

“Selepas berpisah, mula-mula saya membantu kakak di butik pakaiannya. Alhamdulillah, saya ini jenis yang cepat belajar. Dalam tempoh dua bulan di butik, saya sudah boleh menjahit walaupun tidak mempunyai asas jahitan. Tetapi saya tidak lama di butik kakak, tidak sampai setengah tahun saya ambil keputusan balik ke kampung. Niat saya hanya satu, saya ingin menjaga anak-anak dan juga ibu bapa yang sudah uzur di kampung,” katanya.

Rezeki Arjiah agak murah, dia ditawarkan untuk menyewa sebidang sawah oleh bapa saudara. Lalu, kira-kira 10 tahun Arjiah menjadi petani yang setia. Dia mengusahakan sawah yang disewa itu dan pada masa yang sama membanting tulang di tanah sawah milik ibunya.

“Tetapi harga padi ketika itu sangat rendah. Sekali musim menuai, saya selalunya hanya dapat hasil dalam 10 tan, harga satu tan padi hanya RM600. Setelah ditolak kos dan juga dibahagikan dua, maka hasilnya tidak sebanyak mana. Tetapi, saya tetap bersyukur dengan rezeki yang diterima,” katanya.

Memikirkan bahawa dia tidak boleh hanya bergantung kepada hasil sawah, maka Arjiah mencari alternatif lain. Lalu dia teringat, pengalaman beberapa bulan di butik jahitan kakaknya sebelum ini pasti dapat membantu.

“Buat permulaan, saya mengambil tender menjahit pakaian dari kilang kain. Tetapi keadaan kesihatan ibu yang mulai merosot, sedikit sebanyak mengganggu kerja berkenaan. Ibu menderita diabetes agak lama, iaitu dari tahun 2000 hingga 2008. Sebelum itu, ayah meninggal dunia pada tahun 2001, kerana serangan lelah.

“Selepas kematian ibu, tanah sawah yang saya usahakan itu harus dikongsi dengan 11 orang adik beradik. Saya mendapat pusingan pada tahun ketujuh. Bayangkan, betapa sukarnya untuk saya menampung kehidupan. Pendapatan bulanan memang merosot, namun saya tetap bersyukur kerana dikurniakan anak-anak yang bijak dan mendengar kata,” katanya mengenang kisah silam.

Anak pertamanya, Arif Asyraf, 24, kini sudah bekerja sebagai juruteknik; anak kedua, Arisya Nur Ain, 22, kini belajar dalam bidang perniagaan di Universiti Malaysia Sabah; anak ketiga Arisya Nur Azreen, 21, belajar dalam bidang pemasaran di Universiti Malaysia Terengganu dan anak keempat, Nur Shazleen, 20, belajar dalam bidang Seni Reka Industri di Universiti Teknologi MARA.

MULA ‘BERKENALAN’ DENGAN LZS

“Tahun 2004 merupakan saat paling sukar. Pendapatan mengecil tetapi tanggungan semakin membesar. Maka, saya bertanya kepada pihak jawatankuasa kampung apakah saya ini layak mendapat zakat,” katanya.

Jadual hidupnya ketika itu padat dengan pekerjaan dari pagi membawa ke malam. Masakan tidak, dengan status ibu tunggal dia harus membesarkan anak-anaknya sendirian. Pada masa yang sama, dia juga wajib menata urus ibunya yang menderita penyakit diabetes kronik.

Dengan izin Allah, jodoh Arjiah dengan LZS memang ada. Dia diakui layak menerima bantuan zakat. Antara yang diberikan ialah bantuan persekolahan untuk anak-anaknya, bantuan hari raya, bantuan bulanan dan juga bantuan makanan. Arjiah juga diberikan sebuah rumah oleh LZS yang dibina bersebelahan rumah ibunya.

“Sekitar tahun 2006, LZS memberikan saya modal sebesar RM5,000 untuk menyewa bendang. Saya berfikir dengan modal sebesar itu, ia dapat memanjangkan lagi langkah saya dalam mengusahakan bendang dan sekali gus melipatgandakan pendapatan. Tetapi ketentuan Allah di luar jangkauan. Ibu meninggal dunia pada tahun 2008, dan bendang milik ibu telah diwariskan kepada 11 orang anak. Sudah pasti giliran membuat bendang mengecilkan peluang saya menambah rezeki. Bayangkan, selepas tujuh tahun baharu menjadi giliran saya.

Sementara itu, tanah bendang bapa saudaranya telah dijual kepada orang lain yang bermakna pendapatannya semakin mengecil. Ditambah dengan keadaan anak-anak yang semuanya sedang meningkat besar dan sedang rancak menyambung pelajaran, maka Arjiah tidak mampu bertahan.

Dia yang sepatutnya dicadangkan keluar daripada status asnaf, akhirnya kembali bernaung di bawah LZS. Harapan Arjiah hanya satu, iaitu LZS menanggung pendidikan anak-anaknya, itu yang utama.

“Alhamdulillah, LZS bantu anak-anak saya di pusat pengajian tinggi,” katanya.

BUKA BUTIK

Kini, Arjiah sedang giat mengusahakan butik di sebelah rumahnya. Rumah yang dahulunya dibina oleh LZS, kini jadikan sebagai kedai jahitan, manakala rumah pusaka peninggalan orang tua jadikan tempat berteduh.

“Saya tetap mengusahakan sawah dan pada masa yang sama mengambil upah menjahit pakaian. Saya boleh menjahit baju Melayu, jubah, kemeja, baju kurung dan juga baju pengantin. Alhamdulillah, sambutan pun nampaknya sangat baik.

“Saya berdoa semoga Allah memberkati semua pihak yang telah membantu saya selama ini. Kepada anak-anak juga saya sering berpesan, agar kelak satu hari nanti mereka juga mesti menjadi pembayar zakat. Jangan ada sifat kikir, kita juga mesti membantu orang lain,” katanya.

Nota: Sesiapa berminat menempah pakaian, boleh menghubungi Arjiah di talian 017-657 6608.