"Saya tak cakap pasal orang lain tetapi tentang perangai kalangan saudara mara adik beradik saya sendiri. Nama aja adik beradik, masa kecil semua sama, tak ada lebih tak ada kurang, emak latih dan didik kita sama adil tetapi bila dah besar, bila dah berduit dan berada sikit, perangai mula berubah.

Kalau perangai buruk pasangan mungkin saya faham, tetapi kalau adik beradik, yang sama-sama makan colek sambal belacam, makan tempoyak, makan pucuk ubi, tapi sekarang dah berubah sangat. Bukan setakat adik beradik berubah sikap, malah anak-anak dia pun ikut sama.’’ Itu cerita Norita, menamakan dirinya Kak Ita ketika berbual, sedangkan saya jauh lebih tua daripadanya. Namun Kak Ita, pun kak Ital ah, kita dengar saja ceritanya.

"Adik beradik saya memang ramai, ada sedozen. Masa kami kecil-kecil dulu, memang macam-macam perangai. Tapi emak ayah tak ambil tahu, pandai koranglah nak hidup, nak belajar ke? Nak makan ke? Tak mahu makan ke? Nak pergi sekolah ke, tidak ke, emak ayah tak ambil pusing. Sebab memang peningkan kepala kalau nak layan sorang-sorang.

"Kalau bab makan lagi pening, kalau ikan masin cekek leher lepas goreng kena kerat dua, biar semua orang dapat rasa. Masak sayur lemak pucuk ubi sebelanga pun habis, tambah-tambah lemak labu kuning, licin. Untuk malam kena masak lagi. Tugas itu jadi tanggungjawab kakak nombor satu, kami panggil kak Yah. Kasihan Kak Yah tak dapat teruskan belajar sampai tingkatan 3 saja, sebab ramai lagi yang nak sekolah termasuk saya nombor lima.

"Dua orang abang pun tak dapat sambung belajar, sebab tak lulus tingkatan 3 dan malas agaknya. Ayah tak kata apa, mungkin masalah kewangan. Ayah tak marah kalau mereka tak mahu sekolah tetapi kami mesti solat dan mengaji al-Quran. Ayah yang ajar. Kak Yah ajar mukadam, cuma kadang kala emak ajar.

"Sebenarnya bukan kami saja yang ayah ajar mengaji, jiran pun hantar anak-anak mereka. Kami belajar mengaji al-Quran dan mukadam. Solat pun ayah ajar, pendek kata bab basic tu semua ayah boleh ajar. Tenaga pengajar sudah pasti ayah dan Kak Yah.

"Siang hari ayah menoreh lepas tu ke kebun tanam sayur, ubi, nanas keledek dan sebagainya. Bukan untuk jual tapi untuk makan sendiri. Bila ke kebun, ramai kena turun bantu, paling tidak tarah rumput, cabut rumput dan bersihkan petak sayur. Itu cerita kami semasa kecil.

"Nak jadikan cerita kakak, anak keempat dapat belajar sampai tingkatan 5, walaupun ada tawaran sambung belajar tapi kakak cari kerja jadi kerani kilang, tapi saya dapat teruskan belajar dapat masuk maktab guru, lepas saya adik beradik lain ikut sama dapat teruskan belajar, ada masuk asrama dan seterusnya ke universiti. Yang masuk universiti memang bertuahlah kerana dapat kerja yang baik berbanding adik beradik lain.

"Itu bab masa belajar mereka bernasib baik, dapat bantuan kerajaan, jadi tak banyaklah kami perlu bantu. Sebab itulah agaknya bila mereka sudah bekerja dan berkahwin serta ada keluarga sendiri, sifat adik adik kami yang peringkat bawah-bawah ini agak berlainan sikit.

"Pada pandangan saya mereka langsung tak hormat kakak dan abang- abang kami yang duduk kampung dan tak berpelajaran tinggi. Malah mereka boleh buat macam tidak kenal kepada anak-anak kakak dan abang-abang kami tu. Macam orang lain pulak.

"Rumah ayah memang tak besar, atas inisiatif kami yang tak berapa banyak duit inilah yang besarkan rumah ayah, sebab adik beradik ramai, kalau balik memang tak cukup tempat tidur terutama bila ada yang nak kahwin, terpaksa kami berunding besarkan rumah, untuk keselesaan kami juga bila berkumpul adik beradik sekali sekala.

"Tetapi adik adik kami yang bawah-bawah ini lain macam sikit bila sudah berkahwin, kalau balik kampung, mereka tak duduk rumah ayah, mereka sewa hotel. Balik pun pagi raya, lepas makan tengah hari, mereka balik ke hotel semula, esok pagi datang lagi, lepas makan pagi mereka berangkat ke rumah mentua.

Berlagak

"Memang rumah emak kecil tetapi apa salahnya balik sehari dua sebelum raya, duduk hotel pun duduklah, tapi tolong kami masak rendang, rebus ketupat atau bakar lemang. Lepas tu pergilah balik ke hotel. Ini tidak, datang pagi raya untuk makan dan kemudian balik. Langsung tak jumpa saudara mara yang datang. Alasannya anak-anak kecil tidak tahan panas, meragam!

"Kami pernah sindir mereka kalau tak tahan panas pasanglah pendingin udara rumah emak. Tapi mereka berkira sangat kalau bab nak keluar duit.

"Itu cerita anak-anak masih kecil, tapi bila dah besar pun sama, bebudak tu langsung tak kenal sepupu sepapat, apa lagi ibu dan ayah saudara. Kalau balik kampung, mereka duduk dalam bilik. Alasan mereka, ramai sangat, tak kenal orang, bisinglah, panaslah dan sebagainya. Masalahnya kalau dari kecil tak kenal saudara mara, bila dah remaja lagilah tak kenal.

"Pernah juga adik beradik lelaki kami balik sendirian sebab isteri dan anak-anak tak mahu ikut sebab tak suka rumah nenek di kampung terlampau ramai orang. Orang? Ini bukan orang, tetapi saudara mara sendiri! Bapa dan ibu saudara serta sepupu mereka. Bukan orang luar!

"Kesan daripada perbuatan anak-anak dari bandar yang tak suka bercampur ini, ramailah adik beradik saya yang kecewa dan meluat dengan cara adik-adik mendidik anak-anak mereka. Malah ada yang tersinggung bila anak-anak saudara langsung tak menegur dan tak kenal kami. Ketika itu mereka masih bersekolah.

Sekarang bila semua sudah besar, memang ramai yang tak suka balik kampung langsung. Kalau balik kampung jumpa emak yang sudah tua itu hanyalah adik beradik kami dan pasangan mereka tapi untuk sehari dua sahaja, Anak-anak mereka langsung tak ikut. Sebab tak suka duduk kampung tak ada wifi, tak ada gang.

"Begitu juga halnya ketika melawat emak yang sakit di hospital, cuma adik beradik saja yang datang. Pasangannya dan anak-anak mereka langsung tak ikut.

"Saya pernah nasihatkan tiga orang adik saya, jika anak-anak tidak dididik dan dilentur sejak kecil, mereka tidak akan kenal susah dan tidak akan tahu bagaimana untuk melayan ibu bapanya sendiri apabila sudah tua dan sakit-sakit nanti.

Jangan terkejut jika mereka hantar emak bapa ke hospital jika sakit dan langsung tak datang tengok, sebab mereka tidak dididik sejak kecil. Bila mati pun nanti mereka tak tahu apa nak buat kecuali serahkan kepada hospital. Salah siapa jika keadaan itu berlaku? Dan jangan salahkan anak-anak, ini semua kesilapan emak ayah sendiri tak tahu didik anak-anak sejak kecil.

"Ada juga adik-adik saya yang bawa anak-anaknya balik kampung, berhari raya tetapi duduk dalam bilik main game, buat apa? Hari Rayalah waktunya kita kenalkan anak-anak dengan saudara mareka yang datang jauh dan dekat untuk eratkan silaturrahim, jika duduk dalam bilik buat apa.

Ada juga bila kena paksa mereka keluar sekejap, salam dan terus masuk bilik semula. Buat apa? Emak bapak boleh diam dan tengok aja perangai anak-anak mereka. Apakah mereka lupa bagaimana emak ayah didik kita masa kecil dulu? Bila saudara mara datang kita keluar bersalaman, berbual jika ditanya dan hidangkan air minuman walaupun cuma tea o .

"Jangan fikir bila balik kampung dengan kereta mewah dengan pakaian paling mahal maka kita tidak pandang saudara mara yang miskin kerana tak setaraf dengan kita. Kalau si ayah atau si ibu sendiri tak mahu berkenalan dengan saudara mara yang datang, apa lagi anak-anak. Tentu mereka lebih tak suka lihat orang miskin.

"Jangan fikir kita cukup kaya cukup mewah, maka kita hina adik beradik yang miskin. Saya tak kecewa jika mereka balik kampung duduk hotel. Tetapi tolonglah hargai kakak-kakak dan abang-abang kita yang bersusah payah menyediakan juadah untuk hari raya. Jangan ingat kita pangkat tinggi, gaji besar maka kita tidak layak layan adik beradik yang susah. Sepatutnya kita bersyukur mereka telah berkorban untuk membolehkan kita belajar dahulu, jika kita pun tak dapat belajar dan akhirnya duduk kampung macam mereka.

"Sepatutnya jika isteri atau suami kita tidak sukakan adik beradik kita, nasihatkan mereka bahawa `langit tidak selalu cerah’ dan ingatlah hidup ini umpama roda, hari ini kita di atas, mungkin satu hari nanti kita duduk di bawah! Jadi insaflah! Nasihatkan anak-anak supaya jangan bongkak dan sombong, sementelah mereka duduk di bandar. Jangan terkejut jika sepupu yang duduk kampung ini mungkin lebih bijak dan pandai serta dapat tawaran belajar lebih baik daripada mereka. Waktu itu mana nak letak muka?

"Saya tak cakap kosong, anak abang sekolah kampung dapat tawaran MRSM sedangkan anak adik duduk bandar PMR pun `cukup makan.’ Itu pun nak berlagak! Antara adik beradik kami mungkin saya mereka segan sikit agaknya, kerana saya guru. Sebab itu saya tak peduli kalau nak nasihatkan mereka, kalau marah pun saya tak ambil pusing, janji apa yang saya tak puas hati saya akan cakap untuk kebaikan mereka juga.’’ Itu cerita Kak Ita panjang lebar dengan perangai adik-adiknya yang menjengkelkan. Harapannya lepas ini mereka akan insaf.