Iniseatif yang memasuki tahun ketiga berturut-turut itu bertujuan memperkasakan golongan wanita muda negara ini dalam mencorakkan masa depan mereka melalui pendidikan.

Pengurus Jenama Fair & Lovely, Unilever (Malaysia) Holdings Sdn. Bhd., Lin Meiyi, berkata, program biasiswa ini diperkenalkan selaras dengan objektif jenama itu mahu untuk menggalakkan golongan wanita mempunyai keyakinan diri bagi mengejar impian mereka sekali gus menikmati masa depan yang lebih cerah.

Katanya, pihak syarikat percaya pendidikan, keyakinan dan percaya pada diri sendiri merupakan elemen penting untuk memperkasakan wanita dan memberi kesan positif kepada masyarakat.

“Tahun ini, buat pertama kalinya penerima biasiswa akan dibantu untuk mendapatkan penempatan latihan industri di Unilever.

“Melalui penganugerahan biasiswa ini, serta bimbingan kerjaya dan peluang latihan industri, kami mahu wanita-wanita muda ini bersedia untuk mengejar impian dan mencorakkan masa depan mereka sendiri.

“Impian kami adalah menjadi jenama yang bukan sahaja menerajui aspek kecantikan dan keyakinan untuk wanita tetapi juga mengambil berat terhadap cita-cita serta peluang pendidikan mereka,” ujarnya pada majlis Penganugerahan Biasiswa Fair & Lovely 2018 di sini, hari ini.

Pada majlis tersebut, sebanyak 40 wanita muda menerima pembiayaan sebanyak RM5,000 setiap seorang bagi menampung keperluan mereka termasuk yuran pengajian, pembelian buku dan barangan keperluan lain.

Secara keseluruhan, sebanyak 20,100 permohonan diterima pada tahun ini berbanding 12,044 tahun lepas.

Tahun ini, turut diperkenalkan sebuah komuniti maya yang dibangunkan untuk menggalakkan mereka berhubung antara satu sama lain. - UTUSAN ONLINE