Gunung Semeru yang puncaknya dikenali sebagai Mahameru mempunyai ketinggian 3,676 meter (12,060 kaki) dari paras laut dan terletak di Malang, Surabaya, Indonesia. Ia merupakan gunung tertinggi di Pulau Jawa.

Pendakian yang dianjurkan oleh Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Tengah Kuala Kubu Bharu bermula sejak 2 Disember lalu dan dikendalikan oleh Summit Attack Resources selaku konsultan.

Selain itu, pendaki juga berjaya melengkapkan pendakian ke Gunung Bromo setinggi 2,329 meter yang terletak berhampiran dengan Gunung Semeru pada 6 Disember lalu.

Penguasa Kanan Bomba I, Noor Hisham Kamal yang merupakan Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Melaka merangkap ketua ekspedisi berkata, kejayaan merentang Jalur Gemilang gergasi di gunung yang terkenal dengan cabaran pendakiannya adalah hadiah daripada anggota bomba kepada seluruh rakyat Malaysia.

Menurutnya, pendakian itu juga memberi faedah kepada pegawai dan anggota bomba kerana mereka dapat menimba pengalaman berkaitan pengurusan kemalangan di kawasan gunung, selain mengalami sendiri cabaran dan halangan sebenar pendakian dan bagaimana sesuatu operasi menyelamat dapat dilakukan.

“Gunung ini dipilih kerana pendakian gunung-gunung di Indonesia semakin digemari pendaki tempatan. Jadi, kami mengadakan ekspedisi ini bagi memberi peluang kepada pegawai dan anggota bomba mengalami sendiri pendakian yang sangat mencabar kerana laluan berpasir yang licin dan suhu yang sejuk.

“Melalui ekspedisi ini juga, kami dapat belajar mengenai pengurusan kemalangan di gunung,” katanya kepada S2.

Hidayat Fahmi Mat Noor pula berkata, pendakian ini merupakan antara yang mencabar baginya kerana pertama kali dipertanggungjawabkan sebagai Kem Komandan. Menurutnya, beliau perlu memastikan setiap pendaki dalam keadaan yang baik serta peralatan mendaki yang lengkap.

“Syukur..., kerana kami semua berjaya dan selamat walaupun pelbagai halangan dan rintangan dihadapi,” ujarnya.

Turut terlibat dalam pendakian ini ialah Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa. Beliau adalah Pengarah Summit Attack Resources yang menguruskan keseluruhan pendakian ini.

Menurutnya, laluan awal dari Desa Ranupani sehingga tapak perkhemahan Ranu Kumbolo dan Kalimati tidak begitu sukar kerana trek yang landai dan sedikit berbukit.

Namun katanya, pendakian menjadi sangat mencabar berikutan laluan selepas tapak perkhemahan Kalimati menuju ke puncak adalah berpasir dan diselubungi suhu yang sejuk.

“Kami mendaki dalam suhu sejuk yang mencecah -2 darjah celcius. Selain itu, pendakian ke puncak turut menempuh laluan menegak yang berpasir dan berbatu kerikil sehingga menyukarkan kaki melangkah.

“Sekiranya tersilap langkah, pasti kemalangan akan menimpa. Jadi, setiap pendaki begitu berhati-hati mengatur langkah mulai tapak perkhemahan Kalimati sehingga ke puncak Mahameru,” katanya yang berpengalaman luas dalam pendakian di dalam dan luar negara.

Tambahnya, mereka bernasib baik kerana menjadi kumpulan terakhir mendaki kerana sehari selepas turun, laporan berita tempatan menyebut pihak pengurusan Taman Nasional Bromo, Tengger, Semeru memaklumkan laluan mendaki di Gunung Semeru ditutup dan perlu dijauhi dalam jarak empat kilometer kerana dikhuatiri meletus.