Selepas tamat pengajian, dia diterima bekerja di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

Pengalaman yang dikutipnya bekerja di beberapa buah hotel lima bintang seperti Hotel Sunway Resort, Mutiara Kuala Lumpur dan Kumpulan The Holiday Villa memberikan banyak pengalaman kepadanya.

Industri hospitaliti banyak mengajarnya melakukan sesuatu dengan lebih teliti termasuk menjadi seorang profesional yang berdisiplin.

Sifatnya yang memberikan komitmen tinggi dalam setiap pekerjaan menyebabkan dia cukup dihormati sesiapa sahaja yang berurusan dengannya.

Sekian lama bekerja dalam bidang perhotelan sehingga dinaikkan pangkat sebagai pengurus jabatan makanan dan minuman (F&B), dia merasakan kerjayanya ini cukup setakat itu.

Dia mula terfikirkan hala tujunya selepas itu.

Hari ini, gadis ‘hotel’ itu, Datuk Kamisah Johan, 42, adalah Pengerusi Eksekutif Kumpulan Rembawang Holdings Sdn. Bhd. (RHSB), sebuah syarikat pembangunan hartanah yang ditubuhkan pada 2009.

Pertemuan dengan seorang kawan yang terlibat dengan bidang hartanah yang sedang mencari rakan untuk bekerja dengannya merupakan pencetus kepada kejayaannya hari ini.

Dia menerima cabaran tersebut dan mula menggemari kerjaya baru itu. Dia melengkapkan diri mengenai dunia hartanah, iaitu bermula dari bawah hingga ke peringkat tertinggi kerana mahu mengetahui dengan lebih mendalam mengenai bidang yang baharu baginya itu.

Bertemu dengan wanita yang berpersonaliti menarik ini di pejabatnya, bangunan lima tingkat miliknya di Desa Hartamas, Kuala Lumpur, baru-baru ini, dia berkongsi pengalaman hingga berjaya ke peringkat sekarang.

“Dari tahun 2001 hingga 2007, saya bekerja bawah bimbingan usahawan hartanah, mendiang Datuk Liew Tech Keong, pengasas Tricorp Group Sdn. Bhd. Mendiang banyak mengajar saya dalam pembangunan hartanah.

“Saya mendapati apa yang dipelajari ketika menuntut hanya 10 peratus sahaja yang boleh digunakan. Selebihnya adalah pengalaman kerana ini yang paling berguna dalam apa sahaja pilihan kita,” katanya.

Sifat dinamik, peramah dan mudah mesra yang dimilikinya membantunya untuk menjadi seorang usahawan yang boleh dibanggakan. Dia menunjukkan kesungguhan dalam apa yang dilakukannya dan memberikan keuntungan kepada syarikat.

Sebagai usahawan wanita yang berjaya, dia bijak merebut peluang bagi memastikan misi dan visi RHSB tercapai tanpa kompromi.

“Tidak dinafikan sebagai wanita dalam bidang yang dimonopoli oleh lelaki ini, ada pandangan yang berbeza daripada golongan ini terhadap wanita.

“Oleh itu, saya sendiri harus sentiasa mempersiap diri apabila berada dalam kalangan mereka atau apabila menghadiri mesyuarat dan sebagainya,” katanya.

Dia berpegang teguh dengan keyakinan diri, banyakkan membaca, tidak malu-malu dan tahu apa yang diucapkan serta bercakap dengan nada suara yang kuat supaya tegas didengari.

Ini bagi mengelakkan persepsi negatif terhadap wanita.

“Alhamdulillah saya berjaya menepis semua pandangan negatif ini dan hasil daripada kerja kuat bersama ‘team’, saya telah berjaya meletakkan Rembawang sebagai salah sebuah syarikat hartanah bumiputera yang berjaya,” kata ibu kepada Kamal Irfan Mohd. Ariffin, 20.