Kini setelah 10 tahun berlalu, statistik tersebut bukan semakin menurun, sebaliknya apa yang pasti semakin ramai menghidap penyakit yang dianggap kronik ini dan ianya amat membimbangkan.

Ini juga antara fakta yang dikongsikan oleh Dr. Siti Rahayu Abd Samad dari Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar, Johor, ketika program Santai Bersama Persatuan Kesihatan Jantung Malaysia (MyHeart) di Menara Bank Rakyat, Bangsar, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Beliau yang juga dari d Unit Media dan Komunikasi MyHeart, berkongsi fakta mengenai penyakit darah tinggi bersama seramai 40 orang kakitangan bank tersebut.

Katanya, menurut statistik seramai 5.8 juta orang atau 32.7 peratus penduduk Malaysia menghidap darah tinggi.

Pengalamannya bertemu seorang pesakit berumur 32 tahun yang meninggal dunia kerana pendarahan otak disebabkan tekanan darah tinggi benar-benar mengejutkan.

“Pihak hospital cuba menyelamatkannya, namun pesakit tersebut akhirnya meninggal dunia dalam masa tiga hari sahaja akibat pendarahan otak yang teruk.

“Umur yang muda, tidak pernah mengalami masalah kesihatan dan tidak ada apa-apa simptom adalah antara sebab mengapa ramai yang tidak menyangka mereka menghidap sesuatu penyakit, apatah lagi penyakit seperti darah tinggi yang biasanya dihidapi oleh golongan berusia.

“Ramai di antara golongan muda ini yang tidak pernah terfikir untuk membuat pemeriksaan kesihatan bagi mengetahui tahap kesihatan mereka. Mereka tidak menjaga pemakanan, tidak mengamalkan senaman dan sentiasa dalam keadaan stres membuatkan kualiti kesihatan merosot,” kata Dr. Siti Rahayu.

Tambahnya, menurut Garis Panduan Praktis Klinikal (CPG 2013) Edisi ke 4, tekanan darah tinggi didefinisikan sebagai tekanan darah adalah sama atau melebihi 140/90 mmHg, sedangkan tekanan darah seorang yang normal adalah 120/80 mmHg.

Jelasnya jika tekanan darah pesakit terlalu tinggi dan pesakit enggan pula memakan ubat yang telah dinasihatkan oleh doktor, sudah tentu pesakit tidak akan muncul di Unit Kecemasan Hospital dalam keadaan tidak sedarkan diri dan badan menjadi lumpuh.

“Bukan sahaja pengambilan garam yang tinggi, cara hidup yang tidak aktif dan masalah obesiti juga boleh menyumbang kepada penyakit tekanan darah tinggi.

Ada juga yang masih tidak tahu bahawa faktor keturunan adalah salah satu penyebab darah tinggi. Merokok dan pengambilan alkohol juga merupakan penyumbang terbesar pada masalah ini,” katanya.

Menurut Kementerian Kesihatan, seramai 4.7 juta rakyat Malaysia yang berumur 15 tahun ke atas adalah perokok dan apa yang lebih membimbangkan, mereka membelanjakan sebanyak RM375 juta sehari bagi aktiviti yang tidak berfaedah itu.

Siti Rahayu berkata, penyakit-penyakit seperti serangan jantung, kegagalan buah pinggang, strok dan kegagalan fungsi mata adalah komplikasi yang akan dihadapi sekiranya pesakit darah tinggi tidak mengawal tekanan darah dengan baik. Cegahlah sebelum terlambat.

Sementara itu, MyHeart bersedia memberikan ceramah, seminar atau aktiviti kesihatan, dengan berhubung Dr Afiqah di 013-4515 876.

Cara rawatan tanpa ubatan

  • Kurangkan pengambilan garam.
  • Meningkatkan aktiviti-aktiviti fizikal.
  • Mengurangkan berat badan jika berlebihan melalui senaman dan pemakanan.
  • Berhenti merokok dan pengambilan alkohol.
  • Hindari stres