Jiwanya memang lebih kepada berniaga. Walaupun memiliki Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia dari University of London, United Kingdom dan bergelar jurutera, dia sedar tidak akan gembira dan tenang jika bekerja makan gaji.

Awalnya, dia terpaksa bekerja di sebuah syarikat kerana mahu mengumpul duit bagi memulakan perniagaan. Setelah mendapat sedikit modal, lalu dia menjalankan perniagaan berkaitan kejuruteraan dan pembinaan.

Pun demikian, bidang kejuruteraan dan pembinaan bukan sesuatu yang benar-benar diminati, sebaliknya dia mahu menjalankan perniagaan yang betul-betul lahir dari hati.

Bersama teman baiknya, Widayu Latiff, 39, yang ketika itu bekerja dengan sebuah agensi pemasaran, mereka sepakat memulakan perniagaan baharu walaupun ketika itu masih tidak pasti lagi perniagaan apa yang hendak dimulakan.

Dengan duit yang ada, mereka menyewa sebuah bilik pejabat berkeluasan 60 meter persegi (700 kaki persegi), cukup kecil bagi sebuah pejabat. Syarikat mereka didaftarkan atas nama Will Group.

Seminggu mereka memilih nama itu. Walaupun hanya mereka berdua, perkataan Group sengaja ditambah bagi menampakkan betapa gahnya perniagaan yang mungkin pada pemahaman orang lain adalah sebuah perniagaan besar.

Menurut Aliza, dia sudah melihat wawasan syarikat tersebut. Mungkin waktu itu hanya syarikat kecil, tetapi suatu hari nanti boleh bertukar menjadi besar. Oleh itu, awal-awal lagi dia mahu sebuah nama yang nampak besar dan gagah.

Memang kedengaran agak lucu dan nampak seperti berangan Mat Jenin. Namun, angan-angan Mat Jenin itulah yang kini mengangkat martabat Aliza dan Widayu sebagai pemilik perniagaan minuman Chatime yang cukup dikenali.

Aliza kini menerajui jenama tersebut sebagai Pengarah Urusan Kumpulan Chatime Malaysia Sdn. Bhd., milik penuh Will Group, sementara Widayu bertindak sebagai pengarah eksekutif.

Bertemu Aliza di pejabatnya di Menara Dutamas baru-baru ini, wanita kecil molek berasal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan, itu berkongsi kisah angan-angan yang kini menjadi kenyataan.

“Hari-hari saya dan Widayu pergi makan di medan selera Publika. Saya melihat setiap hari orang beratur panjang membeli minuman tersebut.

“Saya hairan mengapa mereka sanggup beratur panjang. Oleh kerana mahu mencuba, saya turut membeli. Sejak hari itu, saya pula yang beratur.

“Terus saya mendapat idea hendak berniaga Chatime. Saya memohon untuk menjadi francisi tetapi permohonan saya ditolak kerana tempoh permohonan telah ditutup. Bagaimanapun, saya tidak putus asa. Saya cuba mencari jalan kerana saya tetap mahukan perniagaan ini.

“Saya berusaha mencari beberapa lokasi strategik sehinggalah saya memilih Genting Highlands. Namun, kedudukan tempat untuk berniaga di situ agak kurang bagus kerana terletak di bawah eskalator.

“Saya beritahu pihak pengurusan bahawa saya hendak berniaga minuman teh buih tetapi belum tahu lagi jenama apa, kerana pada masa itu terdapat 40 jenama teh buih,” katanya.

Tambah anak ketujuh daripada lapan beradik ini lagi, dia terus membayar wang pendahuluan sebanyak RM65,000. Dia berasa lega kerana berjaya mendapat lokasi perniagaan di pusat peranginan tanah tinggi tersebut, yang sebenarnya memang susah hendak membuka perniagaan di situ. Kejayaan itu, secara tidak langsung berjaya menambah nilai pada syarikatnya untuk mendapatkan perniagaan yang diinginkan.

Azlina berusaha meyakinkan semula pemilik franchis Chatime, yang akhirnya bersetuju menerimanya sebagai francaisi. Waktu itu tahun 2012.

Tanpa disangka, perniagaannya mendapat sambutan di luar dugaan. Dalam tempoh lapan bulan dia sudah mendapat semula pulangan modal. Melihat kepada kejayaan tersebut, dia membuka cawangan kedua di KL Sentral setahun selepas itu.