Kali ini, Naza Kia Malaysia memberi peluang menguji pula model Grand Carnival EX, iaitu model paling premium dan pa­ling mahal.

Dari segi luarannya, Grand Carnival EX itu didatangkan dengan reka bentuk yang menawan, tegap dan tampak garang terutamanya dengan jeriji Tiger Nose yang menjadi lambang identiti Kia di bawah pimpin­an Peter Schreyer.

Model lapan tempat duduk sepanjang 5,115 milimeter (mm), jarak roda sepanjang 3,060mm, ketinggiannya pula 1,740mm dan selebar 1,985 mm telah menjadikannya sesuai bagi mereka yang berkeluarga besar.

Sesuai sebagai MPV, se­galanya tampak besar dengan jeriji Tiger Nose dipadankan pula dengan lampu utama projektor halogen yang kelihatan menawan dengan lampu nyalaan siang (DRL) LED. Terdapat juga lampu kabus yang agak besar pada bampar.

Bahagian sisi pula menampilkan cermin tinted de­ngan cermin ketiga agak tirus. Garisan aerodinamik pada pintu ditarik memanjang ke belakang. Lampu belakang pula adalah jenis kombinasi LED berserta lampu kabus.

Fizikal luarannya sahaja memberi imej MPV Eropah iaitu jeriji hadapan yang besar de­ngan kerangka enjin memanjang ke hadapan.

Dalamannya pula kelihatan mewah dan premium. Papan pemuka agak luas dan elegan de­ngan dua tona warna iaitu hitam di sebelah atas dan coklat cair di bahagian bawah. Ia tampak menghasilkan ruang yang luas walaupun fizikal Grand Carnival itu sebenarnya sudah besar.

Kerusi penumpang dan pemandu dibaluti kulit dengan dua tona warna. Kerusi pemandu boleh dilaras dengan kuasa elektrik untuk keselesaan pemanduan.

Pintu sisi penumpang tengah pula boleh dibuka dan ditutup secara kuasa elektrik dan begitu juga bonet belakang yang berfungsi secara pintar dengan membukanya secara automatik apabila terdapat individu berada beberapa saat di pintu bonet itu.

Pada tengah papan pemuka, skrin sentuh multi media bersaiz 4.3 inci untuk hiburan seisi keluarga yang menyalurkan bunyi yang agak ‘padu dan sedap’ untuk enam speaker.

Sebagai sebuah MPV besar yang agak berat, jurutera Kia memperlengkapkan model ini dengan enjin berkuasa diesel 2.2 liter CRDi Turbocharged. Enjin tersebut menghasilkan 193PS dengan kuasa kilas 440 Nm.

Dari segi kuasanya, penulis mengakui ia amat selesa untuk memecut seperti pemanduan sebuah kereta. Tayar bersaiz 235/60 rim 18 banyak membantu jentera ini ‘membelasah’ selekoh pada kelajuan yang sesuai.

Sebagai sebuah MPV, ketinggian tentulah mempengaruhi titik graviti, tetapi gabungan kuasa, lebar rangka dan penggunaan tayar yang sesuai mampu mengekalkan kestabilannya di atas jalan raya.

Prestasi aerodinamik diterjemahkan melalui reka bentuknya yang mengurangkan rintang­an angin melalui reka bentuk bampar hadapan dan reflektor tayar. Atas sebab itu jentera ini mampu memecut sehingga 170 kilometer sejam (km/j) dengan rasa tenang tanpa bunyi angin yang kuat.

Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC) banyak membantu pemanduan dengan mengawal kuasa brek ketika memandu secara radikal semasa membelok, membrek dan memecut. Ia membantu mengurangkan olengan.

Dengan kata lain, walaupun umpama MPV gergasi, tetapi pemanduannya amat selesa dengan kuasanya seperti sebuah kereta. Walaupun fizikalnya se­per­­ti sebuah MPV Eropah, tetapi ia adalah produk dari Asia, iaitu Korea Selatan.

Sama seperti model Grand Carnival KX yang diuji sebelum ini, untuk model EX ini penulis ingin mengulangi kata-kata bahawa jika anda mahukan sebuah MPV yang sa­ngat luas dengan kombinasi kuasa, Kia Grand Carnival adalah jawapannya.