Syarikat dari Itali itu hanya mengeluarkan 50 buah model berkenaan iaitu sebuah motosikal untuk satu negeri di Amerika Syarikat.

Di Malaysia Moto Varese Asiatic Holdings Sdn Bhd yang merupakan pengedar tunggal motosikal MV Agusta telah membuka pejabat MV Agusta Malaysia Life Style Center di Batu Caves, Selangor baru-baru ini dan berikutan itu syarikat berkenaan melancarkan motosikal Brutale 800.

Model lain yang diperkenalkan ialah Brutale 1090, Dragster 800RR, Tourismo Veloce 800, Tourismo Veloce 800 Lusso RC dan F4RR.

Dijangka enam lagi varian model akan tiba di Malaysia sebelum penghujung tahun ini.

Setakat ini, pengedar di utara Semenanjung dilantik sebagai pengedar rasmi MV Agusta Malaysia dan dijangka dua atau tiga lagi akan dibuka sebelum hujung tahun ini.

Moto Varese Asiatic adalah anak syarikat DNC Asiatic Holdings Sdn Bhd yang menguasai 80 peratus kepentingan ke atas MV Agusta Malaysia.

Disember lalu, Moto Varese Asiatic dilantik sebagai pemasang dan pengedar tunggal motosikal MV Agusta di negara ini.

MV Agusta sebenarnya cukup sinonim dengan Malaysia sebelum ini dan model baharu berikutnya akan dibawa masuk secara berperingkat, mungkin sebelum hujung tahun ini semua 12 varian model akan berada di bilik pameran ini.

Setakat ini saya berpeluang menguji Brutale 800 dan apa yang dapat saya katakan motosikal ini memang betul-betul brutal.

Motosikal ‘naked’ dengan enjin 798 cc, 3-silinder sebaris EFI serta komponen sokongan elektronik ride-by-wire ini mampu menjana 109 kuasa kuda pada rpm 7,600 dengan tork maksimum 83 Nm. Beratnya hanya 175 kilogram (kg).

Jika sebelum ini motosikal berkuasa besar biasanya mempunyai berat yang boleh dikatakan melampau sehingga menyebabkan orang Malaysia majoriti tidak mempunyai cukup ketinggian dan berbadan kecil sukar untuk mengendalikan motosikal seumpama itu, tetapi Brutale mempunyai berat yang munasabah serta mudah dikendalikan.

Saiznya yang agak kecil berbanding motosikal berkuasa besar biasa memudahkan untuk penunggang menyelit di dalam kesesakan lalu lintas tanpa perlu tersangkut dicelah-celah kenderaan sehingga diseranah oleh para penunggang motosikal kecil kehilangan momentum untuk menyelit.

Ketika mula mencuba motosikal ini saya menunggang dengan berhati-hati dan perlahan kerana belum tahu kerenahnya dan khuatir akan meragam apabila diperah kudratnya sehabis mungkin. Tapi rupanya motosikal ini memaksa saya untuk memerah pendikitnya tanpa belas ihsan. Bunyi enjin yang menderam-deram seolah-olah marah kerana tidak dikerah sepenuhnya kuasa yang ada.

Selepas itu saya memang tidak teragak-agak lagi untuk memerah semua kudrat yang ada. Meskipun daya kilasnya agak tinggi, tetapi pembukaan dan penutupan pendikit tidak langsung tersemput-semput. Dengan quickshifter menyebabkan gear dapat ditukar dengan begitu lancar.

Bagaimanapun ketika gear rendah jangan terlalu ghairah memerah pendikit alamatnya terbanglah kita ataupun motosikal terbang tanpa penunggang. Jika mahu memerah peganglah handle dengan kemas supaya tidak terpelanting ke belakang.

Jika bawa pembonceng sila berpesan lebih awal supaya memeluk erat pinggang penunggang jika tidak mahu terpelanting dan terbaring di atas jalan.

Brutale 800 boleh dilaras mod normal, rain atau sport. Saya hanya berani menggunakan mod normal kerana bimbang pendidik dan enjin yang terlampau responsif pada mod sport menyebabkan saya sukar untuk mengawal kebuasannya.

Mod rain atau hujan pula digunakan ketika hujan menyebabkan tindak balas yang agak lambat bagi mengelakkan tayar tergelincir ketika dijalan basah serta licin.

Penyerap hentakannya Marzocchi USD di bahagian depan dan Sachs di belakang memang agak keras. Tujuannya mudah sahaja supaya tidak berbuai apabila meredah lopak dan ketika melayan selekoh tajam dan panjang.

Bila menunggang Brutale sebenarnya kita akan bersendirian, satu ia belum banyak di jalan, kedua sebabnya bila di lampu isyarat tujahan yang mendadak menyebabkan anda berada jauh ke hadapan sehingga motosikal dan kenderaan lain jauh tertinggal di belakang.

Brutale ini juga membuatkan saya tidak dapat tidur malam kerana kehebatannya. Kuasanya membuatkan saya mengigau. Jadi walaupun harganya agak mahal iaitu RM90,148.83 tetapi ia berbaloi untuk dimiliki.