Mereka terdiri daripada Md. Fathi Hazwan Md. Ayub dari Grenade Autoworks, Mohd. Muzill Abdul Rahim (Goms Auto Services) dan Adriana Zuleika Azmi (ProDRAG Motor Sport) yang bertanding dalam kategori kereta dan Mohamad Khairi Zainal Abidin (Eastern Bobber Custom Cycle), Mohamad Irwan Mohd. Azlan (FNG Works) dan Muhammad Khalid Musa (Rusty Factory / Arlip Motor Work) dalam kategori motosikal.

Mereka dipilih daripada lebih 30 orang usahawan yang menghadiri sesi Walk-In Biz Pitch Superb Motonation.

Menurut Pengarah Kanan Keusahawanan dan Pembangunan Perniagaan Teraju, Megat Mohd. Yatim Megat Hamid, setiap peserta diberikan kereta dan motosikal sama (Proton Satria dan Modenas V15) dan perlu menyiapkan projek dalam tempoh sebulan dengan bajet RM10,000.

Katanya, peserta akan diadili menerusi undian atas talian, undian daripada pengunjung karnival dan barisan panel hakim bebas daripada industri automotif.

“Keputusan akan diumumkan pada hari terakhir karnival automotif dan gaya hidup Motonation 2017 yang akan berlangsung dari 1 hingga 3 Disember ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

“Pemenang setiap kategori bakal menerima hadiah wang tunai RM30,000 manakala pemenang tempat kedua membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 dan trofi. Manakala tempat ketiga menerima trofi,” katanya pada program pengumuman rasmi Superb Mod Challenge di Balai Seni Negara di Kuala Lumpur, Khamis lalu.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Motosikal dan Enjin Nasional Sdn. Bhd. (Modenas), Amirudin Abd. Kadir dan Pengarah Eksekutif Procara, Mohd. Nazrul Zahri.

Motonation 2017, karnival permotoran terbesar di Asia Tenggara menawarkan pelbagai hadiah cabutan bertuah bernilai menarik termasuk sebuah kereta Audi A3 kepada pengunjung bertuah.

Ini merupakan penganjuran tahun pertamanya dan bakal menjadi acara tahunan.

Dalam pada itu, Megat Mohd. Yatim memberitahu, sejak diperkenalkan pada 2014, Superb berjaya melahirkan seramai 152 usahawan muda dengan peruntukan geran hampir RM74 juta.

“Daripada 152 orang peserta Superb itu, lebih 50 peratus berjaya mengkomersialkan produk dan servis mereka termasuk ke pasaran antarabangsa,” ujarnya.

Pada majlis itu, turut diumumkan tujuh peserta semi final Superb Siri 3/2017.

Mereka terdiri daripada Mohd. Sharizam Saharudin, Mohd. Kamal Effendy, Mohammad Rosli Mohamad Said, Mohd. Khairi Zainal Abidin, Mohd. Amen Normen Osman, Syed Zulhilmi Tuan Sharif dan Mohd. Hafiz Ibrahim. Pemenang pertandingan itu akan menerima hadiah geran perniagaan bernilai RM500,000.

Pada majlis tersebut, lima pemenang anugerah khas Jelajah Usahawan Automotif 2017 terdiri turut diumumkan.

Muhammad Al-Annas Yamin memenangi anugerah persembahan terbaik manakala Mohd. Khairi Zainal Abidin (impak potensi, skalabiliti dan mampan terbaik), Mohd. Amen Normen Osman (perniagaan boleh dilaksanakan) dan Mohd. Kamal Effendy (teknologi terbaik).