Apa yang membezakan mungkin lelaki lebih berani mengambil risiko dan terlibat dalam sukan perlumbaan lebih awal. Kebanyakan pelumba profesional terlibat dalam sukan permotoran seawal usia lapan atau sembilan tahun. Rata-rata bermula dengan sukan go-kart atau pocket bike.

Ini memberikan kelebihan dari segi pengalaman kepada lelaki. Dalam sukan permotoran, lebih awal seseorang bermula, lebih tinggi peluang untuk menjadi pelumba profesional.

Selain faktor bakat, sokongan keluarga terutama dari segi kewangan amat penting. Ini kerana sukan permotoran memerlukan perbelanjaan yang tinggi.

Namun, tidak semestinya jika tidak menerima pendedahan pada usia muda, wanita tidak boleh menjadi pelumba. Yang penting ialah minat dan sokongan daripada keluarga. Biar bermula lambat, asalkan ada kemahuan.

Misalnya, Nursharina Nur Ramlle, 36, mula berjinak-jinak dalam sukan permotoran selepas berkahwin dengan Mohd. Azwan Mohd. Zulkifle pada 2006.

Dia yang dikenali sebagai Mama Racer dalam arena perlumbaan kereta tempatan bermula dengan go-kart sebelum aktif dalam dunia perlumbaan pada 2011.

“Pada asalnya, saya aktif dalam aktiviti luar terutama memanjat gunung. Tetapi selepas berkahwin, saya ikut hobi suami sebab dia tidak minat aktiviti memanjat gunung. Dari situlah, saya mula terlibat dalam sukan permotoran,” katanya ketika ditemui Motormania di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Karier Nursharina dalam dunia perlumbaan bermula dengan acara gymkhana apabila mengikut suaminya berpindah ke Terengganu beberapa tahun lalu. Suaminya merupakan pelopor penganjuran acara gymkana di negeri tersebut.

“Apabila berpindah ke Terengganu, saya sertai gymkhana sebab suami menganjurkan acara tersebut di sana. Pada masa itu, saya seorang sahaja wanita yang terlibat gymkhana di Terengganu.

“Tetapi tidak lama selepas itu, ada dua orang wanita sertai acara gymkhana anjuran Proton di Pantai Baru Buruk, Kuala Terengganu dan kami bersaing dengan pelumba lelaki. Saya dapat nombor dua pada masa itu,” katanya.

Ketika Nursharina mula terlibat dalam perlumbaan kereta, pada masa itu hanya ada tiga orang pelumba wanita yang popular iaitu Leona Chin, Faye Kusairi dan Gina Finanza Daud. Namun, kini terdapat lebih 20 orang pelumba perempuan yang aktif dalam pelbagai acara perlumbaan.

Menurut Nursharina, walaupun berstatus isteri dan ibu kepada tiga orang anak, ia tidak menghalangnya untuk terlibat dalam perlumbaan. Katanya, kalau hendak ikutkan kekangan memang banyak tetapi pokok pangkalnya, terletak pada kemahuan sendiri.

“Setiap kali pertandingan, saya bawa anak-anak. Setiap kali habis perlumbaan, saya berikan susu badan kepada anak. Bagi anak yang menyusu, saya bawa botol.

“Saya dan suami juga bergilir-gilir menjaga anak. Semasa dia berlumba, saya yang menjaga anak-anak dan semasa saya berlumba, dia pula yang ambil tanggungjawab itu,” ujarnya.

Sepanjang terlibat dalam sukan permotoran, Nursharina telah memenangi pelbagai acara perlumbaan seperti Grass Racing Autosports (GRA) Gymkhana, time attack (kejar masa) dan sirkit di sekitar Semenanjung. Nursharina dan suaminya kini berlumba untuk pasukan MRW Oil dalam siri perlumbaan Malaysia Speed Festival (MSF) di Sepang, Selangor.

Menurut Nursharina, suaminya yang banyak memberikan dorongan dan galakan kepadanya untuk aktif dalam perlumbaan kereta. “Pendek kata, suami saya membantu saya dari segala aspek termasuk mencari penaja untuk perlumbaan dan alat ganti kereta.

Sebab itu, katanya, sokongan suami amat penting untuk seseorang wanita terlibat dalam perlumbaan.

“Kita boleh tengok ada beberapa pelumba wanita yang berhenti terus daripada arena perlumbaan selepas berkahwin,” katanya.

Nursharina mempunyai satu impian dalam sukan permotoran tanah air. Dia berharap dapat menganjurkan perlumbaan kereta yang hanya melibatkan pelumba perempuan suatu masa nanti.

“Saya ada buat halaman Malaysia Women Motorsports di Facebook bagi menarik lebih ramai perempuan menyertai sukan permtooran.

“Saya hendak kumpulkan semua pelumba perempuan di Malaysia dan buat acara permotoran khusus untuk perempuan ,” katanya.