Model itu hadir dalam dua vari­an iaitu Executive boleh didapati dalam manual atau automatik, serta Executive Plus, automatik sahaja bermula RM58,800 hingga RM64,800 sebuah.

Proton tidak melakukan perubahan besar dari segi kejurutera­an dan reka bentuk kerana Ertiga tampil seiras dengan model asalnya iaitu Suzuki Ertiga.

Kelainan paling ketara hanyalah pada logo serta namanya, Suzuki ditukar kepada Proton.

Ertiga direka dengan tiga baris atau enam tempat duduk sekaligus menyediakan ruangan dalaman selesa kepada pengguna menyasarkan golongan berkeluarga kecil.

Kedua-dua varian dilengkapi dengan kemasan dalaman warna terang iaitu campuran kelabu dan kuning, tidak seperti kenderaan Proton lain yang lebih gelap. Warna terang itu menjadikan ruangan kabin dalaman tampak lebih luas dan kemas.

Secara logiknya, warna cerah mudah kotor. Namun, tempat duduk berkenaan diperbuat daripada fabrik kalis air berkualiti tinggi untuk memastikannya bersih dan mudah dijaga.

Selain itu, saluran pendingin hawa terletak di bahagian bumbung antara baris pertama dan kedua juga mampu menyamankan udara sehingga ke baris kabin ketiga.

Dari segi keupayaan enjin, ke­dua-dua varian Ertiga menggunakan enjin DOHC empat silinder, 16 injab yang menghasilkan kuasa maksimum 91 hp pada 6,000 rpm dan kuasa kilas 130 Nm pada 4,000 rpm.

Ertiga transmisi manual mampu memecut dari keadaan pegun hingga 100 kilometer sejam (km/j) dalam masa 11.8 saat, manakala versi automatik pula 13.9 saat.

Penggunaan bahan api pula dicatatkan sekitar enam liter bagi setiap 100 kilometer untuk ke­dua-dua automatik dan manual.

Semasa sesi pandu uji Ertiga ke Kuala Selangor baru-baru ini, petugas Proton mengadakan pertandingan antara media yang berjaya menggunakan bahan api paling rendah untuk tiba di lokasi. Aktiviti tersebut diadakan bagi menguji status Ertiga sebagai MPV kompak kenderaan cekap tenaga (EEV) pertama di Malaysia.

Beralih kepada aspek kesela­matan, Ertiga menyediakan dua beg udara pada bahagian hadapan, Sistem Brek Antikekunci (ABS), Pengagihan Brek Elektronik (EBD) dan tempat duduk kanak-kanak atau ISOFIX.

Proton telah mengatakan bahawa Ertiga berjaya meraih penarafan empat bintang dalam ujian kemalangan Program Penilaian Kereta Baharu ASEAN (ASEAN NCAP).

Para pengguna boleh mendapatkan Ertiga dalam tiga warna berbeza iaitu Ruby Red (merah), Carnelian Brown (coklat), Cotton White (putih) dan Metal Grey (kelabu).