Rupa bentuk kereta ini sudah cukup memberi gambaran tentang kemampuan jentera ini. Bagi Arizal Zefrrie Zahari, impian untuk memiliki sebuah jentera yang ganas dan garang menjadi kenyataan apabila membeli sebuah Nissan Skyline R34 GTR dari seorang kenalan dengan harga RM140,000.

Walaupun digembar-gemburkan dengan daya penarik kereta dari Eropah, dia masih tetap setia memilih kereta buatan gergasi automotif Jepun, Nissan.

Keterujaan Arizal semakin ketara apabila kereta yang dimilikinya adalah siri keluaran yang istimewa kerana hanya 300 unit dikeluarkan untuk pasaran dunia.

Perkara yang menarik tentang keluaran istimewa ini, harga barangan kereta siri ini tidak susut nilai malah meningkat tinggi saban tahun.

Arizal yang mengusahakan jaringan gedung membeli-belah berkata dia meminati aspek-aspek yang datang bersama kereta ini di samping tenaga serta rupa bentuk yang cukup sinonim dengan kelajuan.

"Kelajuan merupakan seni yang mampu membuatkan kita asyik di samping perlu memberi perhatian kepada aspek kawalan jentera dan fokus agar tidak membahayakan orang lain," kata Arizal.

Arizal menggunakan minat terhadap dunia permotoran sebagai ruang untuk dia melupakan sementara segala masalah dalam menguruskan perniagaannya.

Selain itu, dia juga mendapat sokongan dari isteri untuk bergiat aktif dalam arena permotoran. Arizal turut melibatkan diri dalam aktiviti litar dan kerap menyertai acara-acara yang dianjurkan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dan konvoi anjuran kelab-kelab seperti Rempitos dan MSOG. Selain kereta ini, dia turut memiliki sebuah lagi Nissan Skyline R34 GTT yang diubahsuai secara ekstrem untuk kegunaan litar.

Meskipun mempunyai dua buah jentera berkuasa, dia tidak menggunakan kereta tersebut untuk kegunaan harian.

Sebagai ahli korporat, kereta ini tidak praktikal untuk bergerak dalam menguruskan urusan seharian.