Konvoi, yang dilancarkan Pengerusi Bernama, Datuk Seri Azman Ujang di Wisma Bernama itu bermula pada 8 Julai dan berakhir 15 Julai lalu. Dalam ucapannya, Azman mengingatkan peserta konvoi agar sentiasa menitikberatkan aspek keselamatan memandangkan kadar kemalangan melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal di negara ini agak membimbangkan.

Tempoh tersebut, Jelajah 1 Jiwa berjaya mengunjungi kesemua 15 Biro seluruh Semenanjung sambil meraikan petugas-petugas yang tidak berpeluang menyertai sambutan Jubli Emasnya disamping menyantuni dan menyampaikan sumbangan kepada 21 veteran dan pesara yang banyak berbakti.

Menurut Peneraju Program, Amrizan Maidan, sebanyak 15 motosikal berkuasa besar dan tiga buah kereta dengan jumlah peserta 22 orang termasuk urus setia, menjayakan misi yang pertama kali diadakan. Dengan slogan “yang muda disayangi , yang tua dihormati”, kami membawa mesej bahawa jasa mereka masih dikenang.

Semasa pelancaran, Mforce Bike telah menyerah tajaan lima buah motosikal berkuasa tinggi jenama Benelli, iaitu tiga model TRK502 dan dua model 302R untuk digunakan sepanjang jelajah tersebut. Pengurus Besar Mforce Bike Sdn. Bhd., Asri Ahmad berkata, kedua-dua model berkenaan baru saja dilancarkan minggu ini dan peserta Jelajah 1 Jiwa antara yang bertuah kerana menjadi yang terawal dapat menunggang motosikal berkuasa tinggi itu. Mforce merupakan rakan strategik Jelajah 1 Jiwa.

Hari pertama, Jelajah 1 Jiwa diiringi 40 motosikal besar dari Kelab Benelli Matters menjejaki lima pesara Bernama sekitar Lembah Klang, antaranya Zainal Hasnan Mansur, 74, di Taman Ibukota. Beliau bersara sebagai Pengurus Perjawatan pada 9 Jun 1998 setelah berkhidmat selama 27 tahun 4 bulan dengan Bernama.

“Amat mengejutkan dan saya rasa terharu kerana inilah kali pertama rakan-rakan dari Bernama datang dalam kumpulan yang besar. “Saya kenal Baki dan Hanapiah manakala yang lain itu masuk selepas saya keluar Bernama pada 1998,” kata Zainal.

Mereka kemudian mengunjungi Rokiah Jono, 72, yang lebih mesra dengan panggilan ‘Kak Kiah’ di rumahnya di Taman Melati. Kak Kiah bersara sebagai setiausaha dan pembantu peribadi pada 30 November 1996 setelah berkhidmat selama 28 tahun 9 bulan.

“Saya berasa bersyukur kerana dapat berjumpa dalam usia saya yang sudah menjangkau 72 tahun,” katanya.

Hari kedua, konvoi bermula dari RnR Sungai Buloh menuju ke Biro Bernama Ipoh, kemudian meneruskan perjalanan menuju ke Biro Pulau Pinang. Di Biro Ipoh, konvoi dijamu makan tengah hari dengan menu popular, nasi ganja.

Sambil menjamu selera konvoi sempat beramah mesra bersama kakitangan dan veteran. Selepas itu, konvoi singgah ke Biro Pulau Pinang dan bermalam di Georgetown.

Hari ketiga, konvoi menggunakan perkhidmatan feri menuju ke Kb Soon Huat Motor Sdn. Bhd. di Perai, yang merupakan pengedar motosikal Sym dan Benelli. Dari sini konvoi meneruskan perjalanan melalui Bukit Mertajam, Alor Star dan terus ke Kangar.

Sebaik sahaja tiba di biro Kedah pada 12.30 tengah hari, peserta konvoi dihidangkan dengan masakan nasi buluh gulai kari daging serta ulam-ulaman. Mereka disambut oleh Ketua Biro Zabidi Ishar dan para petugas.

Di sini, sumbangan disampaikan kepada veteran Bernama, Encik Che Saad Nordin, Alias Putih, Zulkafly Ibrahim dan Nazri Ahmad. Para peserta konvoi juga sempat berkunjung ke rumah Mansor Bahrom, 64, yang merupakan bekas jurufoto.

“Saya ucapkan terima kasih atas kedatangan tuan-tuan dan sumbangan yang diberikan kepada saya,” katanya.

Konvoi, kemudian bergerak ke Wisma Darul Aman untuk bertemu Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah yang turut menggamatkan suasana apabila beliau cuba menunggang sebuah motosikal berkuasa tinggi yang menyertai konvoi.

Di Kangar, Jelajah 1 Jiwa, diundang menyertai program Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyantuni asnaf di Surau Kampung Benta, Sanglang. Disambut Ketua Biro Bernama Perlis, Zainal Abdul Jalil dan staf biro berkenaan. Tuanku Syed Faizuddin turut berkenan mendengar penerangan bersama para tetamu mengenai program konvoi yang julung kali diadakan serta menunaikan solat Maghrib.

Dari Kangar Jelajah 1 Jiwa menuju ke Gerik dan terus ke Kota Bharu. Perjalanan kali ini agak mencabar kerana konvoi akan melalui jalan yang berliku-liku dan berbukit. Hujan lebat di beberapa tempat melambatkan perjalanan, tiba di Biro Kelantan.

Di Terengganu, Jelajah 1 Jiwa di sambut meriah Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd.Rahman diiringi Ketua Biro, Zalina Maizan Ngah dan kakitangan lain di Wisma Darul Iman. Ahmad Razif meluangkan masa selama 30 minit beramah mesra dengan peserta konvoi sambil bertanya pengalaman mereka yang sudah masuk hari kelima.

Beliau juga kagum dengan semangat peserta konvoi yang mengharungi perjalanan jauh menempuhi pelbagai cabaran dalam memastikan matlamat mereka memperkenalkan Bernama kepada rakyat Malaysia tercapai.Dari Kuantan konvoi menuju ke Johor Bharu, kemudian menuju ke Melaka seterusnya balik ke Wisma Bernama.

Ketibaan konvoi, disambut Pengurus Besar Bernama Datuk Zulkefli Salleh dan Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Dalam Negeri, Datuk Mokhtar Hussain. Wakil konvoi Farhan Mustafa kemudian menyerahkan bendera kepada Zulkefli, sebagai penamat perjalanan konvoi Jelajah 1 Jiwa.

“Semua peserta selamat tiba selepas menempuh perjalanan sejauh kira-kira 2,400 kilometer. Jelajah itu telah mencapai matlamatnya bagi meraikan sambutan jubli emas,” katanya.

Bagi melengkapkan misi Jelajah 1 Jiwa ini ke seluruh Biro Bernama, Jelajah 1 Jiwa akan meneruskan jelajah fasa kedua dari Kuching ke Tawau menjelang akhir tahun ini yang dijangka melibatkan perjalanan kira-kira 1,700 kilometer.

Dengan ini Konvoi Jelajah 1 Jiwa akan memahat satu lagi sejarah buat Bernama dengan mengunjungi kesemua biro di seluruh negara bertujuan membawa semangat dan sambutan Jubli Emas dan 1 Jiwa Bernama di samping menyantuni veteran-veteran.