Program yang dikenali sebagai Motonation itu dianjurkan oleh Procara Entertainment dengan kerjasama Perbadanan Putrajaya. Ia menggabungkan karnival korporat dan gaya hidup - yang pertama seumpamanya di Malaysia.

Menurut Pengarah Eksekutif Procara, Mohd. Nazrul Zahri berkata, pihaknya menjangkakan lebih 500 syarikat automotif termasuk syarikat permotoran utama akan mengambil bahagian dalam pameran tersebut.

“Motonation akan menjadi pameran pertama yang menggabungkan platform perniagaan ke perniagaan (B2B) dan perniagaan ke pengguna (B2C).

“Ini merupakan pameran pertama yang tidak hanya menumpukan kepada pengunjung pameran tetapi turut membuka ruang dan menjadi platform bagi syarikat berskala kecil, sederhana dan besar menjalinkan hubungan perniagaan,” katanya ketika ditemui di Shah Alam baru-baru ini.

Karnival tersebut turut akan melibatkan penganjur-penganjur acara permotoran tempatan lain seperti KL Extravaganza, Karnival KL, Bike Week KL, Malaysia Autosalon, Retro Havoc, Aircooled Junket dan Retromania.

Menurut Mohd. Nazrul, turut diadakan semasa karnival itu adalah pertandingan modifikasi permotoran, AMD World Championship of Custom Bike Building peringkat Malaysia dan pemenang akan mewakili negara di kejohanan dunia di Jerman.

“Motonation adalah satu-satunya wakil Malaysia dalam AMD World Championship of Custom Bike Building iaitu pertandingan modifikasi permotoran paling berprestij di peringkat antarabangsa,” ujarnya.

Beliau memberitahu, acara tersebut turut mempromosikan budaya serta gaya hidup permotoran dalam kalangan komuniti ASEAN kerana ia adalah bidang yang sangat besar.