Mungkin ada yang terkejut apabila ditoleh kiri dan kanan, seolah-olah tiada kereta namun jangan risau, kereta super ini memang rendah.

Struktur badan kereta super ini sengaja direka rendah supaya dapat mengurangkan rintangan angin yang menyekat kereta ini mencapai kelajuan puncak.

Sesuai dengan namanya, Huracán umpama taufan hurikan yang 'melanggar' apa sahaja yang menghalang laluannya.

Identiti

Jika Ferrari menggunakan lambang utama kuda lincah sebagai gambaran kuasa kuda dan kelajuan produknya, Lamborghini juga tidak kalah apabila menggunakan lembu jantan gagah untuk turut sama menceritakan keupayaan produknya.

Jenama buatan Itali ini sudah sinonim dengan sektor kereta mewah dan laju. Dilengkapi enjin V10 bersesaran 5200cc dan kotak gear tujuh kelajuan beserta dual-klac maka tidak hairanlah kereta ini umpama membelah angin ketika memecut di lebuh raya.

Huracán hijau krom ini turut dilengkapi sistem pacuan empat roda sepenuh masa. Sistem inilah yang membantu kereta ini mengambil selekoh tajam dengan penuh yakin. Jika diletak di sebatang jalan yang lurus, pastinya akan kelihatan seumpama lembu gagah melompat setiap kali gear ditukar.

Pemilik legenda jalan raya ini, Muhammad Fitri Hamdan, 26, atau lebih dikenali sebagai Fitri sangat berpuas hati kerana akhirnya dia dapat memiliki kereta idaman ini. Ahli perniagaan muda ini berkata usaha memiliki kereta ini tidak mudah seperti yang dijangkakan.

Kegigihan

 "Setiap usaha keras dan kudrat yang saya kerahkan untuk mendapat kereta ini pastinya kekal hanya cerita melainkan seseorang itu mengalaminya sendiri," kata Fitri yang membeli kereta ini pada pertengahan tahun lepas.

Dia 'kemaruk' kereta mewah dan juga 'gila' akan kelajuan. Anak kelahiran Parit, Perak ini turut memiliki sebuah Nissan GTR-35, Volkswagen Golf Gti dan Proton Saga BLM. Namun demi mendapatkan Huracán ini dia terpaksa menjual GTR-35 miliknya.

Jika dikira daripada aspek nilai, Huracán ini merupakan salah satu bentuk pelaburan jangka panjang. "Ia umpama aset biarpun harganya menyusut agak banyak namun masih bernilai," kata Fitri yang turut terlibat dalam sektor hartanah.

Berkenaan dengan penjagaan kereta ini, ia tidaklah menakutkan seperti yang digambarkan namun Fitri mengesyorkan kepada sesiapa yang inginkan kereta ini supaya mendapatkannya semasa ia masih mempunyai jaminan.

Dari segi penggunaan minyak, boleh dikatakan masih dalam keadaan sederhana jika dibandingkan dengan kereta super keluaran yang lain. Jika diisi penuh tangki, ia mampu dipandu dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru dan pulang ke Kuala Lumpur.

Setakat kini, Fitri berpuas hati dengan pencapaiannya mampu memiliki kereta idamannya dan tidak merancang untuk menjualnya. Dia berhajat untuk menyimpan kereta ini untuk dipandu oleh anak cucunya pula.