Model generasi kelima ini berada dalam pasaran dari tahun 1991 hingga 1995. Walaupun kesinambungan Civic disambung dengan model generasi keenam tetapi model EG hatchback masih mendapat tempat di hati peminat Honda. Model keenam dikatakan terlalu matang dengan penampilan lampu utama yang besar menongkah arus pada ketika itu.

Mohammad Faeez Sakri, 26, merupakan peminat yang sanggup ‘berputih tulang’ untuk mendapatkan kereta idamannya sejak kecil ini. Memang sejak dari kecil, dia tanamkan minat dan cita-cita untuk mendapatkan model tersebut biarpun sudah memiliki beberapa kereta lain seperti Toyota Starlet dan Mitsubishi CK.

Dia membeli kereta tersebut pada tahun lepas dengan harga RM30,000. Duit yang dikumpulkan sejak mula bekerja sebagai mekanik tidak lokek dilaburkan untuk kereta ini. “Saya tidak kisah berbelanja besar untuk kereta ini kerana itulah impian saya sejak dari dahulu lagi,” kata Faeez dengan bersahaja.

Faeez mengakui, jika kereta itu digunakan hanya sebagai kenderaan berulang-alik dari rumah ke tempat kerja, enjin asal sudah memadai. Tetapi atas desakan naluri seorang peminat permotoran yang tegar, dia berkeras mahu menukarkan nadi asal kepada enjin yang lebih ‘remaja’ dan bertenaga.

Hingga kini, dia sudah membelanjakan lebih RM20,000 untuk menambahbaik kereta tersebut. Bahagian pertama yang diberi perhatian adalah kerangka kereta itu. Faeez menjalankan pengukuhan yang menyeluruh dengan menanggalkan peralatan dalaman untuk diganti dengan alat ganti baharu.

Seterusnya adalah nadi yang memacu tenaga menggerakkan kereta ini. Enjin berteknologi V-TEC disematkan kemas ke dalam ruangan enjin dengan melalui beberapa proses wajib untuk meningkatkan tenaga seperti port dan polish. Bagi memberikan cengkaman klac yang lebih jitu, Faeez memasang klac perlumbaan ‘loceng’.

“Klac ini bukan sekadar menyumbang kepada prestasi kereta malah memberi amaran kepada pemandu lain bahawa kereta ini bukan ‘biasa-biasa,” kata Faeez yang bakal menamatkan zaman bujangnya dengan gadis pilihanya tidak lama lagi.

Pastinya Faeez tidak merancang untuk menjual kereta kereta itu setelah melalui pelbagai modifikasi malah akan dipelihara dalam satu tempoh yang agak lama. Dalam perancangannya, dia akan membela keretanya sedaya upaya dan tidak mustahil akan mewarisinya kepada anak-anaknya kelak.

“Inilah kecintaan saya dalam permotoran, sukar untuk saya gambarkan diri saya tanpa kereta ini,” ujarnya.