Faidzil atau nama sebenarnya Faidzil Alang Abdul Rahman, terlibat dalam perlumbaan lebih lama berbanding adiknya dan beliau merupakan watak penting dan mentor dalam menggilap bakat Faidzal sehingga menjadi pelumba terkenal.

Dengan pengalaman lebih 20 tahun dalam perlumbaan dan membangunkan kereta lumba, nama Faidzil tidak perlu diperkenalkan lagi kepada peminat sukan permotoran tempatan. Beliau telah mencatatkan banyak kemenangan dalam perlumbaan dan pernah beraksi dengan pasukan-pasukan lumba kereta terkemuka negara. Dalam dunia permotoran negara, Faidzil amat dihormati peminat dan pelumba lain.

Mungkin ramai tidak mengetahui bahawa Faidzil pernah mewakili pasukan sepak takraw Selangor bertanding dalam kejohanan kebangsaan dan Sukan Malaysia (Sukma) dari 1991 hingga 1993.

Anak kelahiran Ipoh, Perak itu mula berminat dalam perlumbaan kereta apabila bergaul dengan pelumba-pelumba kereta semasa bekerja sebagai jurutera Proton pada sekitar awal 1990-an.

“Saya kenal dengan seorang pelumba terkenal, Adi Haslam dan dia banyak memberikan dorongan kepada saya untuk menjadi pelumba kereta. Dia adalah antara jurulatih pertama saya dalam perlumbaan,” kata Faidzil.

Perlumbaan pertama yang disertai Faidzil ialah Silverstone Proton National Championship pada 1995. Pada masa itu, belum ada perlumbaan peringkat akar umbi seperti sekarang. Jadi, pelumba-pelumba baharu bertanding dalam kategori novis. Dalam perlumbaan yang dimenangi Tengku Djan Tengku Mahalel itu, Faidzil berjaya menamatkan perlumbaan dalam kelompok 10 pelumba terbaik.

Pada peringkat awal penglibatannya dalam perlumbaan, Faidzil pernah hampir putus asa kerana tidak pernah menang walaupun telah memberikan yang terbaik. Namun, hasil bimbingan Tengku Azizan Tengku Ahmad (Ketua Jabatan Homologation & Testing ketika itu), Faidzil mula meraih kemenangan dalam perlumbaan dan kembali bersemangat untuk terus terlibat dalam perlumbaan.

“Bila naik ke kategori expert pada 1997, barulah saya banyak memenangi perlumbaan. Pada 2003, saya muncul juara keseluruhan Proton Satria GTi Championship dan pada tahun sama juga saya menerima anugerah pelumba sirkit terbaik negara. Itu adalah antara kenangan manis dalam karier saya.

“Satu lagi kenangan paling manis saya ialah ketika muncul juara keseluruhan perlumbaan Merdeka Millennium Endurance (MME) 12 jam pada 2006. Saya berganding dengan Tengku Djan dan pelumba Australia, Damien French memandu kereta Lotus Exige 300RR untuk pasukan Proton R3 Racing. Ia satu peningkatan mendadak bagi saya sebagai pelumba touring ke Grand Touring (GT),” katanya.

Bapa kepada dua anak berusia 18 dan 15 tahun itu juga mempunyai kenangan pahit sepanjang bergelar pelumba kereta. “Kereta saya pernah terbalik dalam perlumbaan Satria GTi Championship di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 2001. Itulah kali pertama kereta saya terbalik tetapi saya tidak mengalami sebarang kecederaan kerana impak tak kuat.

“Kali kedua, kereta saya terlibat dalam kemalangan teruk ketika berlumba untuk pasukan Proton dalam perlumbaan Asian Touring Car 1500 Max Series di Litar Antarabangsa Bira, Pattaya, Thailand pada 2008. Selama seminggu, saya berjalan macam robot sebab badan sakit,” ujarnya.

Kini pada usia 46 tahun, Faidzil masih aktif berlumba. Untuk tahun 2018, beliau akan berlumba untuk pasukan Fleetoil Racing Team dalam perlumbaan Malaysia Championship Series (MCS), Malaysia Speed Festival (MSF) dan Sepang 1000 Kilometer (S1K).

Selain berlumba, Faidzil terlibat dalam perniagaan yang berkaitan dengan permotoran menerusi dua syarikatnya iaitu Fawster Motorsports dan FA Racing sejak lima tahun lalu.

“Saya adalah antara kumpulan pertama jurutera Proton yang belajar menghasilkan suspensi dengan Lotus. Dengan pengalaman itu, saya mengeluarkan produk suspensi sendiri menerusi Fawster Motorsports.

“Pada masa sama, saya menjadi jurulatih dan perunding untuk kursus pemanduan defensif, pemanduan lanjutan dan perlumbaan menerusi FA Racing.

“Saya sedang menyusun strategi untuk memperluaskan pasaran perniagaan. Isteri saya yang mempunyai latar belakang bidang pemasaran banyak memberikan bimbingan dalam menguruskan perniagaan ini,” katanya.