Antaranya ialah Draco, jenama produk gegelung spring sport dan penyerap hentakan (absorber) kenderaan yang mula berada di pasaran sejak Januari lalu. Produk tersebut dikeluarkan oleh Harvaline Sdn. Bhd. yang merupakan syarikat milik 100 peratus bumiputera.

Gegelung spring dan penyerap hentakan adalah antara komponen yang sering ditukar oleh pemilik kenderaan selepas memasang rim sukan, bukan sahaja untuk menjadikan sesebuah kenderaan itu lebih bergaya, malah selesa dipandu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Hamka Shahar berkata, buat masa ini, pihaknya mengeluarkan gegelung spring dan penyerap hentakan untuk model-model kereta Proton dan Perodua.

Katanya, gegelung spring Draco berkonsepkan selesa, rendah dan sporti manakala penyerap hentakan menggunakan campuran gas dan minyak, berkonsepkan tahan lasak. Kedua-dua produk itu disasarkan kepada segmen pasaran massa.

“Produk suspensi Draco dihasilkan menggunakan teknologi Jepun dan mengikut spesifikasi Eropah yang mempunyai empat musim.

"Ia diperbuat daripada bahan berkualiti dan telah diuji untuk ketahanan di negara-negara yang mempunyai empat musim. Produk ini setanding dengan jenama-jenama terkenal antarabangsa.

Potensi

"Saya yakin perniagaan ini mempunyai potensi untuk berkembang kerana ada permintaan tinggi dan tidak begitu banyak persaingan," katanya ketika ditemui di ibu pejabat Draco di Setia Alam, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Hamka berkata, meskipun masih baharu di pasaran, beliau bersyukur kerana produk Draco semakin dikenali dan mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai.

Ia adalah hasil promosi berterusan yang dilakukan termasuk menaja pelumba kereta dan hadiah untuk pemenang perlumbaan.

“Berdasarkan trend jualan sekarang, kami menyasarkan pendapatan RM300,000 setahun pada tahun ini dan RM1.5 juta dalam tempoh lima tahun. Kami juga mahu mengembangkan sayap ke Indonesia,” kata usahawan muda berusia 36 tahun itu.

Kata Hamka, pada masa sekarang, produk Draco dijual secara atas talian menerusi media sosial dan ibu pejabat Draco di No. 15-G, Jalan Setia Alam Utama, AT U13AT, Setia Alam Seksyen U13 di Shah Alam.

Beliau berkata, pihaknya sedang mengenal pasti lokasi sesuai untuk membuka tiga cawangan di Johor, kawasan Pantai Timur dan Utara Semenanjung bagi memperluaskan pasaran.

“Pada masa sama, kita sedang melaksanakan program 300 Usahawan Draco. Mereka ini nanti akan menjadi ejen jualan produk Draco,” katanya yang turut mengusahakan perniagaan produk kecantikan Sofeeya Diamond dan chalet Mentigi Bay di Mersing, Johor.

Bagi mencapai objektif menjadi pengeluar modul casis kenderaan, Harvaline Sdn. Bhd. akan mempelbagai produknya termasuk pemegang (mounting) enjin dan palang besi penstabil (stabilizer bar) yang dijangka memasuki pasaran paling awal pada tahun hadapan.

“Kami sekarang sedang melakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk menghasilkan gegelung spring dan penyerap hentakan bagi model kenderaan Honda dan Toyota. Kami jangka produk ini dapat dikeluarkan pada tahun ini,” kata Hamka.

Gegelung spring Draco dijual pada harga antara RM350 hingga RM400 manakala penyerap hentakan pula pada harga antara RM500 dan RM530 setiap set. Untuk urusan pembelian atau maklumat lanjut boleh melayari laman Facebook: www.facebook.com/dracomalaysia atau Instagram: @dracomalaysia atau berkunjung terus ke ibu pejabat dan bengkel Draco di Setia Alam, Shah Alam.

Pembeli produk Draco boleh mendapatkan khidmat pemasangan percuma di bengkel Draco di Setia Alam, selain hadiah baju-T dan topi Draco serta baucar KFC.