Tidak hanya sekadar memastikan kebajikan dan keselamatan, bahkan usaha mempertahankan akidah dan memastikan kefahaman agama mereka sentiasa subur dan menebal, juga perlu diberi perhatian.

Tugas tersebut sebahagian besarnya digalas olah Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), sebuah pertubuhan bertanggungjawab secara langsung dalam menjaga kebajikan golongan saudara baharu.

Menyedari golongan tersebut kerap berdepan pelbagai masalah dalam usaha menyesuaikan kehidupan seharian mengikut syariat Islam, Perkim cawangan Klang, Selangor, baru-baru ini telah membuka sebuah restoran dalam kawasan Masjid Jamek Ar Rahimiah, Klang.

Diuruskan sepenuhnya oleh golongan mualaf dan asnaf, Restoran Perkim yang memulakan operasi pada 21 Julai tahun lalu itu, menawarkan sajian untuk sarapan dan makan tengah hari.

Dibuka seawal pukul 7 pagi, Pengurus kedai makan tersebut, Noor Saleza Abdullah, 50, memberitahu dia bersama suami dan lima pekerja lain, telah bekerja di situ sejak kedai makan tersebut dibuka.

Sememangnya menjadi tumpuan golongan kurang berkemampuan, jemaah, dan orang luar, kedai makan tersebut dibuka dengan tujuan untuk membantu mereka yang dalam kesusahan.

“Alhamdulillah, dengan pembukaan kedai makan ini sekurang-kurangnya dapat meringankan beban kami untuk menampung perbelanjaan keluarga.

“Selain saya dan suami dibayar gaji secara bulanan, pekerja-pekerja lain dibayar secara harian kerana lebih memudahkan mereka untuk merancang perbelanjaan harian.

“Setakat ini, sambutan yang diterima amat menggalakkan dan boleh dikunjungi oleh sesiapa sahaja tanpa sekatan,” ujarnya.

Dibuka setiap hari kecuali Isnin, kesemua makanan yang dijual akan dimasak panas-panas di situ dengan bahan mentah segar yang juga dibeli setiap hari.

Menurut Noor Saleza, kedai makan tersebut yang dibuka sehingga pukul 4 petang menyediakan roti canai, mi goreng, bihun goreng, dan nasi goreng untuk sarapan pagi.

Sementara itu, nasi ayam dan pelbagai jenis lauk-pauk masakan panas dimasak untuk sajian tengah hari.

Dalam pada itu, Presiden Perkim cawangan Klang, Hushim Salleh berkata, setiap hari Jumaat mereka akan memberi makanan percuma kepada pengunjung masjid dan orang luar mulai pukul 11 pagi hingga 12.30 tengah hari.

Pihaknya akan menyediakan nasi ayam, air serta buah limau dan lazimnya makanan-makanan tersebut akan diagihkan kepada golongan asnaf, mualaf, dan pelajar sekolah.

“Alhamdulillah, selepas menerima sumbangan peralatan daripada orang ramai kami berjaya membuka kedai makan ini pada Julai tahun lalu.

“Setiap hari pasti ada sahaja orang yang bermurah hati dan prihatin untuk bersedekah di sini, dapatlah kami menyumbangkan makanan kepada asnaf dan fakir miskin yang datang ke masjid.

“Berkenaan pemberian makanan percuma setiap Jumaat, Insya-Allah ia akan dilakukan secara berterusan setiap minggu dan golongan ini boleh mengambilnya di sini,” katanya.

Memberitahu program tersebut turut mendapat kerjasama daripada ahli lembaga tadbir masjid berkenaan, Hushim menjelaskan pembukaan kedai makan tersebut bukanlah berasaskan keuntungan tetapi lebih kepada niat untuk membantu dan meringankan beban mereka yang dalam kesusahan.