Diberikan kesihatan baik serta peluang tidak terduga, itu anugerah terindah buat saya dan rakan-rakan yang menimba pengalaman bersama-sama. Ini kali kedua saya ke Thailand selepas beberapa bulan lepas ke Narathiwat pada Mac 2017.

Tanggal 20 September 2017, pukul 10.45 malam, bas bergerak dari Ampang Point, Kuala Lumpur ke Padang Besar, Perlis. Perjalanan diawali bacaan doa dan diiringi hujan gerimis. Menghampiri pukul 5 pagi, kami tiba di Masjid Al-Bukhari, Alor Star, Kedah menunaikan solat subuh.

Pukul 7 pagi kemudiannya, bas meneruskan perjalanan ke Padang Besar, Perlis. Di Padang Besar, kami sarapan pagi di sebuah gerai sebelum ke Pusat Pemeriksaan Imigresen Malaysia dan kemudian berbaris di pusat imigresen Thailand. Sebelum sampai di bandar Hat Yai, kami melalui Pekan Sadoi. Jarak Pekan Sadoi ke Pekan Hat Yai ialah 45 minit.

Pada 2.30 petang, kami sampai di bandar Hat Yai. Destinasi pertama ialah Big Bee Garden. Di sini kami melawat ladang madu kelulut terbesar di Hat Yai. Selepas itu kami diminta masuk ke bilik khas untuk taklimat.

Madu organik dikatakan amat sesuai untuk merawat ulser dan sakit kerongkong. Manakala madu bunga pollens dikatakan boleh merawat hormon, rambut, sinus dan prostat. Petua menyimpan madu ialah tidak boleh diletakkan di dalam peti sejuk dan di ambil menggunakan sudu besi. Ini dikatakan menghilangkan khasiat madu asli.

Cara mengenali madu asli ialah apabila dicampurkan air sejuk, ia tidak larut tetapi berbentuk seperti sarang. Madu asli apabila ditarik tidak akan terputus. Sebotol madu bersaiz besar berharga Baht 1,300. Manakala yang kecil Baht 700. Menurut fakta, lebah jantan mati dahulu berbanding betina kerana malas bekerja.

Sewaktu kami ke sana, kami dimaklumkan Thailand ketika itu masih dalam keadaan berkabung lantaran kemangkatan Raja Thailand. Mayat disimpan selama satu tahun sebelum dibakar. Majoriti penduduk Hat Yai beragama Buddha. Hanya 10 peratus Melayu beragama Islam.

Kami tiba di Renu Kokuyo hampir pukul 4 petang. Kami diberi masa membeli-belah selama satu jam sahaja. Renu Kokuyo ialah pusat makanan kering hasil produk tani tempatan. Antara barang dijual ialah longan kering, halwa pala, asam keping, bilis mata biru, pes tom yam, kekacang, gajus, lobak manis dipotong dadu, jeruk asam dan lain-lain.

Bagi saya harga barang-barang di Renu Kokuyo tidak begitu murah berbanding di luar seperti pasar malam night walk di Lee Gardens atau di pasar basah. Harganya amat jauh berbeza.

Paling seronok kami ditemani pemandu pelancong Melayu-Thai yang cukup ceria dan peramah. Sepanjang perjalanan ke Songkhla, kami ditemani Sunita dan Mat Som. Begitu asyik sekali mendengar celoteh dan gurauan mereka di dalam bas sambil memberi info penting dan berguna kepada kami agar tidak terlena.

Syukur! Dalam perjalanan, kami mendapat ilmu secara tidak langsung. Kami diajar menyebut beberapa patah perkataan dalam bahasa Thai seperti sawaddi krab/kha iaitu selamat sejahtera (krab/khab” ditutur oleh lelaki dan “kha” ditutur oleh perempuan).

Pada pukul 6 petang, kami daftar masuk hotel di tengah bandar Hat Yai. Setelah bersihkan diri, solat dan rehat, kami berkumpul di lobi hotel.

Saya serta beberapa kawan berjalan dalam satu kumpulan menaiki ‘tuk tuk’ menyusuri bandar Hat Yai ke Lee Garden Plaza Night Walk untuk menikmati pulut mangga, pulut durian, udang galah, aiskrim kelapa, ABC Special, kuew tiau serta pelbagai juadah enak di sana.

Esoknya selepas sarapan, perjalanan diteruskan ke Pusat Bandar Songkhla. Untuk ke sana, kami perlu melalui Bukit Tang Kuang di mana terdapat sebuah istana lama.

Di sebelah kanan terdapat satu patung kepala naga dan di kiri ada feri yang boleh dinaiki ke Bukit Merah. Dari kepala naga, kita boleh nampak sebuah perkampungan Islam Sultan Sulaiman. Patung kepala naga yang terdapat di situ sentiasa menyemburkan air. Songkhla didiami oleh 40 peratus penduduk Muslim.

Demonstrasi

Songkhla direntangi oleh sebuah tasik bercantum dan menghubungkan tiga wilayah di negara Thai, dikenali sebagai Tasik Songkhla. Keunikan bandar Songkhla ialah Masjid Jameknya iaitu Masjid Negeri Songkhla yang kini menjadi Pusat Pentadbiran Majlis Agama Islam wilayah itu.

Reka bentuknya seperti Taj Mahal di Agra, India dengan landskap sebuah tasik di hadapan. Ia boleh dilawati antara pukul 3 petang hingga 8 malam. Memandangkan cuaca tidak mengizinkan, kami tidak sempat singgah ke Masjid Songkhla kerana hujan lebat.

Sebelum ke Floating Market kami melintasi Perkampungan Nelayan Muslim di Ban-Kao Seng sebelum singgah di Pantai Samila, Songkhla City untuk membeli cenderahati. Di sini terdapat sebuah ukiran patung duyung tembaga penuh mitos berhampiran pantai.

Usai membeli-belah dan bersiar-siar di Pantai Samila, kami ke Floating Market dan Nora Plaza sebuah pusat menjual barangan kulit tulen dan berkualiti tinggi dengan harga berpatutan.

Sebelum pulang ke hotel, kami singgah di kawasan penempatan gajah Chang Puak Camp, Hat Yai dan makan malam Buffet Steamboat. Kesempatan ini saya ambil untuk mempelajari cara-cara menyediakan “Som Tam Thai” yang enak, dengan tunjuk ajar wanita Melayu-Thai yang sudi memberikan demonstrasi tatacara membuat som tam secara terperinci kepada saya.

Syukur, Alhamdulillah! Terasa pengisian musafir kami amat bermakna dengan curahan ilmu dan pengalaman manis di sana. Paling tidak boleh dilupakan ialah pengalaman menaiki “tuk tuk” bersama rakan-rakan mengelilingi bandar Hat Yai. Kami sempat membeli-belah di pasar pagi sambil melihat budaya peniaga yang ramah dan mesra pelanggan.

Esoknya seawal 7 pagi kami berkumpul di Tamrab Muslim Hatyai, sebuah restoran halal untuk sarapan sebelum bertolak pulang ke Malaysia. Rombongan kami selamat sampai ke Kuala Lumpur pukul 1 pagi.

Terima kasih kepada semua anggota rombongan yang begitu mesra melayani saya sepanjang mengikuti rombongan ini.