Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Pesisiran pantai Jerejak jadi tarikan

pengunjung boleh membeli makanan ringan yang terdapat di pesisiran 5
Pengunjung boleh membeli makanan ringan yang terdapat di pesisiran Pantai Jerejak.

GELAGAT sekumpulan anak kecil berlari-lari keriangan diiringi gelak tawa yang kuat sambil ibu bapa mereka menikmati makanan ringan menarik perhatian sesiapa sahaja melihatnya.

Keseronokan di pesisiran Pantai Jerejak yang terletak berhampiran dengan sebuah pusat beli-belah terkenal di Pulau Pinang bertambah, lebih-lebih lagi dengan angin yang bertiup kencang memberi ketenangan kepada pengunjung.

Kawasan yang cukup segar serta selamat itu turut dilengkapi dengan kemudahan seperti trek larian dan kerusi batu yang disediakan di sebalik deretan pokok kelapa, membuatkannya tidak putus-putus dikunjungi.

Lebih menarik lagi apabila terdapat beberapa peniaga menjual makanan ringan dan minuman di sepanjang jalan sebelum memasuki kawasan riadah tersebut.

Orang ramai juga dilihat teruja mengambil gambar pemandangan pantai berlatarbelakangkan rimbunan tumbuhan hijau dari Pulau Jerejak dan Jambatan Pulau Pinang yang terletak bertentangan dengannya.

Bermula pukul 6.30 petang, kawasan ini mula dipenuhi orang ramai yang bersenam, beristirahat dan beberapa keluarga bersila menikmati makanan bersama-sama di atas batu di tepi pantai itu.

Bukan itu sahaja, pemandangan di situ turut diserikan dengan kehadiran beberapa individu yang sibuk dengan jala dan joran untuk menangkap hidupan laut.

Menurut seorang peniaga, Arif Roslan, 28, dia menjalankan perniagaan makanan ringan, minuman dan jagung bakar menggunakan trak makanan di kawasan itu sejak enam bulan lalu pada setiap hari dari pukul 2 petang hingga 3 pagi.

Menceritakan kemeriahan di kawasan itu, katanya, orang ramai yang kebanyakannya penduduk tempatan akan berkunjung ke kawasan itu setiap hari dan jumlahnya meningkat pada hujung minggu.

“Hari bekerja pun, ramai orang. Sebab itulah, kami berniaga di sini. Purata keuntungan setiap hari boleh mencecah sekitar RM500 sehingga RM1,000. Kebanyakan pengunjung yang menjamu selera di sini datang untuk berehat sambil makan dan minum,” katanya kepada S2.

Sementara itu, seorang pengunjung, Fairul Hafizi Raidzan, 26, berkata, hampir setiap hari dia berkunjung ke tempat itu sebaik sahaja pulang dari kerja.

Pemuda dari Bayan Lepas itu berkata, dia bersama isteri, Natasha Badzil, 23, dan anaknya, Muhammad Danish, 2, akan ke situ kerana kedudukannya yang strategik berhampiran kawasan perindustrian dan menuju ke pusat bandar.

“Kawasan ini dekat dengan pasar raya. Kalau pergi membeli-belah, kami pasti akan singgah di sini untuk menikmati pemandangan, di samping merasai tiupan angin laut yang menyegarkan diri.

“Walaupun jumlah pengunjung berkurangan berbanding dahulu kerana projek tambakan laut yang sedang dilaksanakan, saya tetap datang ke sini untuk mengimbau kenangan, selain memberitahu anak, inilah tempat saya membesar,” katanya.

Artikel Berkaitan
Artikel Lain
Video Pilihan