Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Logo Kaji Selidik Pembaca

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Menyingkap rahsia Pulau Bidong

DESTINASI

ENAM rakan penulis bergambar di binaan simen yang memaparkan nama 5
ENAM rakan penulis bergambar di binaan simen yang memaparkan nama pelarian di Pulau Bidong.

DARI pantai Mengabang Telipot, Terengganu, kelihatan berbalam-balam sebuah pulau yang menyimpan 1,001 kisah ‘orang hanyut’ yang merupakan pelarian Vietnam. Ombak laut yang mengganas memberi isyarat kepada penulis dan rakan-rakan bahawa ‘pelayaran’ menaiki bot nelayan ke pulau itu tidak dapat dilakukan pada hari ketibaan kami di pantai tersebut.

Penulis berpeluang menjejakkan kaki ke Pulau Bidong pada 2016 bersama enam rakan yang kebanyakannya ‘kaki pancing’. Misi utama kami adalah memancing di sekitar pulau yang berkeluasan 260 hektar. Namun apa yang lebih mengujakan adalah pulau itu kaya tinggalan sejarah pelarian Vietnam. Faktor itu menggamit kami untuk berkhemah selama dua hari di pulau berkenaan.

Pulau yang tidak berpenghuni itu tidak memiliki hotel ataupun resort. Pelancong yang mahu menghayati tinggalan sejarah di Pulau Bidong biasanya menginap di tanah besar, khususnya Kuala Terengganu. Bot boleh dinaiki dari jeti Marang. Lawatan diadakan sehari suntuk termasuk aktiviti snorkeling dan selam skuba.

Memandangkan seorang kenalan yang merupakan anak nelayan di Mengabang Telipot menawarkan kami menginap di rumah bapanya yang terletak di tepi pantai, maka kami menaiki bot nelayan dari pantai itu. Ketiadaan jeti memaksa kami melawan ombak untuk ‘melompat’ masuk ke dalam bot yang sedang terumbang ambing.

Sebanyak tiga buah bot membawa kami bersama peralatan perkhemahan dan memancing. Hampir satu jam setengah perjalanan barulah kami tiba. Sebaik sahaja mendarat, kami mendirikan khemah dan rakan-rakan yang ‘kaki pancing’ terus menaiki bot untuk mencuba nasib. Sementara itu, yang tidak memancing, sibuk menyediakan makan tengah hari.

Menjelang petang, pemancing membawa pulang hasil tangkapan yang agak banyak, antaranya kerapu. Selesai makan tengah hari yang lewat, kami mula meneroka Pulau Bidong yang pernah menjadi ‘syurga’ buat pelarian Vietnam. Carian menerusi Google mendapati pulau itu dibuka secara rasmi sebagai kem pelarian pada 8 Ogos 1975 dan ditutup pada 30 Oktober 1991.

Sepanjang tempoh 16 tahun, dianggarkan kira-kira 255,000 pelarian Vietnam berada di Pulau Bidong sementara menunggu giliran untuk ditempatkan di negara dunia ketiga.

Bagi memenuhi keperluan asas pelarian, rumah panjang, sekolah, bengkel, pejabat pos, tokong, gereja, kedai jahit, salun, pasar, kedai runcit, bakeri, kedai makan, malah disko dan bar dibina.

Oleh kerana pulau itu terbiar dalam tempoh yang lama, hanya binaan yang kukuh sahaja masih terpelihara. Tokong, replika bot, binaan simen yang memaparkan nama-nama pelarian, tangki air dan kubur masih dapat dilihat sehingga hari ini.

Setelah seharian menjelajah, kami pulang semula ke tapak perkhemahan untuk menyiapkan makan malam. Sempat juga kami mencandat sotong, tetapi tidak lama kerana ada yang ‘mabuk laut’.

Suasana malam agak panas membuatkan tidur kami tidak lena. Apatah lagi, penulis asyik teringat kisah-kisah misteri yang menyelubungi pulau tersebut.

Keesokan pagi, kami sempat lagi memancing sebelum berkemas untuk pulang. Bagi yang menggemari aktiviti snorkeling dan selam skuba, pulau ini menjanjikan alam bawah laut yang mengujakan.

Pakej percutian yang ditawarkan biasanya lawatan sehari suntuk. Terdapat surau, tandas dan tempat mandi untuk kegunaan awam.

Walaupun Pulau Bidong tidak ‘sehebat’ Pulau Perhentian, Pulau Redang dan Pulau Kapas , namun pulau itu memiliki keunikan tersendiri yang tidak ada pada pulau-pulau lain.

Artikel Berkaitan
Artikel Lain
Video Pilihan