Di sebalik populariti dua bandar utama itu, wilayah Sichuan yang terletak di barat daya China semakin dikenali pelancong yang mahukan suasana berbeza dan ‘lari’ daripada kesibukan kota.

Menerima undangan Media Familiarisation Trip untuk membuat liputan selama enam hari lima malam ke wilayah berkenaan dari agensi pelancongan, Sri Sutra Travel, penulis menganggap ia satu peluang yang tidak harus dilepaskan, sekali gus menilai sisi lain negara yang mempunyai kepadatan penduduk kira-kira enam bilion itu.

Perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) ke Chengdu, China menaiki penerbangan AirAsia X hanya memakan masa empat jam 15 minit.

Setibanya di bandar Chengdu yang merupakan ibu negeri wilayah Sichuan, rombongan penulis terdiri daripada 19 wakil agensi media dari Malaysia dan Thailand disambut mesra oleh operator pelancongan tempatan.

Dengan suhu mencecah sembilan darjah celcius, negara China ketika itu sedang mengalami musim sejuk dengan keadaan jerebu tahap sederhana.

Kami dibawa ke Dujiangyan Scenic Spot, lokasi di mana terletaknya sistem pengairan Dujiangyan yang merupakan antara lambang kehebatan tamadun China yang wujud sehingga hari ini.

Sistem tersebut dibina di Sungai Min pada tahun 256 Sebelum Masihi iaitu kira-kira 2,267 tahun lalu bagi menyelesaikan masalah banjir yang dihadapi penduduk waktu itu dan pada masa sama, mengairi kawasan sekitar Chengdu.

Ketika musim kering, air akan mengalir sepenuhnya ke sungai yang kemudian masuk ke rangkaian terusan untuk mengairi kawasan pertanian.

Sewaktu musim banjir, air akan dilimpahkan secara automatik ke sungai bahagian luar yang kemudian mengalir ke Sungai Yangtze.

Keunikannya diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai Tapak Warisan Dunia dan merupakan sistem pengairan tertua di dunia yang masih digunakan sehingga kini.

Lebih menakjubkan, dalam kawasan sama terletaknya jambatan gantung purba yang terkenal iaitu Anlan Bridge atau turut dikenali sebagai jambatan ‘sepasang kekasih’.

Jambatan berukuran 320 meter itu dahulunya pernah dikenali dengan nama Pingshi Bridge pada zaman Dinasti Zhong sebelum roboh akibat peperangan ketika Dinasti Ming.

Pengunjung yang datang juga berpeluang mengikat kad ucapan yang terletak di pintu masuk Anlan Bridge sebagai peringatan kepada pasangan masing-masing ataupun tanda terima kasih.

Siapa sangka wilayah yang kurang mendapat perhatian pelancong antarabangsa itu mempunyai nilai komersial tersendiri, selain terbukti menyimpan khazanah yang masih digunakan untuk kesejahteraan penduduk setempat.

Pada malamnya, kami dibawa melihat keindahan Empangan Dujiangyan yang dilimpahi cahaya lampu biru, sekali gus ‘memewahkan’ lagi pemandangan sekitarnya yang mengasyikkan.

Wilayah Sichuan juga dikenali dengan keindahan alam semula jadi serta menjadi ‘rumah’ kepada banyak gunung-ganang, antaranya Gunung Qingcheng. Gunung itu popular dalam kalangan penganut Taoisme (Daoism) dan merupakan tapak kajian Yellow Emperor dan Ning Fengzi.

Lokasi itu juga dijadikan sebagai pusat agama Daoist, selain menjadi ‘tuan rumah’ kepada banyak kuil.

Bagi mereka yang menonton filem kartun animasi, Kung Fu Panda, sudah pasti melihat latar belakangnya yang diinspirasikan daripada kawasan pergunungan tersebut.

Sichuan juga dikenali sebagai ‘kediaman’ panda. Haiwan tersebut hanya wujud di China dan habitatnya tidak pernah ditemukan di mana-mana pelosok dunia.

Penulis berpeluang melawat Pusat Penyelidikan dan Pembiakan Panda Gergasi di Chengdu yang ditubuhkan pada 1987. Pada mulanya hanya menempatkan enam ekor panda gergasi dan kini lebih 150 kelahiran dicatatkan di pusat itu.