Jika menginap di hotel, satu bilik hanya boleh memuatkan dua orang. Orang ketiga yang ingin menumpang bilik tersebut akan dikenakan caj tambahan. Apabila dikira semula, kos jadi tidak berbaloi. Justeru, penginapan yang mampu menyediakan kemudahan bermalam untuk jumlah yang lebih ramai semakin mendapat sambutan.

Antaranya pangsapuri tiga bilik yang boleh memuatkan sehingga enam orang atau lebih, mengikut budi bicara tuan punya premis tersebut. Koperasi Kakitangan Bank Rakyat Berhad. (Sekata Rakyat) tidak mahu ketinggalan dalam menawarkan penginapan berkonsepkan pangsapuri, sekali gus menambah pilihan penginapan kepada orang ramai.

Terletak di Ringlet,Cameron Highlands, Pahang, lokasi itu memang strategik bagi mereka yang tidak suka suasana sibuk dan bising di pusat bandar. Selepas puas berjalan dan melawat tempat-tempat menarik sekitar Cameron Highlands, tentulah kita mahukan tidur yang tenang tanpa gangguan bunyi enjin kenderaan yang masih bersimpang siur sehingga tengah malam.

Pengurus Besar Sekata Rakyat, Ahmad Rozaman Mohd Yusoff berkata, pihaknya sengaja memilih pekan Ringlet yang kurang sesak berbanding Tanah Rata atau Brinchang untuk membangunkan hartanah pelancongan, Sekata Apartment.

“Pangsapuri ini sesuai untuk mereka yang mahukan suasana tenang dan damai untuk melelapkan mata selepas seharian penat berjalan di sekitar lokasi tumpuan pelancong di Cameron Highlands.

“Tidur mereka pasti tidak diganggu bunyi bising dan hiruk pikuk suasana sibuk di Tanah Rata atau Brinchang yang berlarutan sehingga ke malam. Jadi, Sekata Apartment menawarkan keselesaan dan ketenangan yang diimpikan, selain keindahan alam semula jadi,” katanya kepada S2 yang menyertai lawatan media ke pangsapuri itu di Ringlet baru-baru ini.

Sebanyak 32 unit pangsapuri dibeli bagi kemudahan penginapan kepada pelancong. Unit yang ditawarkan terdiri daripada unit standard dan unit premium. Setiap unit mempunyai keluasan yang sama iaitu 1,100 kaki persegi, tiga bilik tidur, dua bilik air, ruang tamu, ruang makan, dapur dan balkoni.

“Tidak ada bezanya dari segi keluasan dan kemudahan yang disediakan. Cuma, unit premium telah diubah suai, selain perabot yang lebih mewah,” tambahnya.

Menurut Ahmad Rozaman, setiap unit juga dilengkapi dengan peralatan asas untuk memasak seperti periuk, cerek elektrik, dapur elektrik, ketuhar gelombang mikro, pinggan dan cawan, peti sejuk, televisyen saluran Astro serta seterika.

“Kemudahan lif juga disediakan termasuk ruang atas bumbung (roof top) yang sesuai dijadikan kawasan untuk barbeku, sambutan majlis atau sekadar berehat sambil menikmati suasana malam yang tenang,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, tempahan untuk harga promosi ditawarkan sehingga akhir Oktober ini iaitu RM230 untuk unit standard dan RM330 untuk unit premium.

“Tempahan perlu dibuat mulai hari ini sehingga hujung Oktober dan tarikh penginapan adalah pada bila-bila masa. Ini bermakna mereka boleh menginap pada tahun ini atau tahun hadapan, asalkan tempahan dibuat sehingga 31 Oktober ini,” ujarnya.