Penulis dan rakan rombongan dibawa meneroka negara itu meliputi sembilan bandar terkenal yang memiliki tarikannya tersendiri.

Satu daripada bandar atau daerah yang berjaya menawan hati penulis adalah Pamukkale yang terletak di wilayah tenggara Aegean, Turki. Ia merupakan kawasan pergunungan terkenal dengan tarikan Cotton Castle. Ia adalah teres-teres kolam air panas berwarna putih di lereng bukit.

Oleh sebab bentuk muka bumi unik Pamukkale, ia menjadi antara destinasi wajib dikunjungi pelancong. Tambah pula rupa bentuk geologinya sukar dijumpai di tempat lain.

Turki sering kali dikaitkan dengan bandar popular Istanbul mahupun Cappadocia. Menurut statistik, populasi di Istanbul merekodkan lebih 11,174,257 orang.

Selain Istanbul, bandar Bursa mempunyai senarai tempat menarik seperti Ulu Cami Grand Mosque dan Cumalikizik village. Penulis juga dibawa ke Ancient City of Ephesus yang merupakan bandar tinggalan purba bersejarah. Di kawasan bandar tinggalan purba itu, kami di bawa melihat The Gate of Heracles State Agora dan Library of Celsus.

Sepanjang perjalanan di bandar-bandar di Turki, kami menaiki bas yang cukup selesa dan dilengkapi dengan kemudahan internet tanpa wayar atau Wifi bagi memudahkan ahli rombongan sentiasa berhubung dengan keluarga.

Kami turut melawat Konya yang terkenal dengan upacara Wherling Dervish dan hikayat ahli sufi Nasreddin Hoca. Penulis melawat Mevlana Museum yang dahulunya merupakan pusat pengajian agama Islam dan pembelajaran ahli sufi di Turki ketika era pemerintahan Seljuk Turks dan Uthmaniyyah.

Selepas itu, kami meneruskan perjalanan ke Cappadocia. Cappadocia antara destinasi yang menjadi lokasi paling ditunggu-tunggu oleh penulis. Selain tarikan utama belon udara panas yang dikenakan bayaran AS$200 atau hampir RM900, Cappadocia menyajikan pelbagai keindahan yang tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata.

Antaranya ialah Pigeon Valley yang mana batuan-batuan di sini diukir lubang bagi sarang burung merpati. Di Camel Valley pula terdapat banyak batu besar yang pelbagai bentuk antaranya menyerupai unta.

Kami meneruskan perjalanan ke Ankara, ibu negara Turki yang sibuk. Ini kerana ibu pejabat tentera, parlimen dan beberapa bangunan kerajaan terletak di Ankara. Ia juga pusat pemerintahan kerajaan Mustafa Kamal Ataturk iaitu pemerintah yang menukarkan Turki daripada sebuah negara Islam kepada sekular. Kami seterusnya bermalam di Bolu.

Keesokan paginya, kami bertolak kembali ke Istanbul. Melalui gabungan seni budaya dan sejarah, Istanbul muncul sebagai bandar yang mempersona dan menawarkan banyak keunikan kepada para pengunjung dari seluruh dunia. Pengalaman menaiki Bosphorus Cruise membolehkan kami melihat tempat persinggahan kapal besar dan panorama indah kawasan sekitar.

Rombongan ke Turki pasti tidak lengkap tanpa aktiviti membeli-belah di Grand Bazaar yang telah wujud sejak 1455 lagi. Kini ia menempatkan lebih 3,000 buah lot kedai. Kami juga dibawa ke Spice Bazaar dan di sini anda perlu bersedia ditawarkan pelbagai manisan oleh setiap kedai seperti Turkish Delight, kekacang dan Baklava.

Peluang menikamati kedamaian di bumi Turki adalah satu pengalaman yang begitu berharga dan tidak dapat dilupakan.

Pembaca pasti tertanya bagaimana untuk ke Turki dengan bajet yang tidak terlalu mahal bukan? Sekiranya anda bercadang untuk pergi sendiri, penulis rasa anda mungkin akan berbelanja lebih berbanding mengambil pakej yang ditawarkan oleh agensi pelancongan. Penulis nasihatkan anda buat perbandingan pakej-pakej yang ditawarkan. Bagi percutian di Turki, penulis memilih pakej yang ditawarkan oleh Kowamas Holidays Sdn. Bhd., yang menaja hadiah bagi program realiti Gegar Vaganza.

Agensi pelancongan muslim itu menawarkan pakej khas muslim berkumpulan, pengangkutan bas yang selesa, penginapan hotel selesa bertaraf tiga ke lima bintang, tour leader yang terlatih, makanan sesuai muslim dan penjagaan solat jamak semasa perjalanan.