Tempoh masa kira-kira sehari suntuk ketika ditahan juga berlalu begitu sahaja. Apa yang terfikir dalam kepala saya hanyalah melupakan kepenatan dan merancang hala tuju untuk ke destinasi seterusnya. Ini juga bermakna segalanya perlu bermula dari kosong.

Selepas menunggu semua proses soal siasat selesai, kereta api untuk berpatah balik ke Budapest akhirnya tiba mengikut jadual. Ini bermakna saya perlu menempuh semula perjalanan selama lima jam. Pendek kata, pada hari tersebut, saya seperti hilang punca.

Pegawai imigresen itu memberitahu, saya boleh memohon visa di Kedutaan Serbia di Budapest jika masih mempunyai hajat untuk ke negara tersebut. Mereka tidak dapat menolong atau berbuat apa-apa kerana ia berkaitan undang-undang negara.

Sebelum berangkat pulang, saya sempat mengusik salah seorang pegawai perempuan yang ada di situ dengan berkata:

“Vidimo sesutra.Volim te!!! (Jumpa lagi dan saya mencintai awak).

Dia hanya menjawab dengan gelak tawa sahaja tanpa respons positif. Walaupun perjalanan kali ini begitu menyeksakan, ia tidaklah seteruk mana dan masih banyak yang saya pelajari serta mungkin ada hikmah tersendiri.

Selain itu, satu lagi perkara yang saya lalui termasuklah pengalaman hampir ditipu penjual tiket kereta api semasa dalam perjalanan tersebut. Di Serbia, mana-mana pihak yang tidak mempunyai dokumen perjalanan atau alien akan dihantar pulang. Segala perbelanjaan pula ditanggung sendiri tanpa subsidi. Tiada istilah ‘belas kasihan’. Harga tiket yang dikenakan pula lebih mahal jika membelinya secara on board.

Masa itu, saya memang tidak tahu apa-apa. Dalam kepala, hanya memikirkan entah apa nasib yang akan berlaku seterusnya, lebih-lebih lagi tiada tempahan hostel dibuat dan waktu jangkaan tiba di Budapest adalah kira-kira pukul 11 malam.

Ketika kepala ligat berfikir, tiba-tiba si penjual tiket datang kepada saya dengan memberitahu harga tiket adalah 70 Euro, iaitu kira-kira tiga kali ganda mahal daripada harga sebenar.

Saya pasti, dia cuba mengambil kesempatan. Tanpa berfikir panjang dan dengan nada tegas, saya menjawab:

“I don’t have that amount. Why it’s really f***ing expensive. I bought same ticket before and it just only 23 Euro,” kata saya.

Mata si penjual tiket tersebut terkebil-kebil sambil tergagap cuba menjelaskan segalanya.

“Errr..,errr...,price is include with tax,”katanya dengan gagap. Saya buat-buat tak faham dan meminta penjelasan berkenaan harga yang dikenakan. Dalam hati saya berkata:

“Habis aku kali ni. Kalau bayar tambang sebanyak tu, apa aku nak makan kalau tiba di Budapest?. Apa nak jadi...,jadilah.” Masa itu, saya tak mampu berbuat apa-apa dalam keadaan badan yang penat dan perut lapar serta dahaga.

Nasib saya ketika itu baik kerana ada penumpang yang duduk berhampiran saya melihat perkara yang berlaku. Lantas dengan suara yang agak tinggi, dia menegur penjual tiket tersebut dan mereka bertekak beberapa minit. Akhirnya saya hanya perlu membayar mengikut harga yang telah ditetapkan.

Sebaik sahaja segalanya selesai, saya mengharungi perjalanan yang wajib diteruskan. Masa itu juga, kata-kata semangat yang sentiasa membuat saya bersedia mengharungi cabaran yang bakal tiba adalah ‘ketahanan mental mengatasi segalanya’.

Memang hari itu adalah hari malang buat saya. Ditahan, hampir ditipu dan masa yang terbuang begitu saja. Sebelum menjelang esok, segala perancangan yang lebih terperinci perlu dilakukan kerana masa tidak pernah menunggu saya atau perjalanan akan menjadi sia-sia!