Terdapat banyak laluan berbahaya di dunia yang diklasifikasi sebagai jalan maut tetapi ada satu menduduki tangga teratas dalam senarai itu.

Jalan Bayburt D915 yang terletak di wilayah Trabzon di Turki diiktiraf sebagai jalan paling berbahaya di dunia oleh laman web, www.dangerousroads.org baru-baru ini.

Laman web yang mencari dan menyenaraikan laluan paling bahaya di dunia itu memilih Jalan Bayburt D915 sepanjang 106 kilometer itu dan menyingkirkan laluan maut nombor satu yang disenaraikan mereka sebelum ini, Jalan Yungas Utara di Bolivia.

Apa yang membuatkan Jalan Bayburt lebih berbahaya adalah terdapat 29 selekoh tajam yang merentasi sepanjang laluan itu.

Laluan yang bermula di kaki Gunung Soganli setinggi 1,800 meter itu digambarkan sebagai jalan yang sukar iaitu penggunanya terpaksa bergelut untuk melepasi beberapa selekoh tajam yang amat susah dilalui.

Jalan yang mula dibina oleh tentera Rusia pada tahun 1916 itu tiada langsung ciri-ciri keselamatan seperti pagar besi bagi menghalang kenderaan tergelincir ke gaung.

“Jalan ini bukan untuk orang yang sering mengalami kegayatan atau takut kepada tanah runtuh. Hanya mereka yang berani, ‘gila’ atau dibayar sahaja mahu melalui jalan ini.

“Apabila melalui jalan ini, semua ego manusia akan hilang. Satu sahaja kesilapan akan menyebabkan penggunanya ‘mati katak’,” kata laman web itu.

Kelebaran jalan itu pula hanya muat untuk dilalui oleh sebuah kenderaan pada satu hala sahaja.

Sekiranya ada kenderaan dari arah bertentangan pada masa sama, salah satunya perlu mengundur sehingga beberapa kilometer jauhnya bagi menemukan ruang yang agak luas untuk berselisih.

Walaupun pemandangan di sekeliling jalan ini unik dan menarik, namun ia sebenarnya adalah jalan yang mempunyai tahap kesukaran yang tidak dapat digambarkan walaupun dalam sekeping gambar.

Menurut laman web Dangerousroads itu lagi, pengguna akan mengalami pengalaman lebih buruk ketika melalui laluan itu dalam keadaan gelap atau basah, ditambah dengan kecuraman yang ekstrem.

Pada altitud begitu, laluan Bayburt boleh ditutup pada bila-bila masa sahaja ketika musim salji. Zon di situ sering dilanda kabus tebal sehingga mengehadkan jarak penglihatan pemandu.

Namun, lebih penting, jalan yang menyeksakan itu tidak sesuai dilalui oleh pemandu yang tidak cekap dan tidak mahir menggunakan gear mengundur.

Cabaran lebih getir adalah apabila ia benar-benar menguji stamina pemandu yang perlu menggunakan kemahiran dan tenaga untuk membelok di selekoh tajam yang kadang kala membuatkan satu tayar kenderaan yang dipandu itu tergantung di gaung.