Mungkin sukar untuk menjawabnya dengan mudah jika anda hanya pernah pergi ke satu atau dua pantai yang sudah sekian lama popular, sebelum menjejak ke semua 14 lokasi pantai peranginan di negeri ini.

Namun jika sempat singgah di Pantai Penunjuk yang terletak di Kijal, Kemaman, sudah pasti pengalaman percutian di pantai itu sukar dilupakan.

Ia satu nama yang kedengaran masih asing, tetapi mungkin di sinilah hati anda akan terpaut.

Pantai ini yang ditabir pepohon dalam perkampungan nelayan tradisional agak terselindung, dan belum banyak terusik oleh masa serta keadaan.

Ia menjanjikan suasana yang sememangnya menjadi kegemaran pencinta alam untuk didampingi dan peminat fotografi mengabadikan keindahannya.

Tanpa banyak seliaan di kawasan sekitar terutama dalam aspek kebersihan dan sisa yang berterusan didamparkan sang ombak, pantai itu masih menawarkan satu pakej lengkap bagi menghayati panorama pantai yang mengasyikkan.

Jika anda memerhatikan melalui lensa kamera dan video daripada pelbagai sudut yang tertera dalam laman sosial tentang pantai ini, ia sudah cukup menggetus hati anda untuk menjejak kaki ke sini.

Ada beranggapan jiwa boleh larut bersama warna awal pagi dan siluet senja yang melatari pantai serta suara alam yang mendamaikan.

Lebar dan landai, landskap pantainya dihiasi bukit kecil dan taburan batu besar dengan susunan unik menganjur ke laut, bagaikan arca yang memberikan pelbagai gambaran unik.

Pantai Penunjuk cukup sesuai untuk perkelahan atau sesi fotografi kerana hadirnya bot-bot nelayan dan camar yang terbang bebas. Namun tidak digalakkan mandi-manda di pantai ini kerana arusnya yang sentiasa ‘berang’.

Anak-anak pula boleh dilepaskan bermain di alur sungai yang cetek tetapi jernih atau singgah ke taman permainan berhampiran.

Tidak jauh dari pantai ini terdapat banyak kemudahan penginapan dan pusat beli-belah Mesra Mall dan Giant.

Di sini juga, Lemang Kijal cukup terkenal, selain buah durian yang mungkin menjadi tambahan daya penarik bagi anda melarikan diri daripada kesibukan untuk bersama alam.