Dengan perjalanan yang mengambil masa kira-kira satu jam 30 minit dari ibu kota, pengunjung yang menginap di situ bukan sahaja dapat menikmati percutian yang cukup menenangkan malah ia juga merangkumi percutian berkonsepkan kesihatan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Felda Tra­vel Sdn. Bhd. (Felda Travel), Nora Azmin Radzuan, kebanyakan pengunjung menggemari lokasi percutian itu kerana hanya dalam satu tempat yang sama, mereka dapat melakukan pelbagai aktiviti.

“FRHS terdiri daripada 64 bilik hotel pelbagai jenis serta 18 villa persendirian. Di dalam villa persendirian itu pula, turut disediakan jakuzzi yang boleh mengeluarkan buih serta mampu mengawal suhu panas dan sejuk.

“Selain itu, kebanyakkan air yang disalurkan ke seluruh FHRS terutamanya bagi kegunaan kolam mandian atau jakuzzi itu datangnya daripada sumber mata air asli yang terdapat di sekeliling kawasan tersebut,” katanya kepada pemberita baru-baru ini.

Air panas semulajadi

--------------------

Di FRHS, pengunjung bukan sahaja dapat menikmati kesegaran alam secara semulajadi malah detik berjalan di atas titian kayu pelantar berukuran 200 meter pasti akan meninggalkan memori yang tersendiri apabila asap-asap hangat dari mata air panas menyapa tubuh.

Seorang kakitangan berpengalaman di situ, Said Saad berkata, pondok ‘Natural Sauna’ yang berada di tengah-tengah laluan itu memberikan peluang kepada pengunjung menikmati rasa sauna sebenar.

“Kawasan ini memiliki hampir 200 punca mata air panas dan dengan izin Allah dipercayai, sumber air panas di sini mempunyai unsur-unsur penyembuhan untuk beberapa jenis penyakit seperti masalah kulit, tekanan, lenguh-lenguh badan dan otot.

“Pernah ada seorang lelaki yang menghidap strok datang ke sini suatu masa dahulu. Pada mulanya, anggota badannya tidak berasa apa-apa namun setelah berendam dalam tempoh yang agak lama, dia mengeluarkan peluh dan darahnya mula mengalir lancar,” katanya.

Dia yang mula berkhidmat sejak pembukaannya pada 2003 berkata, kaedah mandi atau berendam di kolam mata air panas memang boleh memberi rasa kelegaan tetapi dengan syarat, tidak melebihi 30 minit dalam satu masa.

Penulis juga diberitahu bahawa air panas di situ mempunyai kandungan sulfur atau belerang dan apabila ia mengalir keluar dari rekahan batu granit, sulfur akan mendap menjadi alga dan alga itu boleh dijadikan skrub untuk mencerah dan melembutkan kulit muka.

Aktiviti riadah

----------------

Tidak jauh dari situ, terdapat kolam bersuhu di antara 30 hingga 100 darjah celcius dan pengunjung boleh mencuba aktiviti merebus telur hanya dengan menggunakan air panas tersebut.

Telur yang dimasukkan ke dalam kolam itu akan dibiarkan beberapa ketika dan uniknya, telur yang dimasak akan tidak hanyir kerana kolesterol yang terdapat dalam telur itu disingkirkan secara semula jadi.

Selain mencuba aktiviti itu, pengunjung berpeluang menyaksikan panorama indah bukit-bukau yang menghijau serta perkampungan orang asli yang menarik, pengunjung boleh menikmatinya dengan cara berjalan kaki, menunggang basikal atau All Terrain Vehicle (ATV).

Jika memilih untuk menunggang ATV, pengunjung akan dibawa melalui kawasan off-road, perkampungan orang asli, pinggiran sungai serta air terjun yang cukup menenangkan.

Penginapan yang berbaloi

-----------------------

Dengan keluasan 6.5 hektar, Felda Residence Hot Spring nyata memberikan pengalaman unik kepada pengunjungnya serta menjanjikan suasana yang bebas dari keadaan hiruk-pikuk dan berkecamuk.

Lokasinya yang jauh dari kota dan dikelilingi alam semulajadi yang sangat mengujakan, ia bukan saja menawarkan keseronokan menghabiskan masa di kolam air panas malah turut menjanjikan ketenangan yang serba mendamaikan.

Oleh itu, orang ramai yang berminat untuk merasai air panas semula jadi di Felda Residence Hot Springs boleh menghubungi talian 05-4388801/ 8803 atau layari laman web www.feldatravel.com.my untuk maklumat lanjut.