Meminjam nama sempena benteng Portugis terkenal abad ke-16 yang dibina di Melaka, A’Famosa Resort sejak dibina pada 1992 sehingga kini kekal sebagai destinasi percutian yang paling dicari-cari oleh sekalian banyak orang, lantaran keadaannya yang di kelilingi bukit-bukit dan kehijauan yang mengindahkan pandangan mata dan jiwa.

Kekal menarik dalam bungkusan tradisinya, kawasan seluas 530 hektar bukan hanya menawarkan padang golf kejuaraan antarabangsa yang direka oleh arkitek golf Australia terkenal Ross C. Watson semata-mata.

Sehingga kini A’Famosa dianggap sebagai mercu tanda utama pelancongan di Malaysia. Selain tempat untuk kedua-dua perniagaan dan percutian, kewujudan pelbagai resort dan kediaman untuk riadah memenuhi semua keperluan.

Umum sudah sedia maklum akan kemeriahan luar biasa kala bermain misalnya di Taman Tema Water World, Animal World Safari, Cowboy Town, Resort Hotel, Condotel dan Villas yang tidak pernah tidur dalam menanti kehadiran tetamu dengan penuh mesra. Terbaharu, hati semakin menggebu dan percutian sekadar dua atau tiga hari tidak memadai jika ke sini lagi. Kewujudan Freeport A’ Famosa Outlet (FAO) yang baru beroperasi sejak dua tahun lalu, menambah ‘bintang’ buat A’ Famosa itu sendiri terutamanya daripada kalangan pengunjung yang mahu mengulang siar episod kemanisan percutian mereka ke destinasi berkenaan.

“Sebagai outlet berjenama antarabangsa yang duduk dalam persekitaran resort, ini adalah satu kelebihan yang cukup menambat hati sesiapa sahaja untuk kekal ‘berlama-lamaan’ di sini.

“Seni bina bertemakan warisan Belanda Melaka, FAO yang terletak di antara Kuala Lumpur dan Singapura adalah destinasi baharu yang menjadi mercu tanda pelancong yang sangat popular di Malaysia ketika ini,” demikian jelas Pengurus FAO, Nick Lim, dalam temubual dengan Mingguan Malaysia.

Menariknya premis ini sudah tentulah pada terjemahan reka bentuk warisan Belanda selepas banyak perbincangan dengan kerajaan negeri Melaka yang sebelum ini telah disahkan tapak warisan Dunia oleh UNESCO.

“Terletak bersebelahan dengan pintu masuk utama A’ Famosa Resort di Alor Gajah, FAO adalah sebuah mercu tanda yang direka oleh arkitek terkemuka Australia.

"Direka sebagai pusat beli-belah terbuka, landskap ini merangkumi lima ciri air, tasik, empat taman dan rumput, kincir angin dan karusel. Ini semua adalah sesuatu yang cukup berharga dan istimewa menyambut kehadiran pengunjung-pengunjung kami dari dalam dan luar negara,” jelas Nick Lim lagi.

Tidak hanya pada ‘solekan’ wajahnya yang luar biasa megah, lebih menarik lagi, FAO adalah pusat outlet berjenama yang menawarkan lebih dari 100 jenama antarabangsa yang luar biasa hebatnya. Bayangkan sahajalah, kalau kebanyakan diskaun yang disediakan adalah sebanyak 80 peratus daripada harga biasa di lokasi lain. Puas hati?

Rasmi dibuka pada 28 Januari 2016 oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ir. Idris Haron, tidak hairanlah kenapa FAO telah menerima lebih daripada 2.5 juta pelawat setakat ini.

Ia adalah kunjungan tetamu yang cukup memberangsangkan selama dua tahun beroperasi. Bahkan, untuk tahun 2018 pula, dijangkakan premis ini akan dihujani kehadiran tetamu lebih 3.5 juta orang.

Freeport Retail merupakan jenama yang cukup dikenali sebagai salah satu perintis industri outlet di Eropah. Ia menjadi syarikat pertama yang membawa konsep outlet ke Eropah dari Amerika Syarikat.

Chris Miliken adalah Pengarah Komersial Freeport Retail dan mengetuai program pembangunannya dengan membuka outlet pertama pada 1994. Sejak itu Freeport telah membuka 12 outlet sama ada sebagai pemaju tunggal dan pelabur atau usaha sama dengan pihak ketiga.

Freeport telah membuka lima cawangan di United Kingdom dan yang lain di Portugal, Sweden, Itali, Republik Czech dan Slovakia dan kini sedang membangun sebuah outlet baru utama di Lyon, Perancis.

Menariknya, FAO ini adalah projek pertama Freeport di Asia Tenggara dalam usaha mengembangkan kegiatannya di rantau ini.